Alam Kucing

Berkongsi Kaedah Penjagaan Kucing.

Menilai Keperluan Vaksin

Ditulis oleh feliscatus pada Tuesday, August 25, 2009

Vaksinasi bergantung kepada situasi & keperluan kucing itu sendiri

Secara umumnya kucing diberi sekali suntikan vaksin ketika berumur 8 minggu dan sekali lagi pada umur 12 minggu atau 16 minggu.

Kemudiannya dipanggil booster shot yang diberi samada setahun sekali atau 3 tahun sekali. Suntikan tahunan atau booster ini bergantung kepada keadaan kucing kita.

Biasanya vet akan menentukan kadar yang diperlukan oleh kucing anda, tetapi ada baiknya juga jika kita turut mengenali secara ringkas bagaimana keputusan ini ditentukan.

Apabila membuat keputusan untuk suntikan vaksinasi, beberapa faktor (biasanya dikaitkan dengan risiko) akan dipertimbangkan iaitu:

  • Umur kucing
  • Jumlah kucing yang dipelihara di rumah
  • Samada kucing kita terdedah kepada luaran atau kucing outdoor (bebas merayau di luar)
  • Samada kucing itu ditempatkan di kemudahan boarding. (tak banyak khidmat boarding di Malaysia, sedih kan?)
  • Di mana kucing itu tinggal. (di Malaysia kebanyakannya di kawasan rumah)
  • Samada kucing itu kerap di bawa untuk aktiviti luar (pameran, pertandingan dan sebagainya).

Umur kucing

Anak kucing yang masih muda sebenarnya sangat sensitif dan terdedah kepada penyakit berbanding kucing dewasa. Ini adalah kerana anak kucing mempunyai sistem imuniti yang masih belum matang. Pada peringkat awal, anak kucing akan menerima antibodi melalui susu ibunya. Susu ini dipanggil colostrum (warnanya juga sedikit berbeza) dan cukup kaya dengan antibodi, diserap ke dalam sistem tubuhnya.

Sebab itu adalah amat mustahak kita memastikan anak kucing yang baru dilahirkan mesti disusui oleh ibunya dalam tempoh 24 jam yang pertama. Dalam sesetengah senario, ibu kucing kelihatan enggan menyusui anaknya (biasanya berlaku pada ibu kuicng yang pertama kali melahirkan anak), kita perlu campur tangan, kurungnya dalam sangkar untuk memastikan antibodi itu dapat diwarisi.

Imuniti ini akan berkurang menjelang umur 12 minggu dan anak kucing itu perlu membina sendiri antibodi yang diperlukan. Antibodi akan terhasil, atau terbentuk dalam 2 keadaan. Yang pertama, apabila disuntik dengan vaksin, dan yang kedua, apabila terdedah kepada penyakit berjangkit.

Jumlah kucing di rumah

Bilangan kucing yang kita pelihara di rumah, atau pendedahannya kepada kucing lain juga menjadi salah satu menilai pemberian suntikan vaksin. Risiko terdedah kepada penyakit berjangkit bagi 1-2 ekor kucing di rumah adalah lebih rendah berbanding rumah yang mempunyai banyak kucing.

Kucing outdoor atau terdedah kepada kucing luar

Kucing yang keluar dari rumah dan berinteraksi/bersentuhan/berhubungan dengan kucing jalanan atau kucing indoor/outdoor yang lain mempunyai risiko lebih tinggi untuk terdedah kepada penyakit berjangkit.

Kucing ditempatkan di kemudahan Boarding

Kucing yang ditempatkan di khidmat boarding, atau di pusat perlindungan, sementara atau kekal, mempunyai risiko pendedahn kepada penyakit berjangkit. Ini disebabkan oleh tekanan, kesesakan dan juga jumlah kucing yang terlalu banyak.

Begitu juga kucing yang sering di bawa keluar untuk pameran, atau lawatan (balik kampung dan sebaginya). Ini kerana kucing yang datang dari persekitaran berbeza boleh membawa ejen jangkitan bersama-samanya.

Bacaan Penuh....

Bagaimana Vaksin Berfungsi?

Ditulis oleh feliscatus pada Saturday, August 15, 2009

Antibodi yang diperolehi dari ibu kucing bertujuan untuk melindungi anak kucing yang baru dilahirkan dari banyak penyakit. Ianya datang dari susu ibunya atau colostrum yang kaya dengan antibodi. Namun imuniti awal ini akan berkurang apabila anak kucing berumur 8 hingga 12 minggu. Pada peringkat ini, anak kucing itu memerlukan perlindungan tambahan.

Di sinilah fungsi vaksin, iaitu untuk mengajar sistem imuniti kucing untuk melawan ejen yang membawa penyakit-penyakit tertentu. Kebanyakan doktor akan bersetuju bahawa suntikan vaksin pada umur 8 minggu, dan kemudiannya pada umur 12 minggu adalah mencukupi.

Suntikan vaksin pada peringkat umur ini akan memberi perlindungan imuniti terhadap penyakit (bergantung kepada vaksin apa yang diberikan). Imuniti ini akan melindungi kucing dari kebanyakan simptom yang berkaitan dengan ejen penyakit tersebut, tetapi ciptaan ini tidaklah sempurna kerana jangkitan masih boleh berlaku. Cumanya risiko jangkitan boleh dikurangkan melalui suntikan vaksin.

Lebih kurang 14 hari diperlukan oleh kucing untuk membina sistem imuniti ini selepas suntikan vaksin diberikan. Tetapi tidak dapat dipastikan dengan tepat berapa lama pula perlindungan imuniti ini dapat bertahan selepas itu.

Vaksinasi tahunan telah lama menjadi piawaian veterinari, dan kebanyakan dari kita juga telah di ajar untuk memberi suntikan ini di klinik setiap tahun. Tetapi pendekatan ini telah mula dibahaskan sejak tahun 90-an lagi. Para veterinar mempersoalkan samada vaksin tahunan itu perlu atau tidak.

Pada kiriman sebelum ini telah saya kongsi bagaimana kucing saya, Putih mengalami kanser yang berkaitan dengan suntikan vaksin feline leukemia (diberi secara tahunan). Risiko kanser dan tumor yang dikaitkan dengan vaksin adalah antara perkara yang menyebabkan para vet mempersoalkan samada ianya perlu atau tidak.

NOTA: Ini tidak bermakna suntikan vaksin merbahaya pada kucing. Saya hanya cerita benda ini supaya kita lebih faham tentang keperluan vaksin, tahu hadnya dan tahu bagaimana menilai 'had' tersebut, bukan sekadar mendengar cerita orang (termasuk cerita saya), ianya bergantung kepada keperluan kucing dan bukan untuk memenuhi jadual temujanji suntikan.

Tak sempat juga nak habiskan topik ni minggu ini. Terpaksa sambung minggu depan :p

Bacaan Penuh....

Pengenalan Vaksin Kepada Kucing

Ditulis oleh feliscatus pada Friday, August 07, 2009

Jarum suntikan vaksin
Vaksinasi, salah satu aspek penjagaan kucing

Pernahkah kucing anda menerima suntikan vaksin di klinik? Jika pernah, mungkin kita akan tertanya-tanya apakah maksud FRCP, FeLV dan FIP yang tertera pada kad klinik yang diberikan.

Kebanyakannya tidak pernah bertanya apakah makna perkataan-perkataan tersebut, dan hanya berkata kepada doktor, "Buatlah apa yang perlu".

Tidaklah salah meletakkan keyakinan itu pada mereka yang pakar, tetapi adalah lebih baik jika kita juga memahami apa yang mereka lakukan.

Sebagai pemilik kucing, amat berguna jika kita mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan tentang beberapa penyakit yang boleh dihindari (atau dikurangkan risikonya) melalui suntikan vaksin.

Kita juga mungkin akan terkejut apabila mengetahui yang suntikan vaksin sebenarnya tidaklah bersifat pelindung mutlak, sepertimana yang kita sangkakan, malah suntikan berkala pada setiap tahun juga mungkin tidak begitu sesuai untuk kucing anda.

Tujuan vaksin adalah untuk mengajar sistem imunisasi kucing melawan beberapa penyakit berjangkit yang menyerang kucing. Adakah sistem ini perlu diingatkan pada setiap tahun?

Kiriman kali ini dan beberapa lagi pada masa akan datang mungkin agak membosankan, kerana kita akan bercerita tentang aspek perubatan dan penyakit-penyakit tertentu. Namun saya akan cuba mengolahnya kepada bahasa yang kita semua faham, dan tidak terlalu fokus kepada istilah-istilah teknikal.

Perlu ke vaksin?

Vaksinasi adalah antara beberapa perkara kontroversi sejak bertahun-tahun. Sesetengahnya berpendapat jika kucing tersebut indoor, tidak melepaskan diri dan tidak berhubung dengan binatang di luar maka tidak perlu lagi di vaksin selepas tempoh matang.

Ada juga yang berpendapat vaksinasi tahunan adalah tidak perlu tetapi yang penting adalah di vaksin secara kerap atau 2-3 kali setahun. Ada juga yang berkata vaksinasi tahunan adalah satu-satunya cara untuk selamat.

Bukan itu sahaja, jenis vaksin yang diberikan juga merupakan topik yang kontroversi.

Sebab itu jika kita pergi ke 3 buah klinik dan bertanya mengenai perkara ini mungkin kita akan mendapat 3 jawapan yang berbeza. Namun begitu, setiap pendapat yang berbeza ini mempunyai hujah yang boleh diterima, dan tidak bermakna pendapat orang lain adalah salah.

Sistem imunisasi kucing yang tidak terdedah kepada mana-mana penyakit adalah tidak begitu kuat berbanding yang pernah mengalaminya. Ini kerana mereka tidak berpeluang untuk membina imuniti untuk melawan penyakit tersebut.

Sepertimana kehidupan kita sendiri, jika kita tidak pernah jatuh, bagaimana kita akan belajar untuk bangun? Sebab itu kita tidak perlu takut untuk gagal kerana ini akan mengajar kita menjadi manusia yang lebih baik.

Maka, apabila sistem imunisasi kucing dirangsang dengan penyakit, ia berpeluang untuk membina pertahanan melawan penyakit tersebut. Vaksinasi membolehkan kucing didedahkan kepada beberapa virus (dengan selamat), dan mengukuhkan imunisasi bukan sahaja melindungi dari penyakit tertentu sahaja tetapi untuk semua penyakit, secara umumnya.

Dalam masa yang sama juga, terdapat risiko yang melibatkan vaksinasi dan risiko ini meningkat dengan peningkatan kekerapan kucing kita divaksin. Kucing saya yang terakhir, Putih, mengalami kanser yang terlalu agresif dan tidak boleh dibendung lagi. Kanser ini dirangsang oleh vaksin, iaitu ia mempunyai kaitan dengan vaksin feline leukemia yang diberi secara tahunan sebagai kucing outdoor.

Suntikan yang bertujuan untuk menyelamatkan nyawa akhirnya menjadi kanser yang membunuhnya. Ada sesetengah kucing pula mengalami tumor dari vaksin tertentu, seperti feline leukemia dan rabies.

Bukan semua kucing akan mengalami kes seperti ini. Cuma saya lebih suka bersikap adil, berkongsi pengetahuan dan meraikan pendapat walaupun ianya berbeza.

Ia adalah ibarat pil Panadol. Jika kita demam, kita boleh memilih untuk makan Panadol untuk meredakan demam. Dalam masa yang sama, Panadol juga memberi risiko kepada kesihatan jika berlebihan, iaitu menjadi racun yang tersimpan di dalam hati dan buah pinggang.

Apa yang saya ingin sampaikan di sini ialah, vaksin adalah sebahagian aspek penting sebagai langkah pencegahan dalam penjagaan kesihatan kucing. Tetapi ramai yang salah faham dan menganggap vaksin adalah lebih penting berbanding pemeriksaan hands-on oleh doktor. Suntikan vaksin kini adalah murah sehingga ada pemilik yang mengabaikan pemeriksaan tahunan kesihatan kucing (medical check-up/annual health care).

Bacaan Penuh....

Berkongsi tip dan kaedah penjagaan kucing kesayangan. Kesihatan, perilaku, baka, makanan dan apa sahaja yang berkaitan dengan si comel. Mengatasi masalah pembuangan najis, mencakar, kencing melalui cara terbaik.

-feliscatus @ AlamKucing.blogspot.com-

 Langgani suapan RSS