Alam Kucing

Berkongsi Kaedah Penjagaan Kucing.

Berhati-hati Membawa Kucing Pulang ke Kampung

Ditulis oleh feliscatus pada Monday, April 27, 2009

Anda mahu pulang ke kampung, atau bercuti, adakah perlu membawa kucing bersama atau tidak? Ianya bergantung kepada kewangan dan keadaan juga. Jika anda mampu, adalah lebih mudah jika anda mendapatkan khidmat boarding yang banyak terdapat di klinik vet. Namun pastikan dahulu keadaan sangkar dan persekitaran udara di situ. Jika sangkarnya kecil, tanyakan mereka samada kucing itu akan dilepaskan atau tidak untuk meregangkan otot. Begitu juga dengan makanan dan kotak najis.

Jika anda mahu membawanya juga ke kampung, adalah penting untuk menempatkannya di dalam carrier. Bukan sahaja ke kampung, malah ke mana sahaja yang anda bawa kucing itu di dalam kereta. Walaupun kuving itu mungkin berteriak (seperti menangis atau merayu) dan mencakar carrier itu, ia adalah untuk kebaikan dirinya dan juga untuk anda.

Mungkin anda berasa anda mampu mengawalnya ketika mendukung kucing, tetapi jika kucing itu tiba-tiba terkejut dan mencakar seta mebenamkan kukunya akan menyebabkan anda melepaskan dukungan anda. Tetapi bahaya yang lebih mudarat adalah apabila anda memandu kereta dan kucing itu tidak di letak dalam carrier. Jika anda menekan brek secara tiba-tiba, kucing anda akan melayang, tersangkut di bawah kaki anda atau tercedera. Kucing anda juga mungkin akan berjalan di hadapan anda dan bergesel di muka anda, atau duduk di bawah pedal brek semasa memandu. Dan ini semua, akan membahayakan nyawa anda sendiri.

Bacaan Penuh....

Tip Asas Nak Jaga Kucing

Ditulis oleh feliscatus pada Friday, April 24, 2009

Blog ini dipenuhi tips macam mana mahu menjaga kucing, berdasarkan pengalaman saya sendiri dan melalui bahan bacaan lain. Jika anda baru pertama kali memelihara kucing, atau baru membuat keputusan mengenainya, maka kiriman ini adalah sesuai bagi anda kerana saya akan cuba memberi ringkasan tentang keseluruhan bagaimana nak memelihara kucing dan menjaganya. Jika anda mahu mengetahui lebih lanjut, luangkan lah masa untuk melayari blog ini kerana telah banyak artikel ditulis di sini.

Apabila anda telah membawa kucing pulang bersama anda di rumah, adalah penting untuk kita memastikan keperluan asasnya dijaga. Dalam hidupan liar, kucing menyesuaikan diri terhadap persekitaran dengan cara memburu untuk mendapatkan makanan, mendapatkan keselamatan dengan memanjat pokok serta melindungi diri. Apabila berada di rumah, kucing memerlukan bantuan kita untuk hidup harmoni dalam persekitaran ini.

Jika anda telah menyediakan asas makanan, minuman yang baik dan tempat berlindung, maka anda telah melakukan permulaan yang baik. memantau bagaimana kucing menggunakan kemudahan ini akan memberi gambaran berkenaan keadaan kesihatan kucing itu. Kucing merupakan haiwan yang mempunyai rutin, maka sebarang perubahan terhadap tabiat mereka perlulah di periksa agar tiada masalah kesihatan.

Privasi atau waktu bersendirian adalah amat penting bagi kucing. Walaupun kucing itu sangat sosial dan peramah dengan manusia, mereka masih memerlukan waktu bersendirian. Biasanya privasi ini diperlukan ketika mereka menghias diri dan membuang najis. Sesetengah kucing mahukan privasi ketika makan, tetapi ada juga yang lebih berselera makan jika ditemani tuannya.

Kucing yang suka mengasingkan diri, atau takut berada dikalangan manusia, perlulah diberi ruang untuk bersendirian dalam sehari. Memang benar kita boleh melatihnya untuk menjadi lebih sosial tetapi kebanyakan kucing sebenarnya sangat berwaspada dan berhati-hati secara semulajadi, dan tidak ada latihan yang boleh membuang tabiat itu sepenuhnya.

Ada pemilik pernah memberitahu saya yang mereka fikir kucing mereka mungkin pernah di dera sebelum dipelihara oleh mereka. Tapi dalam banyak keadaan, sebenarnya kucing sememangnya telah dilahirkan dengan sikap yang sebegitu. Kucing yang kelihatan takut, terlalu berhati-hati, lama kelamaan akan belajar untuk mempercayai anda dan jangan terkejut jika kucing itu akan menjadi teman yang sangat akrab, walaupun mereka mungkin tidak akan bermanja dengan orang lain sepertimana anda.

Kucing yang diperkenalkan kepada kucing baru yang lain, atau anjing, atau kanak-kanak di dalam rumah, perlu diberi masa untuk bersendirian. Adalah tidak adil jika anda mahukan kucing itu rasa gembira dan menerima kehadiran orang baru dalam rumah dalam masa singkat. Ini bukanlah naluri kcuing kerana kucing benci kepada perubahan. Mereka lebih gemar sesuatu perkara itu kekal asal sepertimana mereka yang mengubahnya (dan bukan orang lain, termasuk anda!). Kucing memerlukan seminggu hingga sebulan untuk menerima perubahan persekitaran, atau sekurang-kurangnya untuk dia tidak berasa begitu takut.

Apabila kucing itu baru dibawa ke rumah yang mempunyai kanak-kanak, semua orang berasa begitu teruja dan mahu menyentuh dan membelainya. Menjadi tumpuan perhatian bukanlah sesuatu yang digemari oleh kucing. Ibubapa perlu mengawal pengendalian kucing itu dan pastikan ia diberi peluang untuk berehat dan bersendirian.

Memasuki rumah baru memberi tekanan kepada kucing, dan tidak mendapat ruang untuk rehat dan menyendiri akan menambahkan lagi beban tekanan itu. Kucing yang tertekan akan mendapat impak negatif terhadap sistem imunisasinya, seperti pernah saya jelaskan artikel dahulu, binatang tidak seperti manusia yang dapat meredakan tekanan dengan cara bermain gitar, bercuti dan sebagainya.

Maka adalah penting untuknya diberi rehat, sediakan ruang untuknya bersembunyi dan tetapkan peraturan di rumah bahawa setiap kali kucing itu berada dalam tempat persembunyian, maka tiada siapa dibenarkan menyentuhnya. Jika anda tidak dapat memberi ruang itu kepadanya, anda perlu menyediakan carrier dan biarkan kucing itu berada di situ beberapa lama. Carrier seperti itu boleh memberinya rasa selamat dan bersendirian.

Bacaan Penuh....

Menguji Personaliti Kucing

Ditulis oleh feliscatus pada Wednesday, April 22, 2009

Mata yang cerah bersinar, bulu yang lembut berkilat dan sikap waspada adalah antara tanda menunjukkan kucing anda sihat. Kucing yang sihat juga mempunyai selera makan yang baik, sentiasa membersihkan diri dan interaksi baik dengan pemiliknya.

Salah satu faktor dalam aspek kesihatan, yang sering dilupakan adalah personaliti. Kita boleh menjangka sesuatu terhadap personaliti kucing walaupun ketika dia masih kecil. Jika anda baru membuat keputusan untuk memelihara kucing, anda boleh menguji bagaimana personaliti kucing itu. Pegang kucing dan letakkan dalam dakapan anda dan lihat samada kucing itu berada dalam keadaan tenang atau tertekan.

Dukungnya seperti bayi pula, dengan bahagian perut menghala ke atas, dan lihat sekali lagi bagaimana reaksinya. Jika anda mencari kucing yang manja, dan kucing yang anda uji ini tidak membenarkan anda memegangnya lebih dari satu saat, mungkin anda patut mengubah pilihan kucing lain atau merancang untuk melatihnya dan mendapat kepercayaan dari kucing tersebut. Atau mungkin melatihnya agar lebih dia menjadi lebih tenang.

Pada umur 2 hingga 7 minggu adalah waktu kritikal yang menentukan sejauhmana tahap sosial kucing tersebut. Kucing yang dikendalikan oleh ramai orang dan berinteraksi dengan kucing lain atau binatang lain lebih cenderung untuk menyesuaikan diri dengan lebih baik ketika dewasa. Tanyakan pemiliknya dahulu pengalaman kucing itu semasa muda sebelum anda mengambil kucing itu untuk dipelihara.

Ujian seterusnya adalah dengan memegang telinganya, buka mulutnya dengan lembut dan sentuh kakinya. Sekali lagi,lihat samada kucing itu bersedia membenarkan anda memegangnya. Jika ya, secara umumnya kucing itu mempercayai anda. Jika anda meletaknya ke bawah dan beredar darinya, adakah kucing itu menunjukkan rasa minat terhadap anda? Adakah dia mengekori anda? Walaupun tiada bukti saintifik, saya seakan percaya juga bahawa ada sedikit ikatan misteri antara sesetengah kucing dengan sesetengah orang.

Adakah kucing itu waspada, bertindakbalas dan suka bermain? Anda boleh mengujinya dengan melemparkan mainan yang mudah, seperti gumpalan kertas seakan bola. Kesemua ujian mudah ini akan memberikan anda sedikit gambaran tentang bagaimana personaliti seseekor kucing. Walaupun dengan anak kucing yang sihat, kos jagaan kesihatannya adalah tinggi sedikit berbanding kucing dewasa kerana mereka lebih terdedah kepada penyakit. Mereka juga memerlukan rutin kesihatan yang lebih banyak pada umur muda, termasuklah vaksinasi, ujian viral dan neuter atau spay.

Bacaan Penuh....

Perkembangan Anak Kucing | 6 - 12 Bulan

Ditulis oleh feliscatus pada Monday, April 20, 2009

Kucing akan menjadi dewasa semasa tempoh ini. Permainan sosial berkurang dan kadar metabolisme akan menurun bagi kucing yang di neuter dan spay. Pada masa ini kucing perlu mengambil kurang kalori untuk mengelakkan kegemukan, dan ini dapat dicapai dengan menukarkan dietnya kepada makanan penyelenggaraan kucing dewasa. Diet ini mempunyai kurang kalori dan lebih fiber berbanding kucing muda.

Sistem imunisasi menjadi matang dan kucing akan mempunyai keupayaan semulajadi untuk melawan jangkitan.Proses ini berterusan sepanjang alam dewasa tetapi akan berkurang apabila tiba umur tua.

Personaliti kucing akan menjadi lengkap, berdasarkan faktor genetik dan pengalamnnya sewaktu muda. Perilaku akan menjadi rutin. Kucing yang berada dalam sekumpulan kucing dalam rumah yang sama akan mempunyai hirarki sosial (atau pangkat sosial) dalam rumah tersebut.

Bacaan Penuh....

Perkembangan Anak Kucing | Tempoh Matang

Ditulis oleh feliscatus pada Friday, April 17, 2009

Kucing akan melalui kematangan fizikalnya terlebih dahulu sebelum matang dari segi seksual (dan berupaya untuk menghasilkan zuriat). Kucing betina akan mempunyai kitar heat beberapa kali setahun. Kebanyakan vet dan persatuan yang menjaga hal ehwal kucing mengesyorkan supaya kucing di neuter atau spay sebelum kucing mencapai umur matang. Ini adalah kerana beberapa faktor yang perlu di ambil kira.

  • Kucing yang di neuter menjadi lebih tenang, tidak agresif dan suka bermanja.

  • Kucing yang di neuter akan sentiasa berada hampir dengan rumah tuannya & tidak suka merayau jauh.

  • Kucing yang di neuter sangat jarang bergaduh & tidak terlalu keras mempertahankan kawasannya.

  • Kitar hormon seks pada kucing betina membuatkannya stress dan mendorong masalah kesihatan.

  • Kucing jantan tidak akan pancut merata-rata.

  • Bau kucing jantan tidak lagi begitu mencengkam dan tengik.

Kucing Jantan Yang Baligh


Anak kucing jantan akan mula menghasilkan hormon testosteron pada kadar rendah ketika berumur 2 minggu. Sperma dihasilkan pada umur 5 bulan, tetapi biasanya hubungan seks akan berlaku antara umur 9 hingga 12 bulan. Antara perilaku yang menunjukkan mereka telah matang adalah mengigit belakang leher kucing lain, menggerak-gerakkan pinggang dan menindih kucing lain.

Kebanyakan kucing mempunyai 2 testikel berada dalam kantung skrotum ketika dilahirkan. Jika testikel ini tidak sampai kepada skrotum menjelang umur 8 bulan, kebarangkaliannya ia tidak akan ada sampai bila-bila. Jika testikel ini di kekang, maka ia perlu dibuang ketika proses neuter untuk mengelak berlakunya ketumbuhan.

Kucing Betina Yang Baligh


Kucing tidak mengeluarkan darah (haid) ketika berada dalam kitar estrous tetapi sebaliknya akan menujukkan tanda-tanda melalui beberapa perilaku. Kitar estrous ini terdiri dari 4 peringkat iaitu anestrus,proestrus,estrus dan metestrus.

Estrus adalah peringkat di mana kucing betina akan membenarkan proses mengawan dan kucing jantan menaikinya.

Proestrus adalah tempoh singkat 1-3 hari sebelum estrus. Tanda perilaku amat jelas pada tempoh ini, diantaranya:
  • Aktiviti hariannya semakin menonjol

  • Berguling, bergolek dan bergesel pada objek dan manusia

  • Kencing (spraying) seperti kucing jantan

  • Membaringkan badannya rapat pada tanah, seperti mempelawa kucing jantan

  • Mengiau, menjerit dengan suara tinggi

  • Tidak membenarkan kucing jantan menaikinya


Tempoh proestrus ini adalah di mana kucing betina memberitahu kucing jantan bahawa dia sedang mencari pasangan dan bersedia.

Bacaan Penuh....

Perkembangan Anak Kucing | 8 - 28 Minggu

Ditulis oleh feliscatus pada Wednesday, April 15, 2009

8 Hingga 16 Minggu


Semasa tempoh ini, anak kucing mula menyesuaikan diri, berdikari dan menjadi lebih gagah serta curiga. Mereka akan membesar dengan cepat dan biasanya berat badan akan bertambah 1 pound sebulan. Mereka mula melompat, memanjat dan mencakar. Pemilik kucing akan membawa pengaruh besar terhadap perilaku kucing dengan melatih mereka dalam tempoh ini.

Vaksinasi dan pendedahan semulajadi masih lagi menyumbang kepada sistem imunisasi anak kucing. Jika tidak di vaksin, anak kucing terdedah kepada penyakit seperti leukemia, yang juga boleh merebak kerana terdedah kepada kucing lain yang mempunyai penyakit ini.

Keperluan untuk memberi makanan khas masih perlu diteruskan pada tempoh ini, dan mereka juga mula makan lebih banyak.

16 Hingga 28 Minggu


Dari tempoh 4 hingga 7 bulan, anak kucng akan kehilangan gigi susunya dan akan mendapat gigi kekal. Perlakuan menggigit dan mengunyah akan meningkat. Dalam tempoh ini, adalah perkara biasa jika anak kucing mula mengunyah apa sahaja di hadapannya, termasuk kaki dan tangan anda. Mereka juga boleh terus memakan kedua-dua makanan basah dan kering.

Lapisan bulunya mula menyeluruh dan anak kucing menunjukkan kecenderungan untuk menghias diri dan mencakar. Kebanyakan kucing tidak akan mencapai tahap matang seksual sehinggalah berumur 6 bulan, tetapi mereka sudah pun matang dari segi fizikal sebelum daripada itu. Anak kucing yang dibiarkan merayau ke luar rumah juga akan merayau dengan lebih jauh dan lebih lama.

Bacaan Penuh....

Perkembangan Anak Kucing | 4 - 8 Minggu

Ditulis oleh feliscatus pada Monday, April 13, 2009

4 Hingga 6 Minggu


Kebanyakan anak kucing sudah mula memakan makanan pejal pada umur 4 minggu dan boleh berhenti menyusu pada umur 6 minggu. Adalah perkara biasa jika anak kucing memakan kotoran atau najis mereka sendiri semasa dalam tempoh susuan, tetapi mereka akan mulai belajar dengan cepat bahawa najis sendiri adalah tidak begitu....enak.

Anak kucing akan mempunyai kesemua gigi mereka pada umur 6 minggu. Anak kucing yang didedahkan kepada luar rumah dan diawasi oleh ibu kucing akan mula mempelajari perkara-perkara asas dalam memburu (jika ibu nya juga mempunyai tabiat memburu).

Mungkin tempoh ini lah yang sangat mustahak dalam pembentukan perilaku sosial mereka. Kucing yang tidak didedahkan kepada manusia dan binatang lain (termausk kucing lain) pada masa ini akan mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri mereka pada masa akan datang.

Perilaku bermain secara koordinasi akan mula kelihatan pada tempoh ini. Matanya akan berubah dari warna biru kepada warna kekal, badan mereka mula berupaya menghasil dan mengawal suhu badan.Mereka juga sudah boleh mengawal pembuangan najis dan kencing.Perlindungan dari penyakit masih dipengaruhi dari imunti turun-temurun, iaitu antibodi yang diperolehi dari ibunya.


6 Hingga 8 Minggu


Ini adalah waktu paling awal jika anak kucing itu mahu dipisahkan dari ibu atau adik-beradiknya untuk diperkenalkan kepada rumah lain. Namun, adalah baik jika kita menunggu sehingga sekurang-kurangnya berumur 8 minggu. Anak kucing pada waktu ini sudah boleh menguruskan keperluan asasnya sendiri. Di dalam rumah yang baru, anak kucing mungkin akan ketakutan dan kesepian pada peringkat awal, tetapi biasanya dia akan dapat menyesuaikan dirinya.

Imuniti yang mereka perolehi sudah mula berkurang, dan anak kucing ini perlu memulakan vaksinasi untuk merangsang perlindungan terhadap penyakit-penyakit tertentu. Pendedahan semulajadi terhadap virus dan bakteria akan menyebabkan penyakit, tetapi ia juga akan merangsang badannya untuk menghasilkan antibodi dan meningkat imuniti pada masa hadapan.

Pada peringkat ini, anak kucing memerlukan tambahan protein, vitamin dan mineral yang diperlukan untuknya terus membesar dan berkembang. Zat-zat ini boleh diperolehi daripada makanan yang dirumus khas untuk anak kucing samada kering atau basah.

Bacaan Penuh....

Streamyx Lembab Macam Siput Babi

Ditulis oleh feliscatus pada Friday, April 10, 2009

Tengah marah ni. Kalau nak diikutkan tajuk tu nak dibuang je perkataan 'siput'. Bayar untuk 1mb tapi slow macam...argghhhhhhhhhhhhhhh!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Benda ni berlanjutan selama 2 bulan lebih. Betul-betul menyakitkan hati. Saya tak tahu apa pendirian anda tapi setiap kali saya mendengar perkataan TM atau Streamyx, telinga saya akan berdesing. Pelanggan seperti kita semua yang TIADA pilihan lain untuk mendapatkan khidmat jalur lebar, hanya mampu untuk menyumpah seranah sahaja di mana-mana ruang.

Tapi sumpah seranah kita hanya di PEKAK kan sahaja oleh korporat TM, ye lah, mengapa tidak? Kerana mereka me MONOPOLI khidmat jalur lebar di sini. Kita yang berpeluh-peluh membayar untuk mendapatkan SEDIKIT teknologi pada harga yang mahal, sedangkan mereka semakin untung, makin kaya dan kaya, tanpa memberi sebarang nilai tambah kepada pelanggan. Saya mungkin tiada wibawa dalam hal perniagaan, tapi adakah ini caranya berniaga dengan betul? Yang berkuasa untuk melakukan sesuatu itu pula bukanlah orang lain, tapi orang Islam juga. Beginikah caranya bermuamalat dalam Islam ????

Apa pula fungsi kerajaan? Yang saya lihat dalam hal ini (dan juga banyak hal lain), hanya membela golongan yang pekak badak. Mungkin anda akan menganggap, Ohhh, ini mesti penyokong pembangkang. Saya telah lama menyokong kerajaan, dan saya juga telah bosan dengan kerenah kerajaan. Jika menyuarakan rasa tidak puas hati itu diannggap sebagai pembangkang, maka saya dah tak peduli, dan saya rela di cop sebagai pembangkang jika hanya dengan cara itu rasa tidak puas hati saya ini didengari. Apa gunanya saya menyokong kerajaan jika suara rakyat langsung tidak dipeduli?

Hari ini saya emo sikit, tapi jangan salah sangka saya menulis begini hanya kerana hal Streamyx. Banyak lagi perkara lain, tapi Streamyx ni betul-betul menjadi faktor pemacu saya. Hari ni melencong sikit, tak bercerita tentang kucing. Hehehhe

STREAMYX LEMBABBBBBBBBBBB!!!!!

Bacaan Penuh....

Perkembangan Anak Kucing | Hingga 1 Bulan

Ditulis oleh feliscatus pada Friday, April 10, 2009

Kita akan melihat satu-persatu apakah perubahan yang berlaku pada anak kucing sehingga mereka berumur 6 bulan. Ini akan akan membantu anda untuk menjangka apakah persediaan yang perlu dilakukan. Dalam masa yang sama, saya pasti jika anda mengalami sendiri dan melihat kucing anda menjadi dewasa, ia adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan.

Bermula Kelahiran Sehingga 1 Bulan


Dalam tempoh ini, anak kucing akan berubah menjadi kucing yang berdikari dan tidak lagi bergantung kepada ibunya untuk makanan, suasana yang hangat dan pembuangan najis. Anak kucing yang baru lahir tidak dapat melihat dan mendengar, tetapi boleh menghidu dan mempunyai deria sentuhan pada bahagian muka yang membolehkan mereka mendekati ibunya untuk mendapat haba.

Jika anda mendapati ada anak kucing baru lahir dan ditinggalkan, anda perlu lah melakukan tugas-tugas yang dilaksanakan oleh ibu kucing. Antara tugas yang dilakukan adalah menyusukannya dengan susu khas untuk kucing dan kemudiannya membantu mereka membuang najis. Anak kucing tidak mampu membuang sendiri sehinggalah berumur 4 minggu.

Pastikan anda menggunakan susu rumusan khas yang boleh didapati di klinik vet. Walaupu mereka menyukai rasa susu lembu, kucing tidak dapat menghadam laktosa di dalamnya. Ini akan menyebabkan sembelit dan bahaya bagi anak kucing. Mulut adalah organ yang sangat penting bagi anak kucing. Mereka akan mula menggunakan mulut dalam masa kurang 1 jam selepas lahir, iaitu ketika menyusu. Dalam tempoh beberapa minggu terawal, mereka perlu di susui setiap 2-3 jam sekali.

Telinga kucing akan mula terbuka pada umur 5 hari. Mereka mula menunjukkan reaksi pada bunyi pada umur 10 hari, namun mereka masih belum dapat mengenalpasti bunyi tersebut sehinggalah berumur 3 minggu. Mata akan terbuka antara hari ke-5 dan 14 selepas dilahirkan. Tetapi mereka masih belum boleh melihat dengan baik sehinggalah matanya telah terbuka selama beberapa hari.

Anak kucing yang baru lahir boleh merasai menggunakan kedua-dua kaki depan dan belakang. Mereka boleh berjalan dengan langkah yang tidak begitu koordinasi selama 2 minggu dan boleh menempatkan kaki depan mereka secara visual. Oh ya, mereka juga sudah mula memanjat pada umur 3 minggu.

Imuniti diturunkan kepada anak kucing ketika mereka menerima susu ibu yang pertama, dalam tempoh 24 jam pertama hidup mereka. Imuniti ini akan mencegah mereka dari penyakit dalam tempoh sebulan yang pertama dan terus menyusu secara normal dan dipelihara dengan baik, hangat dan bersih oleh ibu mereka.

Bacaan Penuh....

Merawat Kucing Cirit-Birit

Ditulis oleh feliscatus pada Wednesday, April 08, 2009

Setelah punca masalah cirit-birit dikenalpasti, rawatan susulan boleh di lakukan. Langkah pertama adalah mengasingkan punca masalah itu sendiri. Misalnya jika susu lembu menjadi punca, maka buangkannya dari diet. Produk berasaskan tenusu boleh dihindarkan dari diet tanpa menyebabkan kekurangan nutrien kerana ia bukannya sebahagian dari diet yang sihat untuk kucing.

Jika terlebih makan adalah puncanya (dikenalpasti dari beberapa ketul najis besar,cair, tidak berbentuk) maka pemakanannya perlu dikawal. Berikannya 3 kali hidangan kecil berbanding sekali hidangan besar sehari. Bawakan air dari rumah atau air botol jika anda membawanya ke kampung kerana air di tempat berbeza juga boleh menyebabkan cirit-birit (bagi manusia, air semuanya sama tapi kucing mempunyai deria rasa yang berbeza).

Jika bahan toksik hadir dalam badan, bahannya perlu dikenalpasti kerana antidot yang spesifik boleh diperolehi. Atau bawa sahaja kucing anda ke vet untuk pemeriksaan.

Cirit yang disebabkan oleh alahan makanan boleh dirawat dengan memperkenalkannya diet khas (perlu dirujuk kepada vet) selama lebih kurang 8 minggu. Jika ciritnya hilang, kucing itu boleh dibiarkan dalam program diet ini, atau lain-lain makanan boleh diperkenalkan secara sedikit demi sedikit sehingga bahan alahan itu dikenalpasti (apabila simptom cirit itu berulang semula). Bahan makanan yang telah dikenalpasti itu kemudiannya perlu dibuang dari diet.

Alahan yang menyebabkan muntah atau cirit-birit ini biasanya tindakbalas terhadap unsur protein dalam makanan, pengawet, perasa, pewarna atau apa sahaja yang terkandung dalam makanan itu. Seperti sebelum ini, menghindarka bahan tersebut dari pemakanan akan menghentikan cirit-birit ini. Memang ada jenama yang terkenal juga di Malaysia ini yang sering membawa masalah cirit-birit kepada kucing, dipercayai disebabkan pewarna tiruan yang digunakan. Saya tak mahulah sebut di sini, anda boleh mengunjungi forum-forum untuk mengetahuinya.

Selain itu, jenama seperti Eukanuba, dan Royal Cannin terutamanya, mengandungi diet khas untuk masalah alahan makanan. Anda boleh melihat labelnya tertulis Hypoallergenic, Neutral Formula, Limited Ingredients atau Ultra Allergen. Makanan ini adalah khas untuk kucing yang mengalami masalah alahan.

Kucing yang mengalami cirit-birit berlanjutan lebih dari 24 jam perlu di bawa ke vet tanpa lengah. Bawakan sekali sampel najis kucing anda supaya ianya boleh diperiksa kehadiran parasit atau bakteria. Vet yang bertanggungjawab sepatutnya akan memeriksa najis tersebut.

Kucing akan kehilangan bendalir badan dengan cepat dalam situasi cirit-birit, dan boleh membawa kepada kejutan serta pengsan. Punca cirit yang kronik boleh menjadi sukar untuk ditentukan dan memerlukan analisis makmal serta kawalselia oleh vet yang profesional.

Cirit yang singkat tanpa kehilangan bendalir yang banyak boleh dirawat di rumah. Jangan beri sebarang makanan selama 24 jam, berikan jumlah air yang sedikit untuk kucing menjilat. Apabila kucing kelihatan semakin sembuh, perkenalkan makan pejal semual secara berperingkat (3-4 kali hidangan kecil sehari). Mulakan dengan diet yang tinggi protein (dari haiwan dan bukannya tumbuhan).

Elakkan makanan tinggi karbohidrat dan makanan kering kerana karbohidrat yang berlebihan boleh menyebabkan cirit berulang. Secara berperingkat juga, kucing anda boleh kembali kepada diet biasanya. Ada sesetengah pemilik kucing menggunakan bahan yang dipanggil Loperamide atau Imodium untuk melambatkan aktiviti dalam usus kucing. Rujuk kepada vet anda terlebih dahulu untuk perkara ini kerana ia agak kontroversi.

Bacaan Penuh....

5 Sebab Utama Kucing Mengalami Cirit-Birit

Ditulis oleh feliscatus pada Wednesday, April 08, 2009

Cirit-birit atau diarrhea adalah najis yang tidak pejal dan lembab berair. Dalam kebanyakan kes, najisnya kelihatan banyak dan terdapat peningkatan pada aktiviti pergerakan usus perut. Dalam bahasa mudahnya, anda akan melihat kucing anda membuang najis beberapa kali, dan kadangkala tidak tertahan dan melepaskannya di lantai, karpet atau riba anda.

Najis kucing yang normal adalah pejal, lembab tetapi tidak berair, berbentuk silinder dan cembung pada hujungnya. Apabila makanan dihadam, usus kucing akan menyerap sekitar 80 peratus lembapan, kerana itu najisnya 'terbentuk' dengan baik. Apabila kucing mengalami cirit-birit, makanannya tidak dihadam dengan baik dan tiba pada hujung usus (rektum) dalam bentuk cairan. Inilah sebabnya kita melihat najis kucing yang cirit-birit berbentuk cair dan tidak pejal.

Selain itu, cirit juga mengandungi sisa makanan yang tidak terhadam (misalnya anda memberinya ayam, anda boleh melihat sisa daging ayam pada najisnya), dan kadangkala mengandungi lendiran (mukus) pekat seperti hingus atau juga mengandungi darah. Apa yang kita perlu faham ialah cirit-birit bukanlah penyakit, tetapi ia adalah tanda (simptom) terhadap penyakit tertentu.

1. Terlebih Makan.


Biasanya inilah yang berlaku, samada anak kucing atau kucing dewasa.

2. Makanan tidak sesuai.


Kadangkala makanan yang biasa bagi kucing lain tapi tidak sesuai pula untuk kucing kita. Contohnya ada kucing yang tidak boleh menerima makanan berasaskan makanan laut (ikan, sotong, udang). Kadnagkala penukaran diet secara mendadak juga boleh menyebabkan cirit.

3. Susu Lembu dan produk sampingan susu.


Kucing sukakan rasa susu lembu tetapi mereka kekurangan enzim laktase untuk menghadam laktosa (gula) yang terkandung di dalam susu lembu (atau mana-mana produk berasaskan susu).

4. Keracunan


Punca dari makanan tercemar. Makanan dalam tin atau kering juga boleh tercemar samada dari proses pembuatannya atau kita sendiri yang mendedahkannya kepada bahan pencemar. Kucing dewasa jarang keracunan makanan kerana mereka lebih sensitif (tetapi tidak bagi anak kucing) namun toksik boleh masuk dalam badan ketika mereka menjilat bulu dan kaki mereka yang terkena toksik (seperti minyak, pencuci pinggan, sabun dsb). Toksik juga boleh menyebabkan muntah-muntah.

5. Cacing.


Samada anak kucing atau kucing dewasa, mereka boleh dijangkiti oleh cacing parasit. Kemungkinan ini lebih besar bagi anak kucing dan kucing yang di biarkan merayau di luar rumah. Kehadiran lendir (mukus) atau darah pada najis juga menunjukkan tanda-tanda masalah cacing. Kucing yang ada masalah cacing akan menjadi tidak selera makan, cepat letih, badan menyusut, cirit-birit dan kadangkala muntah-muntah. Setiap jenis cacing ada rawatan pencegahnya sendiri, dan untuk merawatnya perlulah di bawah kawal selia vet.

Jadual di bawah boleh membantu anda untuk mengenalpasti punca utama cirit-birit. Kita boleh melihatnya dari segi warna, rupa, bau, kekerapan dan keadaan kucing itu sendiri. Perlu diingat, ini hanyalah kemungkinan sahaja, untuk diagnos lebih tepat anda perlulah membawanya ke vet.

p/s: Opppsss...saya tak tahu macam mana nak buat jadual kat blog ni. Update semula yer :p

p/s: OK update..Jadual tersebut boleh di muat turun di sini.

Bacaan Penuh....

Berkongsi tip dan kaedah penjagaan kucing kesayangan. Kesihatan, perilaku, baka, makanan dan apa sahaja yang berkaitan dengan si comel. Mengatasi masalah pembuangan najis, mencakar, kencing melalui cara terbaik.

-feliscatus @ AlamKucing.blogspot.com-

 Langgani suapan RSS