Alam Kucing

Berkongsi Kaedah Penjagaan Kucing.

Penyakit Yang Berkaitan Dengan Kucing Tua/Berumur

Ditulis oleh feliscatus pada Thursday, October 29, 2009

Walaupun kita tidak suka memikirkannya, adalah satu idea yang baik jika kita sekurang-kurangnya mengenali apakah masalah yang boleh dihadapi oleh kucing tua. Seperti penyakit lain, pengesanan dan cegahan awal boleh membantu mengurangkan kesan penyakit tersebut. Biasanya terdapat 6 penyakit yang sering menyerang kucing senior.

  1. Hyperthyroidism
  2. Chronic renal failure
  3. Hypertension
  4. Kanser
  5. Diabetes mellitus
  6. Inflammatory bowel disease (IBD)

Hyperthyroidism

Penyakit ini memang biasa berlaku pada kucing tua dan selalunya disebabkan oleh ketumbuhan pada salah satu (atau kedua-dua) kelenjar tiroid (ada kat leher). Kelenjar ini fungsinya ialah menghasilkan hormon yang berkaitan dengan metabolisme dan fungsi-fungsi organ. Namun kelenjar yang terlebih aktif akan menghasilkan lebihan hormon.

Kucing hyperthyroid akan menghasilkan terlalu banyak hormon tiroid. Mereka mungkin mempunyai selera makan yang banyak tetapi badannya tetap menyusut. Kadangkala degupan jantung mereka tinggi atau tidak sekata, muntah-muntah dan cirit-birit.

Penyakit ini dikesan melalui ujian darah dan dirawat samada melalui pembedahan atau radiasi (untuk buang tisu yang bermasalah).

Chronic renal failure

Penyakit ini akan melumpuhkan sedikit demi sedikit fungsi buah pinggang seperti membersihkan darah, menghasilkan air kencing dan kawalan kesimbangan bendalir dalam tubuh kucing.

Kucing akan minum air dengan kadar yang banyak, kencing lebih banyak dan berat badan semakin berkuranan. Jika penyakit berlarutan, kucing akan menjadi semakin kurus, kehilangan banyak air dan menghasilkan bau busuk dalam mulut.

Kita boleh mencegah penyakit ini dari awal dengan memberikan kucing anda diet yang baik (diet untuk senior cat) serta menyediakan air yang segar dan bersih. Buah pinggang adalah organ yang tidak ada penjanaan tisu, jadi jika ianya rosak, penyakit akan terus berlarutan.

Jika penyakit ini telah bermula, prosesnya boleh dilambatkan dengan kawalan diet, bendalir dan rawatan lain. Namun perlu diingat, ia hanya untuk melambatkan sahaja, dan tidak lagi boleh disembuhkan.

Ujian darah boleh dilakukan untuk mengesan penyakit ini, tetapi masalahnya dalam kebanyakan situasi ia hanya dikesan setelah 50% fungsi buah pinggang itu telah hilang. Saya tidak nampak penyelesaian yang lebih baik melainkan pencegahan awal. Lagipun ia cukup mudah, iaitu diet yang baik, dan air yang bersih.

Hypertension

Jangan tensen mendengar nama penyakit ini, kerana ia hanyalah nama manja bagi tekanan darah tinggi. Penyakit ini biasanya berlaku seiring dengan kedua-dua penyakit kelenjar tiroid dan buah pinggang di atas.

Ujian tekanan darah kucing juga agak sukar dilakukan, disebabkan oleh kucing kebiasaannya akan stress setiap kali dibawa ke klinik, menyebabkan tekanan darahnya meningkat dengan sendirinya.

Selalunya penyakit ini dirawat dengan mengawal penyakit utama yang menyebabkannya. Contohnya tekanan darah tinggi berlaku disebabkan adanya penyakit buah pinggang, maka kawalan terhadap penyakit buah pinggang akan merawat tekanan darah tinggi itu secara tak langsung. Atau dirawat dengan menggunakan pil.

Kanser

Pada masa kini, kucing hidup lebih lama berbanding 30-40 tahun dahulu, dan ini meningkatkan berlakunya kanser. Pelik juga kan, apabila kualiti hidup semakin meningkat, kemungkinan menghidap penyakit yang lebih bahaya juga turut meningkat.

Kanser, puncanya tidak begitu diketahui sama lah seperti yang berlaku pada manusia. Puncanya masih belum jelas, namun teknologi juga semakin meningkat untuk menghadapi penyakit ini, walaupun bukan sepenuhnya.

Rawatan kanser adalah seperti kemoterapi, pembedahan, radiasi dan immunoterapi. Menghadapi kanser adalah sukar dan rawatan yang ada hanyalah untuk memanjangkan hayat dan mengekalkan kualiti hidupnya sebaik mungkin.

Diabetes mellitus

Atau dikenali sebagai kencing manis. Kucing yang menghidapi kencing manis tidak dapat mengendalikan glukosa (gula) dengan baik, yang merupakan sumber tenaga utama bagi tubuh.  Kucing itu akan makan dan menghasilkan gula dalam badan, tetapi gula itu tidak diserap oleh badan.

Ini menyebabkan kucing kelaparan walaupun dia telah makan. Tanda-tanda penyakit ini adalah hampir sama seperti penyakit buah pinggang. Kucing mempunyai selera makan yang tinggi, minum air dengan banyak, kencing dengan banyak dan berat badan menurun.

Kebanyakan kucing perlu diberikan suntikan insulin sebanyak 2 kali sehari. Ini kerana penyakit ini disebabkan oleh kekurangan insulin yang dihasilkan oleh pankreas. Insulin inilah yang diperlukan oleh tubuh untuk menyerap glukosa tersebut.

Inflammatory bowel disease (IBD)

Penyakit ini menyerang perut atau usus dan biasanya kucing akan mengalami muntah atau cirit-birit yang tidak dapat disembuhkan dengan rawatan biasa. Ujian diberikan samada menggunakan endoskop (tiub disalurkan ke sistem penghadaman) atau pembedahan.

Rawatan biasanya diberikan untuk meredakan keradangan, mengawal jangkitan dan selalunya, ubatan yang diberi dalam tempoh jangka masa panjang.

Bacaan Penuh....

Apabila Kucing Meningkat Tua

Ditulis oleh feliscatus pada Tuesday, October 20, 2009

Kucing senior
Kucing senior perlukan banyak rehat
Foto daripada Hotash

Kucing tidak akan hidup selama-lamanya, walaupun kita mahukannya begitu. Apabila kita berkongsi kediaman kita dengan kucing selama beberapa tahun, dia akan menjadi sebahagian dari ahli keluarga, dan hubungan emosi yang kuat akan terbina.

Kucing memberikan rasa kasih yang tidak ada penamat dan tanpa bersyarat. Samada anda hensem atau tidak, cantik atau tidak, kaya atau miskin, kucing anda akan tetap bersama anda dan tidak akan mempersoalkan anda.

Kita boleh mencegah banyak masalah yang boleh mengancam atau mengurangkan jangka hayatnya melalui pembacaan di blog ini, atau di tips-tips di blog lain. Kucing adalah haiwan yang sangat pandai menyembunyikan masalahnya, maka apabila umurnya semakin meningkat kita perlulah lebih peka terhadap sebarang perubahan dalam aktiviti harian dan perilakunya.

Pengesanan awal adalah kunci untuk meningkatkan hayat kucing dan memperbaiki kualiti hidupnya.

Berapa Lama Kucing Saya Akan Hidup?

Ada beberapa formula boleh digunakan untuk menganggarkan umur kucing dengan nisbahan kepada umur manusia. Secara umumnya boleh dikatakan kucing berumur 7 tahun bersamaan dengan manusia berumur 1 tahun.

Sebenarnya kucing mengalami pertumbuhan yang lebih pesat dalam beberapa tahun terawal dalam hidupnya. Jadi untuk tahun-tahun terawal kucing adalah bersamaan dengan lebih dari 7 tahun manusia.

Mungkin ada yang tertanya-tanya berapa purata umur kucing, kebiasaannya adalah antara 13 hingga 15 tahun, terutamanya jika kucing itu dipelihara sebagai indoor. Tapi semasa saya di klinik dahulu banyak juga kucing yang berumur sehingga 19 – 20 tahun.

Jika kucing dibenarkan keluar dari rumah, jangka hayatnya akan berkurang disebabkan risiko yang ada di luar sana. Kucing terdedah kepada lebih banyak penyakit dan bahaya seperti racun, atau musuh utama kucing iaitu…kereta dan manusia (kanak-kanak yang suka menyiksa binatang).

Timbul pula persoalan baru, apa yang dikatakan 'tua'? Susah juga nak tentukan bila sebenarnya kucing itu akan dikategori sebagai tua. Biasanya kita akan (atau sepatutnya) memulakan program khas penjagaan kesihatan apabila kucing menjangkau umur 7 atau 11 tahun. Apabila kucing mencecah umur 12 tahun, kebanyakan kucing akan mula merasai kesan penuaan.

Terdapat beberapa penyakit yang muncul pada kucing disebabkan proses penuaan. Setiap sel dalam badan haiwan (juga manusia) diprogramkan untuk berfungsi pada sekadar-kadar waktu sahaja, dan kadaran itu berbeza-beza untuk setiap individu binatang walaupun untuk spesies yang sama. Dalam erti kata lainnya, kucing dan seluruh tubuhnya (termasuk kita) mempunyai expired date.

Sesetengah binatang kelihatan tua pada umur 10 tahun, manakala yang lain pula lebih tegap dan masih bertenaga pada umur 15 tahun. Setengah organ tubuh kelihatan lebih cepat tua (baca: expired) berbanding organ lain, dan inilah antara sebab mengapa beberapa masalah kesihatan lebih kerap berlaku pada kucing tua.

Jadual Bandingan Umur Kucing-Manusia

Kucing (tahun) Manusia (tahun)
1 16
2 21
3 26
4 30
5 34
6 38
7 42
8 46
9 50
10 54
11 58
12 62
13 66
14 70
15 74
16 78
17 82
18 86
19 90
20 94

Bacaan Penuh....

Penyakit Yang Dicegah Melalui Vaksin

Ditulis oleh feliscatus pada Monday, October 12, 2009

Anak kucing dijangkiti FVR
Anak kucing dijangkiti FVR (Feline Viral Rhinotracheitis)

Biasanya kita perlukan sehingga 14 hari selepas suntikan vaksin sebelum tindakbalas imuniti berfungsi dengan sepenuhnya.

Jadi, jika kita suntik kucing pada hari ini, dia tidak akan mempunyai perlindungan imuniti sehingga sekurang-kurangnya 14 hari selepas suntikan diberi.

Keputusan untuk vaksinasi terhadap penyakit-penyakit tertentu dinilai melalui beberapa faktor. Terdapat 11 jenis penyakit berjangkit yang boleh dilindungi oleh vaksin (dikeluarkan oleh beberapa pengeluar).

Setiap vaksin adalah spesifik, hanya memberikan perlindungan terhadap 1 jenis penyakit sahaja (dan mungkin 1-2 penyakit ringan yang lain).

Senarainya disertakan dibawah, namanya memang pelik-pelik, tapi saya letakkan penerangan ringkas di sebelahnya supaya kita mudah faham.

  • Rhinotracheitis virus/feline herpes
    • Juga dikenali sebagai FVR (Feline Viral Rhinotracheiteis) atau FRV (Feline Rhinotracheiteis Virus), menyebabkan keradangan pada mata dan hidung.
  • Calici virus
    • Seperti FVR,  virus Calici menyerang sistem pernafasan termasuk mulut dan boleh merebak ke paru-paru.
  • Panleukopenia virus
    • Juga dikenali sebagai FPV, sangat-sangat merbahaya, mudah berjangkit di kalangan kucing, menyerang sistem saraf dan imuniti. Anda MEMANG tidak mahu kucing anda dijangkiti penyakit ini.
  • Chlamydia (pneumonitis)
    • Virus ini hidup dalam sistem perkumuhan, kemaluan, pernafasan dan penghadaman, kesannya boleh dilihat pada mata dan jika dijangkiti oleh anak kucing boleh menyebabkan kerosakan paru-paru yang serius.
  • Feline leukemia virus
    • Ringkasannya adalah FeLV, sangat bahaya kerana boleh menyebabkan kanser yang membunuh. Risiko tinggi jika kucing anda adalah outdoor, merebak melalui air liur (menjilat bulu, bekas makanan dll) atau gigitan (bergaduh, bermain dll).
  • Rabies virus
    • Pernah dengar penyakit anjing gila? Air liur yang sentiasa meleleh, agresif dan suka menyerang. Boleh menjangkiti manusia atau binatang lain.
  • Feline infectious peritonitis virus
    • Ringkasannya FIP, atau FECV (Feline Enteric Coronavirus), jangkitannya tidaklah serius dan biasanya kucing boleh kembali sihat. Tak banyak diketahui tentang penyakit ini, vaksin boleh kurangkan risiko tetapi jangkitan mungkin boleh berlaku juga.
  • Bordetella
    • Sangat merbahaya kepada anak kucing kerana boleh menyebabkan kematian. Lendiran tebal pada hidung dan mulut, bersin dan batuk (kucing sebenarnya jarang batuk, beri perhatian jika kucing anda batuk).
  • Ringworm fungus
    • Cacing gelang, didapati dari tanah dan najis, susah dikawal jika kucing outdoor. Boleh menjangkiti manusia tapi tidak serius, mudah diubati (kecuali anak kucing, jangkitan boleh menjadi serius).
  • Feline immunodeficiency virus
    • Ringkasannya FIV, kucing yang menghidapi FeLV berkemungkinan besar juga menghidapi FIV. Virus ini menyerang sel darah putih kucing, sama seperti AIDS pada manusia. Sistem imuniti akan lumpuh dan kucing terdedah kepada pelbagai penyakit lain, sangat merbahaya (tapi tidak menjangkiti manusia).
  • Giardia
    • Berpunca dari parasit yang hidup dalam najis kucing, sebab itu amat penting kita bersihkan kotak najisnya seberapa kerap (dan bersihkan diri anda selepas itu).  Menyebabkan kucing kehilangan nutrisi yang boleh membawa kepada penyakit lain. Boleh berjangkit pada manusia.

Hah, macam mana, susah kan memelihara kucing? :p

Bacaan Penuh....

Alam Kucing Tergendala…

Ditulis oleh feliscatus pada Saturday, October 10, 2009

Laman ini mengalami 'batuk-batuk' kecil dan sedikit kesulitan untuk beroperasi. Ianya bukan berpunca dari blogspot tetapi dari kekangan masa yang saya hadapi. Saya ingin memohon maaf kepada semua yang yang telah mengutus komen serta menghantar emel, kerana saya tidak dapat menjawab pertanyaan anda dalam masa terdekat ini.

Kepada semua pembaca, saya harap jika ada kesulitan, terutama yang kecemasan, langkah terbaik adalah berhubung dengan klinik haiwan terdekat. Saya faham jika ada yang mengalami masalah kewangan untuk membiayai kos pemeriksaan atau rawatan untuk kucing, tetapi sekurang-kurangnya ambil lah nombor telefon klinik tersebut.

Laman ini akan dikemas kini artikelnya dari masa ke semasa, tetapi saya rasa saya tidak dapat memberi maklumbalas pantas terhadap komen-komen dalam waktu terdekat.

Terima kasih kerana masih sudi membaca, dan maafkan saya sekali lagi kerana kesulitan ini. Saya sedang berusaha untuk menguruskan masa…huhu.

Bacaan Penuh....

Berkongsi tip dan kaedah penjagaan kucing kesayangan. Kesihatan, perilaku, baka, makanan dan apa sahaja yang berkaitan dengan si comel. Mengatasi masalah pembuangan najis, mencakar, kencing melalui cara terbaik.

-feliscatus @ AlamKucing.blogspot.com-

 Langgani suapan RSS