Kucing Original?

1 ulasan
Kucing terkejut

Kebanyakan kucing yang tinggal di rumah bukanlah daripada baka murni. Kucing baka murni membawa maksud ianya daripada keturunan atau baka yang mempunyai rekod, atau salasilah yang jelas.

Misalnya kucing Siam, Bali, Parsi, Bengal, Maine Coon dan Norwegian Forest Cat.

Sesetengah daripada kita agak salah faham mengenai perkara ini, ada yang berkata dia mempunyai kucing Parsi dan dibeli di sekian-sekian kedai tetapi apabila bercakap tentang sijil, dia tidak mempunyainya.

Kucing baka murni, termasuk kucing Parsi asli, mempunyai sijil daripada Cat Fanciers' Association, CFA (Persatuan Penggemar Kucing) atau The International Cat Association, TICA (Persatuan Kucing Antarabangsa) yang mengesahkan bahawa dirinya adalah daripada baka kucing Parsi.

Memiliki bentuk muka besar dan ke dalam, berbulu tebal panjang tidak bererti kucing itu ialah kucing Parsi, yang mengesahkannya ialah sijil dan hanya diperoleh daripada pembiak baka yang bertauliah sahaja.

Bagaimana hendak dapatkan sijil kucing?

Anda mungkin beroleh dua atau tiga sijil apabila mendapatkan kucing baka murni bergantung kepada pembiak baka itu dan peraturan pertubuhan yang mengawalnya.

Pertamanya ialah sijil baka murni atau surat beranak atau salasilah, dikeluarkan oleh pembiak baka itu sendiri. Di dalamnya akan terdapat rekod susur-galur keturunan seperti nama induk jantan, betina serta datuk-neneknya mungkin sehingga dua atau tiga keturunan.

Kedua, sijil pendaftaran, atau slip, iaitu sijil yang dikeluarkan oleh pertubuhan penyelia baka kucing seperti CFA dan TICA. Kadangkala pembiak baka akan meminta anda mengembirikan atau memandulkan kucing itu terlebih dahulu sebelum dikeluarkan sijil pendaftaran.

Syarat sebegini ialah perkara biasa bergantung kepada syarat pembelian tapi perlu diingatkan sijil daftar hanya dikeluarkan oleh pertubuhan dan bukannya individu. Anda mungkin perlu membuat bayaran tambahan untuk pendaftaran.

Pada sijil pendaftaran ini nama pemilik akan dipindahkan daripada pembiak baka kepada nama anda. Ini bererti anda dan kucing anda secara sahnya didaftarkan kepada pertubuhan berkenaan.

Ketiga, sijil perubatan iaitu vaksinasi, nyahcacing dan lain-lain bergantung kepada keadaan.

Pentingkah sijil-sijil itu semua?

Jika kucing itu bukan kucing Parsi sebenar atau tidak berdaftar sekalipun, tidaklah membawa maksud ianya perlu dijauhi, kerana kucing tetap kucing, samada bersijil atau tidak.

Saya hanya berkongsi perkara ini kerana mahu mengelakkan diri anda ditipu pula apabila membeli kucing biasa dengan harga RM3,000 kerana menyangka ia adalah Parsi.

Seandainya ia adalah baka murni tetapi tidak didaftarkan atau tidak bersijil, sepatutnya harga yang anda bayar itu jauh lebih rendah berbanding kucing berdaftar.

Ada banyak sebab mengapa kucing baka murni tidak didaftarkan. Anda perlu bertanya kepada pembiak baka itu sendiri kerana tidak semestinya melibatkan penipuan, adakalanya ia disebabkan kerumitan peraturan.

Mengapa kucing baka murni terlalu mahal?

Secara ringkasnya, kereta Ferrari tidak sama dengan kereta Kancil dari segi mutunya. Baka murni dibiakkan dengan ciri-ciri khusus diperturunkan melalui tempoh yang panjang.

Lihat di internet gambar kucing Abyssinia atau Bengal. Tidakkah anda terpukau melihatnya? Ia bukan hanya dari segi susuk tubuh bahkan perwatakan kucing itu sendiri dipelihara perturunannya.

Kucing-kucing itu juga dipelihara dalam keadaan yang terbaik. Makanan terbaik, kesihatan terbaik, hubungan terbaik, waktu bermain terbaik. Segala-galanya terbaik. Gantikan kata 'terbaik' itu dengan 'mahal'.

Seandainya kucing itu dibiakkan daripada induk Juara atau 'Champion', boleh jadi harganya juga semakin meninggi.

Begini, saya hendak sebut satu perkara yang mungkin menyinggung perasaan. Bunyinya begini, "Jika anda masih perlu bertanya mengapa kucing baka murni mahal, bererti anda tidak mampu mendapatkannya".

Janganlah berkecil hati, kerana saya juga tidak pernah memiliki kucing seperti itu. Kebanyakan daripada kita masih malu segan dan tidak berkemampuan untuk menjaga hatta keperluan asas kucing.

Jadi tak perlulah bersusah-hati mengapa baka murni harganya mahal, kerana kucing itu bukan untuk kita. Lebih baik kita tumpukan untuk menjaga keperluan asas kucing-kucing sediada ini.

Kucing Yang Lain Tidak Original?

Seperti saya katakan tadi, kucing tetap kucing dan jika anda memeliharanya maka tanggungjawab anda ke atas peliharaan anda adalah sama.

Kucing biasa ini bermaksud kucing yang tidak berdaftar, sama seperti ibubapanya dan dalam kebanyakan situasi, berasal daripada keturunan campuran.

Kucing ini juga dikenali sebagai baka campuran (mix breed), berbulu pendek tempatan (domestic shorthair, DSH) atau berbulu panjang tempatan (domestic longhair, DLH)

Tak perlulah bersusah-susah menyebut nama Inggeris. Sebut sahaja kucing biasa, kucing kampung atau kacukan.

Jadi, jika kita mempunyai kucing yang kelihatan seperti kucing Parsi, tetapi tidak bersijil atau berdaftar, maka ianya dipanggil DLH, atau kucing bulu panjang tempatan, atau kucing campuran/kacukan Parsi.

Saya tidak mahir tentang baka murni, dari segi penjagaan am, tidak banyak bezanya kucing baka biasa atau baka murni.

Mungkin ada juga penjagaan khusus untuk sesetengah baka seperti Sphinx yang tidak berbulu, dan lain-lainnya tetapi seperti yang saya katakan tadi, saya tidak mahir mengenainya kerana saya hanya memelihara kucing biasa sahaja.

Atas sebab yang sama juga, tidak banyak catatan yang berkaitan dengan penjagaan khusus jenis-jenis baka kucing di blog ini.

Jika anda berminat, saya syorkan anda berkunjung ke blog Kittun, anda boleh lihat di blognya mempunyai banyak gambar kucing peliharaan Bengal yang cantik-cantik. Kittun juga seorang pembiak baka murni Bengal yang bertauliah.

Pendapat peribadi

Saya tidak pernah memiliki sebarang kucing baka murni. Ada pembiak yang meletakkan harga rendah, ada juga tinggi.

Secara peribadi, saya lebih suka harganya ditinggikan lagi.

Mengapa? Supaya harga yang tinggi itu sebagai tanda bahawa mereka yang mahu membeli kucing tersebut mampu menyediakan dan memenuhi setiap keperluan kucing itu saat ia berpindah tangan tanpa sebarang kecuaian.

Ini untuk mencegah sebilangan daripada kita yang kurang mampu dari segi kewangan, tetapi mahu mengejar-ngejarnya. Samada keinginan ini didorongi prestij atau tidak, saya kurang pasti.

Saya sendiri mengakui setiap kali melihat kilauan bulu kucing Abyssinia di internet kadangkala saya membayangkan diri saya seakan-akan raja purbakala sedang bersiar-siar sambil ditemani harimau kecil seperti itu.

Tetapi purbakala saya itu serta-merta menjadi sediakala apabila melihat puluhan kucing-kucing terbuang dan terbiar di pasar-pasar.

Dan kucing-kucing terbuang itu tidak pernah membuang dirinya sendiri. Ada tangan lain yang membuangnya.

Biarlah mereka yang berada sahaja membeli kucing seperti itu. Apa kata kita angkat sahaja kucing-kucing di pusat perlindungan atau yang terbiar di jalanan.

Boleh jadi 'Champion' anda sedang menanti kehadiran anda di sana :)

Panduan Memandulkan Kucing Betina dan Apa Anda Perlu Tahu

47 ulasan
Kucing terlalu banyak

Sepertimana kucing jantan, kucing betina juga seeloknya dimandulkan atau spay. Penjagaan kucing sebelum dan selepas pembedahan adalah hampir sama seperti kucing jantan yang dikembiri, jadi kebanyakan kandungan catatan ini saya hanya salin sahaja daripada catatan sebelumnya.

Apa itu spay?

Spaying atau Ovariohisterektomi yakni pemandulan ialah pembedahan di mana bahagian uterus, salur falopio dan ovari kucing betina akan dibuang.

Kebanyakan klinik melakukan pemandulan ke atas kucing sebagai pesakit luar, iaitu kita bawa kucing, dibedah dan pulang pada hari yang sama.

Kucing akan diletakkan dalam keadaan bius, biasanya secara gas, dan bahagian perut (abdomen) akan dibedah. Bahagian rahimnya akan dibuang dan luka pembedahan akan dijahit.

Jahitan itu samada tertanggal sendiri atau anda perlu membawa kucing anda kembali ke klinik untuk dibuang jahitan selepas lebih kurang 10 hari, bergantung kepada pertimbangan doktor itu sendiri.

Mengapa perlu spay?

Pemandulan akan menghalang kucing betina mengalami kitar heat dan menyelesaikan masalah kerumitan pada bahagian ovari, pembiakan tidak terkawal, jangkitan uterus, dan masalah perilaku yang berlaku semasa tempoh mengawan.

Ini juga dapat mengurangkan tekanan yang dialami kucing betina (dan juga anda!) terhadap kerumitan yang dilalui semasa ia galak.

Selain daripada masalah perilaku yang berlaku, kucing betina galak juga mungkin akan menjilat bulunya secara keterlaluan, hilang selera makan dan kencing di luar bekas pasir.

Kucing ialah haiwan yang cepat beranak dan pemandulan menghalang daripada berlakunya pembiakan tak terkawal. Seekor kucing melahirkan 3-4 ekor anak, dan dalam beberapa bulan dia akan mengandung lagi, dan melahirkan beberapa ekor anak lagi.

Dalam masa yang sama anak-anaknya akan dewasa, dan yang betina akan baligh dan melahirkan anak mereka pula. Adakah kita mampu untuk menjaganya? Makanan, tempat tinggal, ubatan dan tidak lupa juga hubungan di antara jiran-jiran (kencing pada tayar kereta jiran, berak pada tangga rumah jiran)?

Janganlah terlalu mudah mengatakan ini semua menzalimi kucing. Bagaimana pula hal menzalimi jiran? Telah dibincangkan soal hukum dan apakah benar ianya zalim atau menindas kucing.

Dari segi kesihatan, mandul dapat mengurangkan risiko kanser payudara, jangkitan uterus dan penyakit berjangkit yang dipindahkan melalui hubungan seksual.

Mandul, sepertimana kembiri, akan menjadikan kucing lebih tenang dan tidak merayau jauh, kurang agresif dan tidak begitu mempertahankan kawasannya.

Kucing betina yang dimandulkan akan menjadi teman yang baik kerana lebih suka mendampingi tuannya.

Adakah spay akan mengubah personaliti kucing?

Tidak, malah menjadikannya lebih tenang dan tidak terganggu serta mengganggu anda dan jiran anda setiap kali melalui tempoh mengawan beberapa kali setahun.

Anda tidak akan mengalami masalah kucing betina memancutkan kencingnya merata-rata (ya, kucing betina juga menyembur semasa galak), dan lain-lain perilaku yang muncul semasa tempoh mengawan.

Pemandulan juga tidak akan menghapuskan naluri memburunya, dan tidak akan menjadikannya gemuk atau malas. Ini hanyalah dongeng sahaja.

Memang benar metabolisme kucing akan menurun jika dimandulkan, tetapi ramai yang terlepas pandang bahawa semasa kucing matang, pengambilan makanan perlu dikurangkan tidak seperti semasa dia masih kecil.

Pemandulan tidak boleh disalahkan dalam hal kegemukan oleh kerana kita memberinya makan lebih daripada keperluan kucing itu sendiri. Berkenaan dengan malas, tidak ada kena-mengena dengan mandul.

Malas, boleh jadi kerana kurang senaman, iaitu masa bermain di mana masih ramai pemilik kucing yang mengabaikan masa bermain ini. Akhirnya menyebabkan kucing menjadi bosan.

Bila perlu spay?

Sebaik-baiknya, kita melakukan pemandulan ini sebelum kucing mengalami kitar galaknya yang pertama iaitu lebih kurang umur 6 bulan.

Tidak ada manfaat membiarkan kucing betina mengalami kitar galak pertama , apatah lagi jika membiarkan dia mengandung untuk pertama kali sebelum dimandulkan.

Malah risiko kanser payudara juga akan meningkat jika kita membiarkannya melalui beberapa kitar galak sebelum dilakukan pemandulan. Tetapi banyak manfaatnya jika kita memandulkannya sebelum kucing mengalami tempoh galak.

Selain itu, jika dilakukan sebelum matang, operasi pembedahan juga menjadi lebih mudah dan kurang rumit.

Bolehkah kucing dibawa terus ke klinik?

Hubungi klinik atau hospital dan lakukan janjitemu terlebih dahulu.

Biasanya, doktor akan minta supaya kucing dibawa untuk pemeriksaan am untuk memastikan kucing anda sihat. Ini perkara normal, mandul melibatkan pembedahan iaitu luka yang lebih dalam berbanding kembiri, maka kucing yang sakit ditambahkan lagi luka fizikal, bukanlah perkara yang baik.

Jika ini pertama kali anda membawa kucing ke klinik, kucing anda mungkin diberi ubat cacing dan jika dipersetujui, vaksinasi.

Pada waktu ini juga anda berpeluang untuk melihat sendiri keadaan di klinik itu, dan lakukanlah pertimbangan untuk memilih klinik tersebut atau klinik lain.

Seandainya kucing diberi suntikan vaksin, klinik akan membuat janjitemu kedua untuk dilakukan pengembirian seawal seminggu kemudian.

Saya sarankan dua minggu kemudian kerana tubuh kucing perlukan masa untuk menguasai vaksin yang diberi. Biarlah lambat asalkan selamat.

Apa yang perlu dibuat sebelum dan selepas spay?

Sama juga seperti pengembirian, puasakan kucing anda lebih kurang 10 jam sebelum pembedahan kerana perut yang berisi makanan mengundang masalah semasa pembedahan.

Jika semuanya baik, tidak ada masalah melakukan pembedahan semasa dibius. Jika ada, biasanya disebabkan oleh masalah kesihatan sediada atau teknik pembedahan yang tidak memuaskan.

Ini adalah faktor yang perlu difikirkan jika anda sedang merancang klinik mana mahu dipilih.

Proses pembedahan biasanya mengambil masa antara 20-30 minit dan boleh dibawa pulang pada sebelah petang. Lawatan ke klinik selepas pembedahan biasanya hanya untuk mengeluarkan benang jahitan.

Luka daripada pembedahan pemandulan adalah lebih dalam berbanding pengembirian, maka kaedah penjagaannya juga memerlukan lebih perhatian.

Berbeza dengan kucing jantan, adalah amat penting untuk kita mengurung kucing betina dalam tempoh ini.

Alaskan sangkarnya dengan kain lembut atau sekurang-kurangnya suratkhabar. Pastikan keadaan sangkarnya sentiasa bersih untuk mengelakkan jangkitan pada luka.

Letakkan sangkar ini pada lokasi yang tidak bising, redup atau gelap. Jauhkan daripada kanak-kanak dan bunyi bising.

Periksa jahitan lukanya sekali sehari dan pastikan ianya tidak bernanah, membengkak, darah mengalir atau mengeluarkan bau busuk.

Jika ya, bawanya ke klinik secepat mungkin. Pastikan anda menerima ubatan tahan sakit atau lain-lain yang mencukupi dari klinik.

Pastikan juga anda mendapat penerangan daripada doktor tentang apa-apa penjagaan atau rawatan khusus yang perlu diberikan sebelum dan selepas pembedahan.

Cuba cegah kucing anda daripada menjilat kesan luka itu kerana ia akan melambatkan penyembuhan (bila dijilat, luka itu akan kembali terbuka).

Cara paling mudah ialah alihkan tumpuannya dengan memberikan makanan snek. Anda juga boleh memasangkan kon perawat pada leher kucing untuk mengelakkan ia menjilat lukanya.

Dan jangan lupa ambil nombor telefon klinik anda, sebagai langkah berjaga-jaga untuk tajuk di bawah ini.

Kesan sampingan anestesia

Walaupun pembedahan spay hanya 30 minit, tetapi kucing hanya sedar daripada kesan pelali anestesia selepas 4-5 jam (atau mungkin lebih).

Biasanya doktor akan minta supaya kita tunggu sehingga kucing sedar dahulu sebelum dibawa pulang, kerana itulah prosedur ini kelihatan seperti mengambil masa lama.

Kesan anestesia ini biasanya akan hilang sepenuhnya selepas 48 jam (berbanding kucing jantan yang hanya 24 jam). Dan dalam masa itu, kita akan melihat kucing itu seperti keliru, mabuk, tidak seperti yang kita kenali atau kadangkala muntah dan mengalami cirit-birit.

Sesetengahnya juga seakan hilang daya penglihatan dan sukar berjalan, ada juga yang tidak mengelipkan mata (titiskan ubat mata ke dalamnya jika ini berlaku, minta daripada doktor).

Kesemua ini bergantung kepada jenis pelali yang diberikan atau umur kucing itu sendiri dan ia hanya kesan sementara sahaja dan tidak ada apa yang perlu dibimbangkan.

Walaupun kucing berada dalam keadaan sebegitu, pastikan ianya tidak dalam kesakitan. Misalnya kelihatan begitu bersusah payah untuk duduk, atau berdiri, meraung panjang, atau meraung dengan suara kecil tapi panjang, berulang-ulang, atau lain-lain tanda (anda lebih mengenalinya).

Dia mungkin menunjukkan rasa tidak selesa dan keliru, tapi bukan menderita atau menahan sakit, jika ya, bawakan semula ke klinik untuk diperiksa.

Ini semua mungkin kelihatan menakutkan, tetapi kebiasaannya baik-baik sahaja dan segalanya berjalan lancar. Kebanyakan kucing yang dimandulkan juga sudah mampu berdiri dan makan seperti biasa keesokan paginya.

Berapa lama kucing yang dimandulkan akan sembuh?

Kucing betina akan sedar selepas pembedahan antara 4-5 jam dan pulih sepenuhnya daripada kesan anestesia dalam tempoh 48 jam.

Luka pembedahan akan sembuh dalam tempoh 10-14 hari dan pada masa ini juga lawatan ke klinik dilakukan untuk membuang jahitan.

Apa lagi yang saya perlu tahu?

Kucing betina boleh makan dan minum seperti biasa selepas 2 hari. Jika dia kurang selera makan, mungkin ianya adalah kesan anestesia sebelum itu dan tidak perlu dibimbangkan. Dapatkan nasihat doktor tentang pemakanannya selepas pembedahan.

Jangan mandikan kucing betina selama 2 minggu selepas pembedahan, walaupun lukanya sudah sembuh tapi risau kalau-kalau terkasar, lukanya akan terbuka kembali.

Elakkan daripada aktiviti kucing terlalu aktif dalam tempoh 2 minggu ini, kurang kan bermain, melompat dan sebagainya.

Perhatikan juga isian bekas pasir, jika ia jenis berdebu mungkin boleh tukar kepada kertas untuk sementara, kerana debunya boleh menyebabkan jangkitan pada luka.

Disebabkan pemandulan ini ialah pembedahan yang menyebabkan kucing tidak lagi dapat melahirkan anak, sesetengah daripada kita mahukan kucingnya merasai pengalaman melahir dan menjaga anaknya.

Ini terutamanya berlaku kepada perempuan. Saya rasa anda hanya mahu memuaskan naluri keibuan anda sendiri dan bukannya kucing itu.

Jika anda berfikir begini, saya ada satu cadangan. Anda berkunjung ke pasar atau restoran, atau di mana-mana tempat yang banyak kucing terbuang, dan lihat sendiri apa yang berlaku kepada anak kucing yang dilahirkan tetapi tidak ada sesiapa yang mahu menjaganya.

Setiap kali anda melihat anak kucing di situ, katakan kepada diri sendiri ,"Saya akan menjaganya".

Selami hati anda, adakah kita jujur mengucapkannya selepas 5 ekor?

Saya cadangkan begitu, kerana dalam masa 2 tahun, kucing anda yang tidak dimandulkan akan mempunyai 16 ekor anak dan sekurang-kurang 8 ekor cucu.

Dan apa yang kita lihat di pasar, kebiasaannya itulah bakal rumah barunya di masa hadapan, iaitu satu kesudahan yang menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku.

Berapa kos untuk spay?

Klinik kerajaan mungkin antara RM60-80 dan klinik swasta paling mahal pun mungkin mencecah RM180. Ada yang memberikan pakej-pakej tertentu seperti pek makanan dan sebagainya, kalau mandul asas sahaja paling mahal pun lingkungan RM80-RM100.

Secara umumnya ia lebih mahal sedikit berbanding kembiri.

Panduan Mengembirikan Kucing Jantan dan Apa Anda Perlu Tahu

30 ulasan
Kucing terlalu banyak

Cara terbaik untuk mengawal jumlah pembiakan kucing adalah dengan mengkasikan kucing jantan anda. Tetapi ianya hanya berkesan jika kucing betina juga dimandulkan kerana jika tidak, akan ada kucing jantan lain menaikinya.

Telah dibincangkan sebelum ini hukum memandulkan kucing dan adakah benar ianya zalim atau menindas. Hampir tidak ada sebab mengapa kita tidak melakukannya, melainkan jika anda seorang pembiak baka atau tinggal di rumah seluas dua ekar.

Apa itu neuter?

Neuter atau Okidektomi yakni kembiri ialah pembedahan di mana kedua-dua buah zakar akan dibuang. Pembedahan ini tidak begitu sukar dan lukanya tidak dalam, malah kucing boleh balik ke rumah pada hari yang sama.

Dengan membuang buah zakar, hormon testosteron tidak akan dihasilkan oleh badan kucing. Testosteron inilah yang memberi sifat & kelakuan berikut:

  • Bau tengik dan hancing pada air kencing kucing jantan.
  • Kerangka muka yang menonjol dan lebar.
  • Kulit yang lebih tebal.
  • Aktif mempertahankan sempadan kawasan.
  • Menanda kawasan dengan semburan merata-rata.
  • Bersikap agresif, cenderung untuk bergaduh dengan kucing lain.
  • Cenderung untuk merayau jauh dari rumah.

Ramai yang merungut dengan situasi kucing jantannya memancut di sana-sini. Jawapannya ialah neuter menyelesaikan masalah ini 80-90%.

Kelakuan menyembur adalah sifat menanda kawasan, selagi kucing tidak dikasi, selagi itulah dia akan menyembur.

Masalah-masalah yang disenaraikan, termasuk beberapa lagi akan selesai atau berkurang secara mendadak jika kita melakukan pengembirian.

Ia turut menghalang penyakit kanser testikel dan risiko menghadapi masalah prostat juga akan berkurang.

Adakah neuter akan mengubah personaliti kucing?

Tidak, melainkan mengurangkan kecenderungannya untuk merayau jauh, seksual, perilaku agresif dan sempadan kawasan melalui semburan.

Kucing akan menjadi lebih dekat dengan tuannya dan suka ditemani manusia, kurang merayau jauh atau terlibat dalam pergaduhan.

Kasi tidak akan mengubah sifat memburu kucing anda. Manfaat daripadanya tidaklah dapat dilihat serta-merta, jika anak kucing yang belum matang dikembirikan mungkin anda melihat tidak ada apa-apa perubahan.

Tetapi ini dapat menghalang masalah perilaku dan bau yang kurang menyenangkan di masa hadapan.

Jika kucing anda telah baligh dan anda mengkasikannya, ubahan perilaku dan bau dapat dilihat dalam beberapa minggu disebabkan tahap testosterone masih ada, dan berkurang sedikit demi sedikit.

Pengembirian juga tidak merosotkan keupayaannya untuk mempertahankan diri daripada serangan kucing lain. Ada peminat kucing yang risau kalau-kalau kucingnya akan dibuli setelah dikasi.

Itu tidak benar sama sekali kerana baik kucing utuh atau kasi, kedua-duanya akan tetap melawan dan mempertahankan diri andai diserang.

Bila perlu neuter

Secara amnya, pada umur 6 bulan, sebelum kucing mencapai kematangan seksual. Pada peringkat ini, kucing telah matang dari segi fizikalnya, iaitu tumbesaran dan struktur tulangnya telah lengkap.

Tetapi ada juga yang melakukannya seawal umur 8 minggu dan ini masih lagi selamat dan tidak memberi kesan pada jangka masa panjang.

Kebanyakan klinik akan merawat kucing sebagai pesakit luar, iaitu kita bawa kucing pada waktu pagi, dibedah dan pulang pada hari yang sama.

Bolehkah kucing dibawa terus ke klinik?

Hubungi klinik atau hospital dan lakukan janjitemu terlebih dahulu.

Biasanya, doktor akan minta supaya kucing dibawa untuk pemeriksaan am untuk memastikan kucing anda sihat. Ini perkara normal, kasi melibatkan pembedahan iaitu luka, maka kucing yang sakit ditambahkan lagi luka fizikal, bukanlah perkara yang baik.

Jika ini pertama kali anda membawa kucing ke klinik, kucing anda mungkin diberi ubat cacing dan jika dipersetujui, vaksinasi.

Pada waktu ini juga anda berpeluang untuk melihat sendiri keadaan di klinik itu, dan lakukanlah pertimbangan untuk memilih klinik tersebut atau klinik lain.

Seandainya kucing diberi suntikan vaksin, klinik akan membuat janjitemu kedua untuk dilakukan pengembirian seawal seminggu kemudian.

Saya sarankan dua minggu kemudian kerana tubuh kucing perlukan masa untuk menguasai vaksin yang diberi. Biarlah lambat asalkan selamat.

Apa yang perlu dibuat sebelum & selepas neuter?

Setelah janjitemu dibuat, kucing perlu dipuasakan terlebih dahulu lebih kurang 8-10 jam sebelum dibedah.

Biasanya pembedahan dilakukan pada waktu pagi, bermakna kucing tidak boleh diberi makan selepas pukul 9-10 malam hari sebelumnya.

Pembedahan ini dilakukan dengan pelali anestesia, dan perut yang berisi makanan boleh menyebabkan muntah atau sesak nafas semasa dibius. Prosedurnya ringkas sahaja, sekitar 10 – 15 minit dan mungkin tidak melibatkan jahitan.

Penjagaan selepas pembedahan juga ringkas, hanya pastikan luka itu tidak bernanah, berikan ubat penahan sakit yang dibekalkan oleh doktor dan seelok-eloknya dikurung sehingga sembuh lukanya.

Jika tidak dikurung pun tak mengapa, namun biasanya kucing cenderung untuk mengheret 'telurnya' itu ke karpet atau kain kerana tidak selesa dengan luka tersebut. Dan ini akan meninggalkan kesan darah pula di dalam rumah.

Lawatan ke klinik selepas pembedahan juga tidak perlu, dalam kebanyakan kes. Tapi pastikan anda menerima ubat-ubatan tahan sakit atau lain-lain yang mencukupi dari klinik.

Pastikan juga anda mendapat penerangan daripada doktor tentang apa-apa penjagaan atau rawatan khusus yang perlu diberikan sebelum dan selepas pembedahan.

Disebabkan proses kembiri ini melibatkan testikelnya dibuang, dan lukanya dibiarkan terbuka, maka kita perlulah memantau keadaan luka tersebut setiap hari.

Jika luka itu kelihatan keluar darah, membengkak atau bernanah, kucing itu perlu di bawa semula ke klinik seberapa segera.

Cuba cegah kucing anda daripada menjilat kesan luka tu kerana ia akan melambatkan penyembuhan (bila dijilat, luka itu akan kembali terbuka).

Cara paling mudah ialah alihkan tumpuannya dengan memberikan makanan snek. Anda juga boleh memasangkan kon perawat pada leher kucing untuk mengelakkan ia menjilat lukanya.

Dan jangan lupa ambil nombor telefon klinik anda, sebagai langkah berjaga-jaga untuk tajuk di bawah ini.

Kesan sampingan anestesia

Walaupun pembedahan neuter hanya 10 minit, tetapi kucing hanya sedar daripada kesan pelali anestesia selepas 4-5 jam (atau mungkin lebih).

Biasanya doktor akan minta supaya kita tunggu sehingga kucing sedar dahulu sebelum dibawa pulang, kerana itulah prosedur ini kelihatan seperti mengambil masa lama.

Kesan anestesia ini biasanya akan hilang sepenuhnya selepas 24 jam. Dan dalam masa itu, kita akan melihat kucing itu seperti keliru, mabuk, tidak seperti yang kita kenali atau kadangkala muntah dan mengalami cirit-birit.

Sesetengahnya juga seakan hilang daya penglihatan dan sukar berjalan, ada juga yang tidak mengelipkan mata (titiskan ubat mata ke dalamnya jika ini berlaku, minta dari klinik).

Kesemua ini bergantung kepada jenis pelali yang diberikan atau umur kucing itu sendiri tetapi ia hanya kesan sementara sahaja dan tidak ada apa yang perlu dibimbangkan.

Walaupun kucing berada dalam keadaan sebegitu, pastikan ianya tidak dalam kesakitan. Misalnya kelihatan begitu bersusah payah untuk duduk, atau berdiri, meraung panjang, atau meraung dengan suara kecil tapi panjang, berulang-ulang, atau lain-lain tanda (anda lebih mengenalinya).

Dia mungkin menunjukkan rasa tidak selesa dan keliru, tapi bukan menderita atau menahan sakit, jika ya, bawakan semula ke klinik untuk diperiksa.

Ini semua mungkin kelihatan menakutkan, tetapi kebiasaannya baik-baik sahaja dan segalanya berjalan lancar.

Berapa lama kucing dikasi akan sembuh?

Ada yang hanya mengambil masa 1 hari sahaja, ada yang 2-3 hari, paling lama pun 10 hari (jarang-jarang). Dalam masa sebulan, bulu di sekitar luka itu akan tumbuh semula dan kita tidak akan perasan pun kucing itu telah menjalani pembedahan.

Apa lagi yang saya perlu tahu?

Kucing boleh makan dan minum seperti biasa selepas 1 hari. Jika dia kurang selera makan, mungkin ianya adalah kesan anestesia sebelum itu dan tidak perlu dibimbangkan. Dapatkan nasihat doktor tentang pemakanannya selepas pembedahan.

Saya syorkan agar kucing tidak dimandikan selama 2 minggu selepas pembedahan, walaupun lukanya sudah sembuh tapi risau kalau-kalau terkasar, lukanya akan terbuka kembali.

Elakkan daripada aktiviti kucing terlalu aktif dalam tempoh 2 minggu ini, kurangkan bermain, melompat dan sebagainya.

Perhatikan juga isian bekas pasir, jika ia jenis berdebu mungkin boleh tukar kepada kertas untuk sementara, kerana debunya boleh menyebabkan jangkitan pada luka.

Berapa kos untuk neuter?

Klinik kerajaan mungkin antara RM50-60 dan klinik swasta paling mahal pun mungkin mencecah RM150.

Ada yang memberikan pakej-pakej tertentu seperti pek makanan dan sebagainya, kalau kembiri asas sahaja paling mahal pun lingkungan RM80.