Menilai Keperluan dan Jadual Vaksinasi Kucing

3 ulasan
Kucing berpakaian doktor

Antibodi yang diperoleh daripada ibu kucing bertujuan untuk melindungi anak kucing yang baru dilahirkan daripada pelbagai penyakit.

Ianya datang daripada susu ibunya atau kolostrum yang kaya dengan antibodi. Namun kekebalan awal ini akan berkurang apabila anak kucing berumur 8 hingga 12 minggu.

Pada peringkat ini, anak kucing itu memerlukan perlindungan tambahan. Saya galakkan anda membaca dahulu catatan pengenalan suntikan vaksin sebelum meneruskan bacaan ini.

Ketahanan tubuh kucing berkurang

Di sinilah fungsi pelalian, iaitu untuk mengajar sistem ketahanan tubuh kucing untuk melawan ejen yang membawa penyakit-penyakit tertentu.

Ia memberi perlindungan imuniti terhadap penyakit, bergantung kepada vaksin apa yang diberikan. Imuniti ini akan melindungi kucing daripada kebanyakan gejala yang berkaitan dengan ejen penyakit tersebut.

Tetapi ciptaan ini tidaklah sempurna kerana jangkitan masih boleh berlaku. Cumanya risiko jangkitan boleh dikurangkan melalui suntikan vaksin.

Lebih kurang 14 hari diperlukan oleh kucing untuk membina sistem ketahanan ini selepas suntikan vaksin diberikan. Namun tidak dapat dipastikan dengan tepat berapa lama pula perlindungan ketahanan ini dapat bertahan selepas itu.

Bilakah kucing perlu divaksin

Setiap kucing yang baru dipelihara yang tidak diketahui sejarah kesihatannya perlu dibawa dahulu ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan, nyahcacing dan vaksinasi, mengikut tertib itu.

Perkara ini menjadi lebih mustahak jika anda sudahpun mempunyai kucing di rumah. Memperkenalkan kucing baru kepada kucing sediada, seandainya kucing baru mempunyai penyakit berjangkit, boleh menjangkiti kucing sediada.

Secara umumnya kucing diberi sekali suntikan vaksin pada setiap umur:

  1. Suntikan pertama (FVRCP) - 8 minggu.
  2. Suntikan ulangan (FVRCP & Rabies) - 12 minggu.

Atau

  1. Suntikan pertama (FVRCP) - 12 minggu.
  2. Suntikan ulangan (FVRCP & Rabies) - 16 minggu.

Kemudiannya diikuti suntikan penggalak yang diberi samada setahun sekali atau 3 tahun sekali.

Suntikan penggalak ini bergantung kepada keadaan kucing kita, sejarah kesihatan dan persekitarannya.

Suntikan vaksin teras

Di Malaysia, suntikan teras terdiri daripada tiga jenis vaksin sebagai pendinding untuk tiga jenis virus, digabungkan dalam satu suntikan.

Teras ini bererti vaksin yang sepatutnya perlu diberikan kepada kucing. Tiga jenis vaksin teras ialah Panleukopenia, Rinotrakeitis dan Kalisi di mana ketiga-tiganya mudah berjangkit.

Entah kenapa, suntikan ini dikenali dengan pelbagai jenis nama iaitu:

  • FVRCP, iaitu Feline Virus - Rinotracheities, Calici & Panleukopenia.
  • FHCP, iaitu Feline Herpesvirus, Calici & Panleukopenia (Herpes ialah nama am bagi Rinotrakeitis).
  • TriCat, merujuk kepada suntikan trivaksin kepada kucing.
  • F3, merujuk kepada 3 jenis virus Felin.

Semuanya merujuk kepada suntikan vaksin yang sama iaitu Rinotrakeitis, Kalisivirus dan Panleukopenia.

Dalam bahasa yang paling mudah, ia adalah vaksin untuk penyakit demam selesema teruk, penyakit mata dan mulut, dan penyakit kurang darah putih. Ia kurang tepat tapi itulah yang paling senang difahami.

Suntikan vaksin tak teras

Selain daripada suntikan teras, terdapat beberapa vaksin yang diberikan kepada kucing bergantung kepada sejarah dan gaya hidup kucing itu sendiri.

Senarai vaksin bukan teras ialah:

  • Klamidia
  • Rabies
  • Leukemia atau FeLV
  • Bordetella

Vaksin rabies, atau gila, bukanlah suntikan teras tetapi memandangkan Malaysia terdedah kepada rabies bawaan kelawar maka kucing disuntik juga dengan vaksin rabies bersekali dengan vaksin teras.

Maka namanya juga akan disebut-sebut sebagai, misalnya, F3 + Rabies atau FVRCP + Rabies, dan ini melibatkan dua suntikan iaitu satu suntikan kombinasi F3 dan satu lagi Rabies.

Begitu juga dengan klamidia atau senang cerita, bengkak mata, yang sering dimasukkan dalam jadual vaksinasi kucing anda.

Dan macam biasa, disebut pula dengan pelbagai nama seperti:

  • FVRCP-C, iaitu Feline Virus Rhinotrakeiteis, Calici, Panleukopenia + Chlamydia
  • TetraCat, merujuk kepada suntikan 4 vaksin kepada kucing.
  • F4, merujuk kepada 4 jenis virus Felin iaitu Rinotrakeitis, Kalisi, Panleukopenia dan Klamidia.

Terpulanglah kepada anda yang mana satu hendak disebut, tapi semuanya merujuk kepada perkara yang sama iaitu vaksin teras termasuk klamidia.

Dan jika disertakan dengan leukemia, ia dikenali pula sebagai F5. Anda dibenarkan untuk pening kepala sekarang :)

Apa yang ada dalam vaksin?

Adakah pening kepala anda sudah hilang :) Bagus, jangan mengalah. Kalau boleh saya hendak paksa anda baca catatan ini sehingga faham.

Dalam vaksin ada virus. Itulah jawapan paling pendek. Ada vaksin bakteria, tapi itu biasanya untuk ternakan.

Misalnya kombinasi vaksin teras, FVRCP mengandungi tiga jenis virus di dalamnya iaitu Rinotrakeitis, Kalisi dan Panleukopenia.

Tetapi virus di dalam vaksin bukan virus aktif. Ia samada telah mati atau ubahsuaian hidup.

Sebenarnya ada banyak jenis, misalnya JPV mempunyai 7 jenis vaksin termasuklah virus hidup. Tapi untuk memudahkan kita ambilkira dua sahaja, mati atau ubahsuaian hidup.

Ubahsuaian hidup bererti virus itu ditumpulkan serangannya. Anggap sahaja ibarat nyamuk yang dipotong belalainya menyebabkan ia tidak lagi boleh menggigit.

Bagaimana vaksin berfungsi

Apabila virus ini, mati atau tempang, disuntik ke dalam tubuh kucing, sistem imunisasi kucing akan bertindak untuk menyerang penceroboh ini.

Disebabkan virus yang disuntik itu lemah maka imunisasi kucing berjaya mengalahkannya dengan mudah. Sistem ketahanan kucing akan belajar daripada pengalaman bagaimana untuk bertahan daripada virus yang disuntik itu.

Maka sistem ketahanan kucing akan menjadi lali. Kerana itulah dipanggil pelalian.

Pertempuran ini berlangsung kira-kira dua minggu. Disebabkan itu, sepatutnya kucing divaksin semasa ia sedang sihat dan bukan ketika sakit.

Di samping itu, mungkin terdapat bahan adjuvan yang ditambah ke dalam vaksin terutamanya dalam virus mati untuk menggalakkan lagi imunisasi kucing bertindak ke atasnya.

Virus mati itu ibarat penceroboh, dan bahan adjuvan itu ibarat gendang atau pembesar suara yang memberitahu sistem ketahanan kucing bahawa " Kami sudah berada di sini, marilah".

Tapi adjuvan itu sendiri bukanlah di pihak yang baik. Ia ibarat sekapal dengan virus. Adjuvan sengaja memberi keradangan pada tempat suntikan itu.

Adjuvan tidak semestinya pada virus mati sahaja, anda perlu bertanya kepada doktor adakah vaksin yang diberikan itu mengandungi adjuvan atau tidak, jika anda mahu tahu.

Bagaimana menentukan vaksin yang perlu diberi kepada kucing?

Doktor itu sendiri akan menentukan vaksin mana diperlukan oleh kucing anda, tetapi ada baiknya juga jika kita turut mengenali secara ringkas bagaimana keputusan ini dibuat.

Apabila membuat keputusan untuk suntikan vaksinasi, beberapa faktor (biasanya dikaitkan dengan risiko) akan dipertimbangkan iaitu:

  • Umur kucing
  • Jumlah kucing yang dipelihara di rumah
  • Samada kucing kita terdedah kepada luaran atau kucing luar rumah (bebas merayau di luar)
  • Samada kucing itu ditempatkan di kemudahan asrama
  • Di mana kucing itu tinggal.
  • Samada kucing itu kerap di bawa untuk aktiviti luar (pameran, pertandingan dan sebagainya).

Umur kucing

Anak kucing yang masih muda sebenarnya sangat sensitif dan terdedah kepada penyakit berbanding kucing dewasa. Ini adalah kerana anak kucing mempunyai sistem imuniti yang masih belum matang.

Pada peringkat awal, anak kucing akan menerima antibodi melalui susu ibunya. Susu ini dipanggil kolostrum (warnanya juga sedikit berbeza) dan cukup kaya dengan antibodi, diserap ke dalam sistem tubuhnya.

Sebab itu adalah amat mustahak kita memastikan anak kucing yang baru dilahirkan mesti disusui oleh ibunya dalam tempoh 24 jam yang pertama.

Dalam sesetengah situasi, ibu kucing kelihatan enggan menyusui anaknya (biasanya berlaku pada ibu kucing yang pertama kali melahirkan anak), kita perlu campur tangan, kurungnya dalam sangkar untuk memastikan antibodi itu dapat diwarisi.

Imuniti ini akan berkurang menjelang umur 12 minggu dan anak kucing itu perlu membina sendiri antibodi yang diperlukan.

Antibodi akan terhasil, atau terbentuk dalam 2 keadaan. Yang pertama, apabila disuntik dengan vaksin, dan yang kedua, apabila terdedah kepada penyakit berjangkit.

Jumlah kucing di rumah

Bilangan kucing yang kita pelihara di rumah, atau pendedahannya kepada kucing lain juga menjadi salah satu menilai pemberian suntikan vaksin.

Risiko terdedah kepada penyakit berjangkit bagi 1-2 ekor kucing di rumah adalah lebih rendah berbanding rumah yang mempunyai banyak kucing.

Kucing luar rumah atau terdedah kepada kucing luar

Kucing yang keluar dari rumah dan berkawan atau berhubungan dengan kucing jalanan atau kucing dalam/luar rumah yang lain mempunyai risiko lebih tinggi untuk terdedah kepada penyakit berjangkit.

Kucing ditempatkan di kemudahan asrama

Kucing yang ditempatkan di khidmat asrama, atau di pusat perlindungan, sementara atau kekal, mempunyai risiko pendedahan kepada penyakit berjangkit.

Ini disebabkan oleh tekanan, kesesakan dan juga jumlah kucing yang terlalu banyak.

Begitu juga kucing yang sering di bawa keluar untuk pameran, atau lawatan (balik kampung dan sebagainya). Ini kerana kucing yang datang dari persekitaran berbeza boleh membawa ejen jangkitan bersama-samanya.

Berapakah kos untuk vaksinasi kucing?

Harganya berdasarkan jumlah suntikan iaitu di klinik kerajaan lebih kurang RM30 - RM40 per suntikan manakala klinik swasta mungkin RM40 - RM50.

Misalnya di klinik kerajaan untuk vaksin teras dan rabies memerlukan dua suntikan maka mungkin anda perlu bayar RM60 - RM80.

Setiap klinik pun berbeza-beza harganya jadi kalau hendak selamat sediakanlah RM100 untuk kunjungan kali pertama.

Telefon klinik dahulu samada perlu dibuat janjitemu atau tidak. Biasanya tidak perlu janjitemu untuk melakukan pelalian. Yang penting, bawa semasa kucing sihat.

Bukan kita yang pilih vaksin mana yang hendak disuntik, ya.

Doktor akan periksa kucing anda terlebih dahulu dan diisikan dalam kad. Jangan nanti anda pula yang pilih, "Saya hendak vaksin itu dan yang ini" :)

Namun anda tetap berhak untuk menolak vaksin-vaksin tertentu.

Pengenalan Suntikan Vaksin Terhadap Kucing

7 ulasan
Kucing menerima rawatan

Pernahkah kucing anda menerima suntikan pelalian atau vaksin di klinik? Jika pernah, mungkin kita akan tertanya-tanya apakah maksud FVRCP dan FeLV yang tertera pada kad klinik yang diberikan.

Kebanyakannya tidak pernah bertanya apakah makna perkataan-perkataan tersebut, dan hanya berkata kepada doktor, "Buatlah apa yang perlu".

Tidaklah salah meletakkan keyakinan itu kepada mereka yang pakar, tetapi adalah lebih baik jika kita juga memahami apa yang mereka lakukan.

Sebagai pemilik kucing, amat berguna jika kita mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan tentang beberapa penyakit yang boleh dihindari (atau dikurangkan risikonya) melalui suntikan vaksin.

Kita juga mungkin akan terkejut apabila mengetahui yang suntikan vaksin sebenarnya tidaklah bersifat pelindung mutlak, sepertimana yang kita sangkakan, malah suntikan berkala pada setiap tahun juga mungkin tidak begitu sesuai untuk kucing anda.

Tujuan vaksin adalah untuk mengajar sistem imunisasi kucing melawan beberapa penyakit berjangkit yang menyerang kucing. Adakah sistem ini perlu diingatkan pada setiap tahun?

Perlu ke vaksin?

Vaksinasi atau pelalian adalah antara beberapa perkara mengelirukan sejak bertahun-tahun. Sesetengahnya berpendapat jika kucing tersebut dipelihara dalam-rumah, tidak melepaskan diri dan tidak berhubung dengan binatang di luar maka tidak perlu lagi divaksin selepas tempoh matang.

Ada juga yang berpendapat vaksinasi tahunan adalah tidak perlu tetapi yang penting ialah divaksin secara kerap atau 2-3 kali setahun. Ada juga yang berkata vaksinasi tahunan adalah satu-satunya cara untuk selamat.

Bukan itu sahaja, jenis vaksin yang diberikan juga merupakan topik yang mengelirukan.

Sebab itu jika kita pergi ke 3 buah klinik dan bertanya mengenai perkara ini mungkin kita akan mendapat 3 jawapan yang berbeza.

Namun begitu, setiap pendapat yang berbeza ini mempunyai hujah yang boleh diterima, dan tidak bermakna pendapat orang lain adalah salah.

Mencegah lebih baik daripada merawat

Sistem imunisasi kucing yang tidak terdedah kepada mana-mana penyakit adalah tidak begitu kuat berbanding yang pernah mengalaminya.

Ini kerana mereka tidak berpeluang untuk membina imuniti untuk melawan penyakit tersebut.

Maka, apabila sistem ketahanan kucing dirangsang dengan penyakit, ia berpeluang untuk membina pertahanan melawan penyakit tersebut.

Pelalian membolehkan kucing didedahkan kepada beberapa virus (dengan selamat), dan mengukuhkan ketahanan bukan sahaja melindunginya daripada penyakit tertentu sahaja tetapi untuk semua penyakit, secara umumnya.

Bagaimana dengan kesan sampingannya?

Dalam masa yang sama juga, terdapat risiko yang melibatkan pelalian dan risiko ini meningkat dengan peningkatan kekerapan kucing kita divaksin, misalnya kanser.

Suntikan yang bertujuan untuk menyelamatkan nyawa akhirnya mungkin menjadi kanser yang membunuhnya. Ada sesetengah kucing pula mengalami ketumbuhan daripada vaksin tertentu, seperti kanser sarkoma.

Bukan semua kucing akan mengalami kes seperti ini tetapi risikonya tetap ada. Cuma saya lebih suka bersikap adil, berkongsi pengetahuan dan meraikan pendapat walaupun ianya berbeza.

Peninglah, apa keputusannya?

Apa yang saya ingin sampaikan di sini ialah, vaksin adalah sebahagian aspek penting sebagai langkah pencegahan dalam penjagaan kesihatan kucing.

Menolak terus vaksinasi adalah tidak wajar dan mengutamakan vaksinasi sahaja sambil mengabaikan perkara lain juga tidak wajar.

Ramai yang salah faham dan menganggap vaksin adalah lebih penting berbanding pemeriksaan amali oleh doktor.

Suntikan vaksin kini adalah murah sehingga ada pemilik kucing yang mengabaikan pemeriksaan tahunan kesihatan kucing, dan ini tidak wajar.

Ringkasnya, vaksinkanlah kucing anda kerana jika diserang penyakit berjangkit, habis semuanya akan berjangkit.

Ini tidak bermakna kita perlu semudah, "Oh, vaksin? Semuanya? Ya, cucuklah".

Dan gunakanlah juga pertimbangan sendiri untuk menilai keperluan suntikan penggalak tahunan.

Jangan pula menganggap vaksin sebagai tangkal ajaib, penyelesai semua perkara. Pemeriksaan amali tahunan jauh lebih penting.