Penyakit Yang Berkaitan Dengan Kucing Tua atau Berumur

6 ulasan
Kucing menerima pemeriksaan di klinik

Walaupun kita tidak suka memikirkannya, adalah satu perkara yang baik jika kita sekurang-kurangnya mengenali apakah masalah yang boleh dihadapi oleh kucing tua.

Seperti penyakit lain, pengesanan dan cegahan awal boleh membantu mengurangkan kesan penyakit tersebut. Biasanya terdapat 6 penyakit yang sering menyerang kucing tua.

  1. Penyakit tiroid
  2. Kegagalan buah pinggang
  3. Hipertegangan
  4. Kanser
  5. Diabetes mellitus
  6. Keradangan usus

Hipertiroidisme

Penyakit ini menyebabkan berat badan kucing anda menyusut walaupun selera makannya bertambah. Kucing juga akan mengambil air secara berlebih-lebihan dan menjadikannya serba gelisah.

Kadar degupan jantung juga meninggi atau tidak sekata, kadangkala muntah-muntah dan cirit-birit.

Ia banyak menyerang kucing tua dan jika tidak dirawat jantungnya akan rosak lalu membawa kematian. Penyakit ini disebabkan ketumbuhan pada kelenjar tiroid di lehernya.

Kelenjar inilah yang menghasilkan hormon yang mengawal metabolisme dan lain-lain fungsi organ. Apa yang berlaku ialah kelenjar ini mengeluarkan terlalu banyak hormon tiroid.

Penyakit ini dikesan melalui ujian darah dan dirawat samada melalui pembedahan atau radiasi untuk buang tisu yang bermasalah.

Dalam kebanyakan kes, kucing boleh dirawat dan sembuh dengan baik asalkan dibawa ke klinik dengan segera.

Kegagalan Buah Pinggang atau Renal Kronik

Penyakit ini akan melumpuhkan sedikit demi sedikit fungsi buah pinggang seperti membersihkan darah, menghasilkan air kencing dan kawalan keseimbangan bendalir dalam tubuh kucing.

Kucing akan minum air dengan kadar yang banyak, kencing lebih banyak dan berat badan semakin berkurangan.

Jika penyakit berlarutan, kucing akan menjadi semakin kurus, kehilangan banyak air dan menghasilkan bau busuk dalam mulut.

Kita boleh mencegah penyakit ini dari awal dengan memberikan kucing anda diet yang baik (diet untuk kucing tua) serta menyediakan air yang segar dan bersih.

Buah pinggang ialah organ yang tidak ada penjanaan tisu, jadi jika ianya rosak, penyakit akan terus berlarutan.

Jika penyakit ini telah bermula, prosesnya boleh dilambatkan dengan kawalan diet, bendalir dan rawatan lain. Namun perlu diingat, ia hanya untuk melambatkan sahaja, dan tidak lagi boleh disembuhkan.

Ujian darah boleh dilakukan untuk mengesan penyakit ini, tetapi masalahnya dalam kebanyakan situasi ini hanya dikesan setelah 50% fungsi buah pinggang itu telah hilang.

Saya tidak nampak penyelesaian yang lebih baik melainkan pencegahan awal. Lagipun ia cukup mudah, iaitu diet yang baik, dan air yang bersih.

Hipertegangan/Hipertensi

Bahasa paling senang ialah tekanan darah tinggi. Penyakit ini biasanya berlaku seiring dengan kedua-dua penyakit kelenjar tiroid dan buah pinggang di atas.

Ujian tekanan darah kucing juga agak sukar dilakukan, disebabkan oleh kucing kebiasaannya akan tertekan setiap kali dibawa ke klinik, menyebabkan tekanan darahnya meningkat dengan sendirinya.

Selalunya penyakit ini dirawat dengan mengawal penyakit utama yang menyebabkannya.

Contohnya tekanan darah tinggi berlaku disebabkan adanya penyakit buah pinggang, maka kawalan terhadap penyakit buah pinggang akan merawat tekanan darah tinggi itu secara tak langsung. Atau dirawat dengan menggunakan pil.

Kanser

Pada masa kini, kucing hidup lebih lama berbanding 30-40 tahun dahulu, dan ini meningkatkan berlakunya kanser.

Pelik jugakan, apabila kualiti hidup semakin meningkat, kemungkinan menghidap penyakit yang lebih bahaya juga turut meningkat.

Kanser, puncanya tidak begitu diketahui samalah seperti yang berlaku kepada manusia. Puncanya masih belum jelas, namun teknologi juga semakin meningkat untuk menghadapi penyakit ini, walaupun bukan sepenuhnya.

Rawatan kanser adalah seperti kemoterapi, pembedahan, radiasi dan immunoterapi. Menghadapi kanser adalah sukar dan rawatan yang ada hanyalah untuk memanjangkan hayat dan mengekalkan kualiti hidupnya sebaik mungkin.

Diabetes mellitus

Atau dikenali sebagai kencing manis. Kucing yang menghidapi kencing manis tidak dapat mengendalikan glukosa (gula) dengan baik, yang merupakan sumber tenaga utama bagi tubuh.

Kucing itu akan makan dan menghasilkan gula dalam badan, tetapi gula itu tidak diserap oleh badan.

Ini menyebabkan kucing kelaparan walaupun dia telah makan. Tanda-tanda penyakit ini adalah hampir sama seperti penyakit buah pinggang.

Kucing mempunyai selera makan yang tinggi, minum air dengan banyak, kencing dengan banyak dan berat badan menurun.

Kebanyakan kucing perlu diberikan suntikan insulin sebanyak 2 kali sehari. Ini kerana penyakit ini disebabkan oleh kekurangan insulin yang dihasilkan oleh pankreas.

Insulin inilah yang diperlukan oleh tubuh untuk menyerap glukosa tersebut.

Penyakit keradangan usus

Jika anda mendengar ada orang bercakap tentang IBD maka mereka sedang bercakap tentang ini. Bahasa Inggerisnya inflammatory bowel disease, IBD.

Penyakit ini menyerang perut atau usus dan biasanya kucing akan mengalami muntah atau cirit-birit yang tidak dapat disembuhkan dengan rawatan biasa.

Ujian diberikan samada menggunakan endoskop (tiub disalurkan ke sistem penghadaman) atau pembedahan.

Rawatan biasanya diberikan untuk meredakan keradangan, mengawal jangkitan dan selalunya, ubatan yang diberi dalam tempoh jangka masa panjang.

Mencegah lebih baik daripada merawat

Jika anda membaca satu-persatu penyakit yang disebut di sini, ada satu persamaan yang ketara iaitu kesemuanya memerlukan rawatan yang panjang, kecuali penyakit tiroid atau hipertiroidisme (itupun jika dirawat awal dan tidak melarat).

Rawatan memerlukan ubat-ubatan dan disusuli beberapa lawatan ke klinik. Ini semua akan memakan belanja dan masa anda, di samping memberikan tekanan kepada hidup anda.

Seboleh-bolehnya saya tidak mahu anda melalui semua ini kerana ia bukanlah tempoh yang mudah.

Jika anda menjaga makanan dan minumannya maka 60% risiko menghidapi penyakit-penyakit ini sudah dapat dikurangkan, kecuali kanser dan tiroid kerana puncanya tidak diketahui.

Begitu juga dengan pemeriksaan kesihatan tahunan. Pengesanan awal jauh lebih menjimatkan dan peluang untuk disembuhkan juga tinggi.

Makanan, minuman, kebersihan dan pemeriksaan tahunan itu murah sementara ubat dan rawatan itu mahal.

Apabila Kucing Meningkat Tua dan Jangka Hayatnya

3 ulasan
Kucing tua keletihan

Kucing tidak akan hidup selama-lamanya, walaupun kita mahukannya begitu. Apabila kita berkongsi kediaman kita dengan kucing selama beberapa tahun, dia akan menjadi sebahagian daripada ahli keluarga, dan hubungan emosi yang kuat akan terbina.

Kucing memberikan rasa kasih yang tidak ada penamat dan tanpa syarat. Samada anda kacak atau tidak, cantik atau tidak, kaya atau miskin, kucing anda akan tetap bersama anda dan tidak akan mempersoalkan anda.

Kita boleh mencegah banyak masalah yang boleh mengancam atau mengurangkan jangka hayatnya jika keperluan asasnya dijaga dengan baik

Kucing ialah haiwan yang sangat pandai menyembunyikan masalahnya, maka apabila umurnya semakin meningkat kita perlulah lebih peka terhadap sebarang perubahan dalam aktiviti harian dan perilakunya.

Pengesanan awal adalah kunci untuk meningkatkan hayat kucing dan memperbaiki kualiti hidupnya.

Berapa lama kucing saya akan hidup?

Ada beberapa formula boleh digunakan untuk menganggarkan umur kucing dinisbahkan kepada umur manusia. Secara umumnya boleh dikatakan kucing berumur 7 tahun bersamaan dengan manusia berumur 1 tahun.

Sebenarnya kucing mengalami pertumbuhan yang lebih pesat dalam beberapa tahun terawal dalam hidupnya. Jadi untuk tahun-tahun terawal kucing adalah bersamaan dengan lebih dari 7 tahun manusia.

Mungkin ada yang tertanya-tanya berapa purata umur kucing, kebiasaannya adalah antara 13 hingga 15 tahun, terutamanya jika kucing itu dipelihara sebagai peliharaan dalam-rumah.

Tapi banyak juga kucing yang berumur sehingga 19 – 20 tahun.

Jika kucing dibenarkan keluar dari rumah, jangka hayatnya akan berkurang disebabkan risiko yang ada di luar sana. Kucing terdedah kepada lebih banyak penyakit dan bahaya seperti racun, atau musuh utama kucing iaitu kenderaan dan manusia (kanak-kanak yang suka menyeksa binatang dll).

Bilakah kucing dianggap tua?

Timbul pula persoalan baru, apa yang dikatakan 'tua'? Susah juga nak tentukan bila sebenarnya kucing itu akan dikelompokkan sebagai tua.

Biasanya kita akan (atau sepatutnya) memulakan program khas penjagaan kucing yang sudah tua apabila kucing menjangkau umur 7 atau 11 tahun.

Apabila kucing mencecah umur 12 tahun, kebanyakan kucing akan mula merasai kesan penuaan.

Terdapat beberapa penyakit yang muncul pada kucing disebabkan proses penuaan. Setiap sel dalam badan haiwan (juga manusia) diprogramkan untuk berfungsi pada sekadar-kadar waktu sahaja.

Kadaran itu berbeza-beza untuk setiap individu binatang walaupun untuk spesies yang sama. Dalam erti kata lainnya, kucing dan seluruh tubuhnya (termasuk kita) mempunyai tarikh tamat tempohnya.

Sesetengah binatang kelihatan tua pada umur 10 tahun, manakala yang lain pula lebih tegap dan masih bertenaga pada umur 15 tahun.

Setengah organ tubuh kelihatan lebih cepat tua berbanding organ lain, dan inilah antara sebab mengapa beberapa masalah kesihatan lebih kerap berlaku pada kucing tua.

Jadual bandingan umur kucing-manusia

Kucing (tahun) Manusia (tahun)
1 16
2 21
3 26
4 30
5 34
6 38
7 42
8 46
9 50
10 54
11 58
12 62
13 66
14 70
15 74
16 78
17 82
18 86
19 90
20 94

Penyakit Yang Dicegah Melalui Vaksin

6 ulasan
Anak kucing sedang divaksin

Biasanya kita perlukan sehingga 14 hari selepas suntikan vaksin sebelum tindakbalas imuniti berfungsi dengan sepenuhnya.

Jadi, jika kita suntik kucing pada hari ini, dia tidak akan mempunyai perlindungan imuniti sehingga sekurang-kurangnya 14 hari selepas suntikan diberi.

Keputusan untuk vaksinasi terhadap penyakit-penyakit tertentu dinilai melalui beberapa faktor. Terdapat 7 jenis penyakit berjangkit yang boleh dilindungi oleh vaksin (dikeluarkan oleh beberapa pengeluar).

Setiap vaksin adalah khusus, hanya memberikan perlindungan terhadap 1 jenis penyakit sahaja (dan mungkin 1-2 penyakit ringan yang lain).

Senarainya disertakan di bawah, namanya memang pelik-pelik, tapi saya letakkan penerangan ringkas di sebelahnya supaya kita mudah faham.

Nama penyakit Singkatan Penerangan
Virus Rinotrakeitis/Herpes Felin FRV, FVR
  • Menyerang sistem pernafasan.
  • Keradangan pada mata dan hidung.
Kalisivirus Felin FCV
  • Menyerang sistem pernafasan kucing sama seperti FRV.
  • Sangat mudah berjangkit di kalangan kucing.
  • Mata dan hidung berair, ulser pada mulut dan lidah, bersin dan demam.
Virus Panleukopenia FPV
  • Sangat berbahaya, mudah berjangkit di kalangan kucing.
  • Menyerang saraf dan imuniti.
  • Kelesuan teruk, hilang selera makan dan kematian.
Klamidia C
  • Virus ini hidup dalam sistem perkumuhan, kemaluan, pernafasan dan penghadaman.
  • Kesan dilihat pada mata.
  • Jika dijangkiti oleh anak kucing boleh menyebabkan kerosakan paru-paru yang serius.
Virus Leukemia Felin FeLV
  • Sangat berbahaya, kanser yang membunuh.
  • Risiko tinggi kepada kucing luar-rumah.
  • Merebak melalui air liur (menjilat bulu, bekas makanan) atau gigitan (bergaduh, bermain).
Virus Rabies RV
  • Pernah dengan penyakit anjing gila? Air liur sentiasa meleleh, agresif dan suka menyerang.
  • Boleh menjangkiti manusia atau binatang lain.
Bordetella FeBb
  • Berbahaya kepada anak kucing kerana boleh menyebabkan kematian.
  • Lendiran tebal pada hidung dan mulut, bersin dan batuk (kucing sebenarnya jarang batuk, beri perhatian jika kucing anda batuk).

Hah, macam mana, susahkan memelihara kucing? :)

Alam Kucing Tergendala…

Tinggalkan Ulasan
Kucing di hadapan komputer

Laman ini mengalami 'batuk-batuk' kecil dan sedikit kesulitan untuk beroperasi. Ianya bukan berpunca daripada blogspot tetapi dari kekangan masa yang saya hadapi.

Saya ingin memohon maaf kepada semua yang yang telah mengutus komen serta menghantar emel, kerana saya tidak dapat menjawab pertanyaan anda dalam masa terdekat ini.

Kepada semua pembaca, saya harap jika ada kesulitan, terutama yang kecemasan, langkah terbaik adalah berhubung dengan klinik haiwan terdekat.

Saya faham jika ada yang mengalami masalah kewangan untuk membiayai kos pemeriksaan atau rawatan untuk kucing, tetapi sekurang-kurangnya ambillah nombor telefon klinik tersebut.

Laman ini akan dikemas kini artikelnya dari masa ke semasa, tetapi saya rasa saya tidak dapat memberi maklumbalas pantas terhadap komen-komen dalam waktu terdekat.

Terima kasih kerana masih sudi membaca, dan maafkan saya sekali lagi kerana kesulitan ini. Saya sedang berusaha untuk menguruskan masa.