Alam Kucing

Berkongsi Kaedah Penjagaan Kucing.

Kucing Original?

Ditulis oleh feliscatus pada Saturday, June 20, 2009

Kebanyakan kucing yang tinggal di rumah bukanlah dari baka pedigree. Kucing pedigree membawa maksud ianya dari keturunan atau baka yang mempunyai rekod, atau salasilah yang jelas. Misalnya kucing Siam, Bali, Parsi, Bengal, Maine Coon dan Norwegian Forest Cat.

Sesetengah dari kita agak salah faham mengenai perkara ini, ada yang berkata dia mempunyai kucing Parsi dan dibeli di sekian-sekian kedai tetapi apabila ditanya tentang sijil, dia tidak mempunyainya. Kucing pedigree, termasuk kucing Parsi original, mempunyai sijil dari CFA atau TICA yang mengesahkan bahawa dirinya adalah dari baka kucing Parsi.

Memiliki bentuk muka besar dan ke dalam, berbulu tebal panjang tidak beerti kucing itu adalah kucing Parsi, yang mengesahkannya adalah sijil dan hanya boleh diperolehi dari breeder yang bertauliah sahaja.

Namun begitu, jika kucing itu bukan kucing Parsi sebenar sekalipun, tidaklah membawa maksud ianya perlu dijauhi, kerana kucing tetap kucing, samada bersijil atau tidak.

Saya hanya berkongsi perkara ini kerana mahu mengelakkan diri anda ditipu pula apabila membeli kucing biasa dengan harga RM3,000 kerana menyangka ia adalah Parsi.

Kucing Yang Lain Tidak Original?

Seperti saya katakan tadi, kucing tetap kucing dan jika anda memeliharanya maka tanggungjawab anda ke atas peliharaan anda adalah sama. Kucing biasa ini bermaksud kucing yang tidak berdaftar, sama seperti ibubapanya dan dalam kebanyakan situasi, berasal dari keturunan campuran.

Kucing ini juga dikenali sebagai mix breed, domestic shorthair (DSH) atau domestic longhair (DLH). Atau nama yang lebih glamer di sini adalah kucing biasa, atau kucing kampung. Jadi, jika kita mempunyai kucing yang kelihatan seperti kucing Parsi, tetapi tidak ada sijil, maka ianya dipanggil DLH.

Saya tidak mahir tentang pedigree, dari segi penjagaan am, tidak banyak bezanya kucing biasa atau pedigree. Mungkin ada juga penjagaan khusus untuk sesetengah baka seperti Sphnyx, dan lain-lainnya tetapi seperti yang saya katakan tadi, saya tidak mahir mengenainya kerana saya hanya pernah memelihara kucing biasa sahaja.

Atas sebab yang sama juga, tidak banyak kiriman yang berkaitan dengan jenis-jenis baka kucing di blog ini. Jika anda berminat, saya syorkan anda berkunjung ke blog Kittun, anda boleh lihat di blognya mempunyai banyak gambar kucing peliharaan yang cantik-cantik. Saya sendiri pun geram juga tengok kucing Bengal nya itu.

Bacaan Penuh....

Memandulkan Kucing Betina | Spay Bhg. 2/2

Ditulis oleh feliscatus pada Wednesday, June 17, 2009

Apa Yang Perlu Buat Sebelum dan Selepas Spay?

Sama juga seperti neuter, puasakan kucing anda lebih kurang 10 jam sebelum pembedahan kerana perut yang berisi makanan mengundang masalah semasa pembedahan.

Jika semuanya OK, tidak ada masalah melakukan pembedahan semasa di bius. Jika ada, biasanya disebabkan oleh masalah kesihatan sedia ada atau teknik pembedahan yang tidak memuaskan. Ini adalah faktor yang perlu difikirkan jika anda sedang memilih klinik mana mahu dipilih.

Proses pembedahan biasanya mengambil masa antara 20-30 minit dan boleh di bawa pulang pada sebelah petang. Lawatan ke klinik selepas pembedahan biasanya hanya untuk mengeluarkan benang jahitan.

Luka dari pembedahan spay adalah lebih dalam berbanding neuter, maka kaedah penjagaannya juga memerlukan lebih perhatian. Berbeza dengan kucing jantan, adalah amat penting untuk kita mengurung kucing betina dalam tempoh ini.

Alaskan sangkarnya dengan kain lembut atau sekurang-kurangnya suratkhabar. Pastikan keadaan sangkarnya sentiasa bersih untuk mengelakkan jangkitan pada luka. Letakkan sangkar ini pada lokasi yang tidak bising, redup atau gelap. Jauhkan dari kanak-kanak dan bunyi bising.

Periksa jahitan lukanya sekali sehari dan pastikan ianya tidak bernanah, membengkak, darah mengalir atau mengeluarkan bau busuk. Jika ya, bawanya ke vet secepat mungkin. Pastikan anda menerima ubatan tahan sakit atau lain-lain yang mencukupi dari klinik.

Pastikan juga anda mendapat penerangan dari doktor tentang apa-apa penjagaan atau rawatan khusus yang perlu diberikan sebelum dan selepas pembedahan.

Cuba cegah kucing anda dari menjilat kesan luka tu kerana ia akan melambatkan penyembuhan (bila dijilat, luka itu akan kembali terbuka). Cara paling mudah ialah alihkan tumpuannya dengan memberikan makanan snek.

Dan jangan lupa ambil nombor telefon vet anda, sebagai langkah berjaga-jaga dalam tajuk di bawah ini.

Kesan Sampingan Anesthesia

Walaupun pembedahan spay hanya 30 minit, tetapi kucing hanya sedar dari kesan pelali anesthesia selepas 4-5 jam (atau mungkin lebih). Biasanya doktor akan minta supaya kita tunggu sehingga kucing sedar dahulu sebelum di bawa pulang, kerana itulah prosedur ini kelihatan seperti mengambil masa lama.

Kesan anesthesia ini biasanya akan hilang sepenuhnya selepas 48 jam (berbanding kucing jantan yang hanya 24 jam). Dan dalam masa itu, kita akan melihat kucing itu seperti keliru, mabuk, tidak seperti yang kita kenali atau kadangkala muntah dan mengalami cirit-birit.

Sesetengahnya juga seakan hilang daya penglihatan dan sukar berjalan, ada juga yang tidak mengelipkan mata (titiskan ubat mata kedalamnya jika ini berlaku, minta dari vet).

Kesemua ini bergantung kepada jenis pelali yang diberikan atau umur kucing itu sendiri dan ia hanya kesan sementara sahaja dan tidak ada apa yang perlu dibimbangi.

Walaupun kucing berada dalam keadaan sebegitu, pastikan ianya tidak dalam kesakitan. Misalnya kelihatan begitu bersusah payah untuk duduk, atau berdiri, meraung panjang, atau meraung dengan suara kecil tapi panjang, berulang-ulang, atau lain-lain tanda (anda lebih mengenalinya).

Dia mungkin menunjukkan rasa tidak selesa dan keliru, tapi bukan menderita atau menahan sakit, jika ya, bawakan semula ke vet untuk diperiksa.

Ini semua mungkin kelihatan menakutkan, tetapi kebiasaannya ok-ok sahaja dan segalanya berjalan lancar. Kebanyakan kucing yang di spay juga sudah mampu berdiri dan makan seperti biasa keesokan paginya.

Berapa Lama Kucing di Spay Akan Sembuh?

Kucing betina akan sedar selepas pembedahan antar 4-5 jam dan pulih sepenuhnya dari kesan anesthesia dalam tempoh 48 jam. Luka pembedahan akan sembuh dalam tempoh 10-14 hari dan pada masa ini juga lawatan ke klinik dilakukan untuk membuang jahitan.

Apa Lagi Yang Saya Perlu Tahu?

Kucing betina boleh makan/minum seperti biasa selepas 2 hari. Jika dia kurang selera makan, mungkin ianya adalah kesan anesthesia sebelum itu dan tidak perlu dibimbangkan. Dapatkan nasihat doktor tentang pemakanannya selepas pembedahan.

Jangan mandikan kucing betina selama 2 minggu selepas pembedahan, walaupun lukanya sudah sembuh tapi risau kalau-kalau terkasar, lukanya akan terbuka kembali. Elakkan dari kucing terlalu aktif dalam tempoh 2 minggu ini, kurang kan bermain, melompat dan sebagainya.

Perhatikan juga isian kotak najis, jika ia jenis berdebu mungkin boleh tukar kepada kertas untuk sementara, kerana debunya boleh menyebabkan jangkitan pada luka.

Disebabkan spaying ini adalah pembedahan yang menyebabkan kucing tidak lagi dapat melahirkan anak, sesetengah daripada kita mahukan kucingnya merasai pengalaman melahir dan menjaga anaknya.

Jika anda berfikir begini, saya ada satu cadangan. Anda berkunjung ke pasar atau restoran, atau di mana-mana tempat yang banyak kucing terbuang, dan lihat sendiri apa yang berlaku kepada anak kucing yang dilahirkan tetapi tidak ada sesiapa yang mahu menjaganya.

Setiap kali anda melihat anak kucing di situ, katakan pada diri sendiri ,"Saya akan menjaganya". Selami hati anda, adakah kita jujur mengucapkannya selepas 5 ekor?

Saya cadangkan begitu, kerana dalam masa 2 tahun, kucing anda yang tidak dimandulkan akan mempunyai 16 ekor anak dan sekurang-kurang 8 ekor cucu. Dan apa yang kita lihat di pasar, kebiasaannya itulah bakal rumah barunya di masa hadapan, iaitu satu kesudahan yang menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku.

Berapa Kos Untuk Spay?

Klinik kerajaan mungkin antara RM60-80 dan klinik swasta paling mahal pun mungkin mencecah RM180. Ada yang memberikan pakej-pakej tertentu seperti pek makanan, mandian dan sebagainya, kalau basic spay sahaja paling mahal pun lingkungan RM80-RM100.

Secara umumnya ia lebih mahal sedikit berbanding neuter.

Bacaan Penuh....

Memandulkan Kucing Betina | Spay Bhg. 1/2

Ditulis oleh feliscatus pada Saturday, June 13, 2009

Sepertimana kucing jantan, kucing betina juga seeloknya di mandulkan atau spay. Penjagaan kucing sebelum dan selepas pembedahan adalah hampir sama seperti kucing jantan yang di neuter, jadi kebanyakan kandungan kiriman ini saya hanya salin sahaja dari kiriman sebelumnya.

Apa itu Spay?

Spaying atau Ovariohysterectomy adalah pembedahan dimana bahagian uterus, tiub fallopio dan ovari kucing betina akan dibuang. Kebanyakan vet melakukan spaying ke atas kucing sebagai pesakit luar, iaitu kita bawa kucing, di bedah dan pulang pada hari yang sama.

Kucing akan diletakkan dalam keadaan bius, biasanya secara gas, dan bahagian perut (abdomen) akan dibedah. Bahagian rahimnya akan dibuang dan luka pembedahan akan dijahit.

Jahitan itu samada tertanggal sendiri atau anda perlu membawa kucing anda kembali ke klinik untuk dibuang jahitan selepas lebih kurang 10 hari, bergantung kepada pertimbangan doktor itu sendiri.

Apa Kelebihan Spay?

Spaying akan menghalang kucing betina mengalami kitar heat dan menyelesaikan masalah kerumitan pada bahagian ovari, pembiakan tidak terkawal, jangkitan uterus, dan masalah perilaku yang berlaku semasa tempoh mengawan.

Ini juga dapat mengurangkan tekanan yang dialami kucing betina (dan juga anda!) terhadap kerumitan yang dilalui semasa heat. Selain dari masalah perilaku yang berlaku, kucing betina yang 'ghairah' juga mungkin akan menjilat bulunya secara keterlaluan, hilang selera makan dan kencing di luar kotak najis.

Kucing adalah haiwan yang 'cepat beranak' dan spaying menghalang dari berlakunya pembiakan tak terkawal. Seekor kucing melahirkan 3-4 ekor anak, dan dalam beberapa bulan dia akan mengandung lagi, dan melahirkan beberapa ekor anak lagi.

Dalam masa yang sama anak-anaknya akan dewasa, dan yang betina akan baligh dan melahirkan anak mereka pula. Adakah kita mampu untuk menjaganya? Makanan, tempat tinggal, ubatan dan tidak lupa juga hubungan di antara jiran-jiran (kencing pada tayar kereta jiran, berak pada tangga rumah jiran)?

Janganlah terlalu mudah mengatakan ini semua adalah menzalimi kucing.

Dari segi kesihatan, spaying dapat mengurangkan risiko kanser payudara, jangkitan uterus dan penyakit berjangkit yang dipindahkan melalui hubungan seksual.

Spaying, sepertimana neuter, akan menjadikan kucing lebih tenang dan tidak merayau jauh, kurang agresif dan tidak begitu mempertahankan kawasannya. Kucing yang di spay akan menjadi teman yang baik kerana lebih suka mendampingi tuannya.

Adakah Spay Akan Mengubah Personaliti Kucing?

Tidak, malah menjadikannya lebih tenang dan tidak terganggu serta menganggu anda setiap kali melalui tempoh mengawan beberapa kali setahun.

Anda tidak akan mengalami masalah kucing betina memancutkan kencingnya merata-rata (ya, kucing betina juga spray semasa dalam heat), dan lain-lain perilaku yang muncul semasa tempoh mengawan.

Spaying juga tidak akan menghapuskan naluri memburunya, dan tidak akan menjadikannya gemuk atau malas. Ini hanyalah mitos sahaja. Memang benar metabolisme kucing akan menurun jika di spay, tetapi ramai yang terlepas pandang bahawa semasa kucing matang, pengambilan makanan perlu dikurangkan tidak seperti semasa dia masih kecil.

Spaying tidak boleh disalahkan dalam hal kegemukan oleh kerana kita memberinya makan lebih dari keperluan kucing itu sendiri. Berkenaan dengan malas, tidak ada kena-mengena dengan spaying.

Malas, boleh jadi kerana kurang senaman, iaitu masa bermain dimana masih ramai pemilik kucing yang mengabaikan masa bermain ini. Akhirnya menyebabkan kucing menjadi bosan.

Bila Perlu Spay?

Sebaik-baiknya, kita melakukan spay ini sebelum kucing mengalami kitar heat nya yang pertama (lebih kurang umur 6 bulan). Tidak ada manfaat membiarkan kucing betina mengalami kitar heat pertama , apatah lagi jika membiarkan dia mengandung untuk pertama kali sebelum spay.

Malah risiko kanser payudara juga akan meningkat jika kita membiarkannya melalui beberapa kitar heat sebelum dilakukan spay. Tetapi banyak manfaatnya jika kita memandulkannya sebelum kucing mengalami heat.

Selain itu, jika dilakukan sebelum matang, operasi pembedahan juga menjadi lebih mudah dan kurang rumit.

Bacaan Penuh....

Memandulkan Kucing Jantan | Neuter Bhg 2/2

Ditulis oleh feliscatus pada Wednesday, June 10, 2009

Apa Yang Perlu Di buat Sebelum & Selepas Neuter?

Setelah temujanji telah dibuat, kucing perlu di puasa kan terlebih dahulu lebih kurang 8-10 jam sebelum di bedah. Biasanya pembedahan dilakukan pada waktu pagi, bermakna kucing tidak boleh diberi makan selepas pukul 9-10 malam (hari sebelumnya).

Pembedahan ini dilakukan dengan pelali anesthesia, dan perut yang berisi makanan boleh menyebabkan muntah atau sesak nafas semasa dibius. Prosedurnya ringkas sahaja, sekitar 10 – 15 minit dan mungkin tidak melibatkan jahitan.

Penjagaan selepas pembedahan juga ringkas, hanya pastikan luka itu tidak bernanah,berikan ubat penahan sakit yang dibekalkan oleh vet dan seelok-eloknya dikurung sehingga sembuh lukanya. Jika tidak dikurung pun tak mengapa, namun biasanya kucing cenderung untuk mengheret 'telurnya' itu ke karpet atau kain kerana tidak selesa dengan luka tersebut. Dan ini akan meninggalkan kesan darah pula pada kawasan rumah.

Lawatan ke klinik selepas pembedahan juga tidak perlu, dalam kebanyakan kes. Tapi pastikan anda menerima ubatan tahan sakit atau lain-lain yang mencukupi dari klinik. Pastikan juga anda mendapat penerangan dari doktor tentang apa-apa penjagaan atau rawatan khusus yang perlu diberikan sebelum dan selepas pembedahan.

Disebabkan proses neuter ini melibatkan testikelnya dibuang, dan lukanya dibiarkan terbuka, maka kita perlulah memantau keadaan luka tersebut setiap hari. Jika luka itu kelihatan keluar darah, membengkak atau bernanah, kucing itu perlu di bawa semula ke vet seberapa segera.

Cuba cegah kucing anda dari menjilat kesan luka tu kerana ia akan melambatkan penyembuhan (bila dijilat, luka itu akan kembali terbuka). Cara paling mudah ialah alihkan tumpuannya dengan memberikan makanan snek.

Dan jangan lupa ambil nombor telefon vet anda, sebagai langkah berjaga-jaga dalam tajuk di bawah ini.

Kesan Sampingan Anesthesia

Walaupun pembedahan neuter hanya 10 minit, tetapi kucing hanya sedar dari kesan pelali anesthesia selepas 4-5 jam (atau mungkin lebih). Biasanya doktor akan minta supaya kita tunggu sehingga kucing sedar dahulu sebelum di bawa pulang, kerana itulah prosedur ini kelihatan seperti mengambil masa lama.

Kesan anesthesia ini biasanya akan hilang sepenuhnya selepas 24 jam. Dan dalam masa itu, kita akan melihat kucing itu seperti keliru, mabuk, tidak seperti yang kita kenali atau kadangkala muntah dan mengalami cirit-birit.

Sesetengahnya juga seakan hilang daya penglihatan dan sukar berjalan, ada juga yang tidak mengelipkan mata (titiskan ubat mata kedalamnya jika ini berlaku, minta dari vet).

Kesemua ini bergantung kepada jenis pelali yang diberikan atau umur kucing itu sendiri dan ia hanya kesan sementara sahaja dan tidak ada apa yang perlu dibimbangi.

Walaupun kucing berada dalam keadaan sebegitu, pastikan ianya tidak dalam kesakitan. Misalnya kelihatan begitu bersusah payah untuk duduk, atau berdiri, meraung panjang, atau meraung dengan suara kecil tapi panjang, berulang-ulang, atau lain-lain tanda (anda lebih mengenalinya).

Dia mungkin menunjukkan rasa tidak selesa dan keliru, tapi bukan menderita atau menahan sakit, jika ya, bawakan semula ke vet untuk diperiksa.

Ini semua mungkin kelihatan menakutkan, tetapi kebiasaannya ok-ok sahaja dan segalanya berjalan lancar.

Berapa Lama Kucing di Neuter Akan Sembuh?

Ada yang hanya mengambil masa 1 hari sahaja, ada yang 2-3 hari, paling lama pun 10 hari (jarang-jarang). Dalam masa sebulan, bulu di sekitar luka itu akan tumbuh semula dan kita tidak akan perasan pun kucing itu telah menjalani pembedahan.

Apa Lagi Yang Saya Perlu Tahu?

Kucing boleh makan/minum seperti biasa selepas 1 hari. Jika dia kurang selera makan, mungkin ianya adalah kesan anesthesia sebelum itu dan tidak perlu dibimbangkan. Dapatkan nasihat doktor tentang pemakanannya selepas pembedahan.

Saya syorkan agar kucing tidak dimandikan selama 2 minggu selepas pembedahan, walaupun lukanya sudah sembuh tapi risau kalau-kalau terkasar, lukanya akan terbuka kembali. Elakkan dari kucing terlalu aktif dalam tempoh 2 minggu ini, kurang kan bermain, melompat dan sebagainya.

Perhatikan juga isian kotak najis, jika ia jenis berdebu mungkin boleh tukar kepada kertas untuk sementara, kerana debunya boleh menyebabkan jangkitan pada luka.

Berapa Kos Untuk Neuter?

Klinik kerajaan mungkin antara RM50-60 dan klinik swasta paling mahal pun mungkin mencecah RM150. Ada yang memberikan pakej-pakej tertentu seperti pek makanan, mandian dan sebagainya, kalau basic neuter sahaja paling mahal pun lingkungan RM80.

Bacaan Penuh....

Memandulkan Kucing Jantan | Neuter Bhg. 1/2

Ditulis oleh feliscatus pada Saturday, June 06, 2009

Cara terbaik untuk mengawal jumlah pembiakan kucing adalah dengan mengkasikan kucing jantan anda. Tetapi ianya hanya efektif jika kucing betina juga dimandulkan kerana jika tidak, akan ada kucing jantan lain menaikinya.

Telah dibincangkan sebelum ini hukum memandulkan kucing dan adakah benar ianya zalim atau menindas. Hampir tidak ada sebab mengapa kita tidak melakukannya, melainkan jika anda seorang breeder.

Apa itu Neuter?

Neuter atau Orchidectomy adalah pembedahan dimana kedua-dua testikel akan di buang. Pembedahan ini tidak begitu sukar dan lukanya tidak dalam, malah kucing boleh balik ke rumah pada hari yang sama.

Dengan membuang testikel, hormon testosteron tidak akan dihasilkan oleh badan kucing. Testosteron ini lah yang memberi sifat & kelakuan berikut:

  • Bau tengik dan hancing pada air kencing kucing jantan.
  • Kerangka muka yang menonjol dan lebar.
  • Kulit yang lebih tebal.
  • Aktif mempertahankan sempadan kawasan.
  • Menanda kawasan dengan kencing/spraying merata-rata.
  • Bersikap agresif, cenderung untuk bergaduh dengan kucing lain.
  • Cenderung untuk merayau jauh dari rumah.

Ramai yang merungut dengan situasi kucing jantannya kencing di sana-sini. Jawapannya adalah neuter menyelesaikan masalah ini 80-90%. Kelakuan spraying adalah sifat menanda kawasan, selagi kucing tidak dineuter, selagi itulah dia akan spray.

Masalah-masalah yang disenaraikan, termasuk beberapa lagi akan selesai atau berkurang secara mendadak jika kita melakukan neuter. Ia turut menghalang penyakit kanser testikel dan risiko menghadapi masalah prostat juga akan berkurang.

Adakah Neuter Akan Mengubah Personaliti Kucing?

Tidak, melainkan mengurangkan kecenderungannya untuk merayau jauh, seksual, perilaku agresif dan sempadan kawasan melalui kencing. Kucing akan menjadi lebih dekat dengan tuannya dan suka ditemani manusia, kurang merayau jauh atau terlibat dalam pergaduhan.

Neuter tidak akan mengubah sifat memburu kucing anda. Manfaat dari neuter tidak lah dapat dilihat serta-merta, jika anak kucing yang belum matang di neuter mungkin anda melihat tidak ada apa-apa perubahan.Tetapi ini dapat menghalang masalah perilaku dan bau yang kurang menyenangkan di masa hadapan.

Jika kucing anda telah baligh dan anda neuter kannya, ubahan perilaku dan bau dapat dilihat dalam beberapa minggu disebabkan tahap testosterone masih ada, dan berkurang sedikit demi sedikit.

Bila Perlu Di Neuter

Secara amnya, pada umur 6 bulan, sebelum kucing mencapai kematangan seksual. Pada peringkat ini, kucing telah matang dari segi fizikalnya, iaitu tumbesaran dan struktur tulangnya telah lengkap.

Tetapi ada juga yang melakukannya seawal umur 8 minggu dan ini masih lagi selamat dan tidak memberi kesan pada jangka masa panjang. Kebanyakan klinik akan merawat kucing sebagai pesakit luar, iaitu kita bawa kucing pada pagi, dibedah dan pulang pada hari yang sama.

Bacaan Penuh....

Mengendalikan Masalah Kesihatan Kucing

Ditulis oleh feliscatus pada Wednesday, June 03, 2009

Kucing yang kita belai pada hari ini akan sakit untuk satu tempoh, dalam jangka hayatnya. Samada ianya adalah penyakit yang ringan, atau yang boleh mengundang maut. Kucing merupakan haiwan yang pandai menyembunyikan kesakitan, kerana fitrah semulajadinya tidak membenarkannya menonjolkan dirinya dalam keadaan lemah, kerana ini akan mendedahkan diri kepada haiwan pesaing.

Oleh kerana itu, walau seintim mana pun kita terhadap kucing, mungkin kita tidak menyedari bahawa kucing kita itu sebenarnya sedang menderita.

Atas sebab yang sama juga, berulang kali saya tekankan, samada ianya masalah perilaku seperti menggigit, menyerang, atau masalah pembuangan najis besar atau kecil, atau apa sahaja bentuk di luar kebiasaan yang ditonjolkan oleh kucing anda, letakkan masalah kesihatan sebagai punca utama dan berkunjunglah ke rumah kawan karib anda iaitu, klinik vet.

Apabila faktor masalah kesihatan itu telah berjaya diketepikan, misalnya doktor mengatakan tiada masalah kesihatan pada kucing anda, maka barulah mencari punca-punca lain. Blog ini diharap dapat membantu anda juga untuk mengenalpasti tanda-tanda masalah kesihatan dan lain-lain perkara berkaitan dengan kesihatan kucing. Kiriman ini memuatkan pautan kepada artikel-artikel sebelum ini yang berkaitan dengan topik kesihatan.

Bagaimana Memilih Veterinar Yang Sesuai | Bhg 1

Tidak semua vet adalah baik khidmatnya, itu memang benar. Namun dalam masa yang sama tidak banyak klinik vet swasta yang ada di Malaysia, kebanyakannya hanya di bandar-bandar besar, melainkan klinik haiwan kerajaan. Tetapi sesetengah klinik haiwan kerajaan fokusnya lebih kepada binatang ternakan, dan bukannya peliharaan, namun begitu lebih ada daripada tak ada langsung, kan. Klinik juga tidak seharusnya dikelirukan dengan pet shop, walaupun sesetengahnya mempunyai kemudahan kedua-duanya.

Bagaimana Memilih Veterinar Yang Sesuai | Bhg 2

Lanjutan dari kiriman sebelum ini, melihat apakah khidmat-khidmat yang boleh anda perolehi di klinik.

Si Comel Tidak Mahu Makan

Bezakan antara tidak mahu makan atau cerewet makan, serta sebab-sebab mengapa kucing tidak mahu menjamahnya.

Memujuk Kucing Untuk Makan

Beberapa cara untuk memujuk kucing untuk makan, juga rawatan yang biasa diberikan di klinik.

Kucing Yang Mengalami Masalah Cirit-Birit

Semua orang pun akan hilang sabar atau hampir-hampir sabar apabila melihat deretan panjang najis kucing yang cair di ruang tamu anda. Itu adalah contoh cirit-birit, dan memukul atau memarahi kucing tidak akan menyelesaikan masalah ini. Kita perlu melihat dahulu 5 punca utama cirit-birit sebelum mengubatinya.

Merawat Kucing Cirit-Birit

Kiriman ini memberikan beberapa kaedah untuk merawat cirit-birit. Konsepnya mudah sahaja, iaitu mengasingkan punca. Walaupun mudah, tetapi biasanya mengambil masa yang lama, dan menuntut sedikit kesabaran. Kiriman ini juga mengandaikan bahawa pembaca telah mengetahui punca cirit-birit tersebut.

Bacaan Penuh....

Berkongsi tip dan kaedah penjagaan kucing kesayangan. Kesihatan, perilaku, baka, makanan dan apa sahaja yang berkaitan dengan si comel. Mengatasi masalah pembuangan najis, mencakar, kencing melalui cara terbaik.

-feliscatus @ AlamKucing.blogspot.com-

 Langgani suapan RSS