Bagaimana Menjaga Anak Kucing Yang Ditinggalkan Ibunya

80 ulasan
Anak kucing baru lahir disusukan dengan penitis

Anak kucing yang dipelihara oleh ibunya mempunyai kelangsungan hidup yang lebih baik berbanding anak kucing yang ditinggalkan dan dipelihara oleh manusia.

Jika anda mendapati ada anak kucing yang ditinggalkan ibu atau tidak dijaga oleh ibunya, maka bersedialah untuk kerja-kerja keras dan beberapa kekecewaan.

Tetapi jika semuanya berjalan lancar, anda akan mengalami pengalaman istimewa menjaga anak kucing piatu dan membesarkannya kepada kucing dewasa yang sihat.

Untuk itu kita akan melihat secara ringkas perkara-perkara yang perlu anda lakukan jika menjaga anak kucing yang ditinggalkan ibu.

Bagi Makanan Pada Si Comel

Anak kucing yang baru lahir perlu makan setiap 2-3 jam. Mereka mempunyai perut yang kecil dan memerlukan jumlah makanan yang sedikit tetapi berkala.

Jangan berikan susu lembu pada anak kucing kerana ini akan menyebabkan sembelit dan kehilangan air pada badan.

Anda perlu menggunakan susu yang dirumus khas untuk anak kucing. Susu khas ini boleh diperoleh di klinik haiwan atau kedai binatang peliharaan dengan pelbagai jenama.

Botol susu yang khas juga digunakan untuk menyusu anak kucing (saiznya kecil). Susu perlu diberikan dalam keadaan suam, tetapi bukan panas, ianya sama sepertimana kita berikan kepada bayi manusia.

Bantu Si Comel Untuk Berak dan Kencing

Anak kucing tidak boleh mengawal kencing dan beraknya sehinggalah mereka berumur 4 minggu. Bermula dari kelahiran sehingga minggu ke-4, ibu kucing akan merangsangnya untuk membuang dengan cara menjilat kemaluan anak kucing.

Maka anda juga mesti melakukan perkara yang sama di sini. Taklah, saya bergurau sahaja.

Tetapi rangsangan ini boleh ditiru dengan menggunakan kain lembut yang suam dan basah atau menggunakan putik kapas (juga suam dan basah).

Balikkan badan anak kucing itu dan secara lembut, sapukan pada kemaluannya sehingga kencing atau najis itu keluar. Ini perlu dilakukan selepas menyusu.

Si Comel Perlu Selamat & Selesa

Anak kucing tidak mempunyai lemak pada badan untuk mengekalkan suhu badannya. Mereka biasanya bergelumang sesama sendiri bersebelahan dengan ibu mereka untuk berkongsi haba.

Jika anda mempunyai anak kucing yatim, anda perlu memberikan haba ini dengan menggunakan botol mengandungi air panas atau pad pemanas (tetapkan suhunya pada kadar rendah sahaja). Kedua-duanya perlu dialas dengan kain tebal (sebaik-baiknya tuala).

Pastikan anak kucing mempunyai ruang untuk merangkak keluar dari pad pemanas atau botol itu jika dia berasa terlalu panas.

Anak kucing perlu berada dalam kawasan yang dikekang seperti dalam kotak kecil dialas dengan kain di kawasan yang tidak berhabuk.

Disebabkan anak kucing tidak dapat melihat, adalah penting untuk anda mengetahui di mana mereka berada pada setiap masa untuk mengelakkan mereka dari kesusahan.

Anak kucing piatu diberi makanan pejal seperti mana anak kucing biasa. Mereka boleh diperkenalkan dengan sedikit makanan berdaging yang dirumus khas untuk anak kucing pada umur 4 minggu.

Pengenalan kepada penggunaan bekas pasir juga digalakkan pada ketika umur ini.

Masalah perilaku memang biasa berlaku bagi anak kucing piatu kerana mereka tidak dilatih oleh kucing dewasa yang lain. Mereka cenderung untuk menggigit dengan lebih kuat, tidak bertolak ansur dengan kekangan dan bermain secara kasar.

Mereka tidak akan terlepas dengan sikap begini jika mereka dipelihara oleh ibunya, atau kucing dewasa lain, atau adik-beradik mereka yang lain.

Kucing lain akan mengajar budi bahasa dan memberi reaksi dengan menggigit balas, mencakar balas dan 'kepimpinan melalui tauladan'.

Malangnya anak kucing piatu yang seorang diri tidak akan menerima pelajaran adab budi seperti ini. Mendedahkan anak kucing piatu kepada manusia lain atau kucing lain pada umur muda akan membantu membentuk perilaku yang baik.

Jangan biarkan anak kucing ini menggigit atau bermain secara agresif kerana ini hanya mendorong perilaku buruk.

Apa Yang Anda Perlu Periksa Pada Anak Kucing Yang Baru Lahir

8 ulasan
Anak kucing baru lahir

Malangnya, walaupun anak kucing dilahirkan dengan selamat namun kadangkala masalah juga berlaku kepada anak kucing itu sendiri.

Jika anak kucing tidak menangis dan bergerak selepas tali pusatnya dibuang, angkatkan anak itu cuba periksa samada dia masih hidup atau tidak.

Anda boleh menggoyangkannya dengan perlahan-lahan untuk meredakan sebarang mukus dalam mulut dan lehernya. Sentuh dadanya untuk mengesan degupan jantung.

Periksa juga rahang dan otot kaki dengan membuka mulut dan menggerakkan kakinya. Jika kelihatan layu dan lembik, kemungkinan besar anak kucing itu sudah mati.

Dalam beberapa jam selepas anak kucing dilahirkan, anda perlu memeriksa sebarang kecacatan yang ada atau boleh juga bawanya ke klinik untuk diperiksa.

Perkara yang perlu dilihat adalah:

  • Buka mulutnya dan lihat jika terdapat lubang pada lelangit. Kecacatan ini dipanggil lelangit rekah atau cleft palate.
  • Periksa kakinya empat dan ekornya satu.
  • Periksa pusatnya dan pastikan tiada lubang pada dinding perutnya.
  • Periksa di bawah ekornya dan lihat dubur dan kemaluannya ada.

Anak kucing yang tidak sihat ketika dilahirkan kebiasaannya tidak akan hidup lama. Ibu kucing mungkin akan meninggalkannya atau memakan anaknya yang tidak sihat.

Masalah Dalam Kelahiran Anak Kucing

2 ulasan
Kucing selesai melahirkan anaknya

Seperti mana manusia, kucing juga boleh mengalami kesulitan semasa melahirkan anaknya. Distosia ialah istilah yang merujuk kepada proses kelahiran yang bermasalah.

Kucing yang sudah tidak melahirkan anak dalam masa yang panjang, atau mempunyai anak kucing yang tersangkut dan menyembul keluar dari vulva adalah antara situasi yang tergolong sebagai distosia.

Ibu kucing yang sakit atau lemah, anak kucing berada dalam keadaan songsang dan anak kucing yang terlalu besar untuk melalui salur kelahiran dan anak kucing yang mati dalam rahim dan menghalang anak kucing lain untuk keluar adalah antara punca distosia.

Jika ibu kucing telah mengalami pengecutan selama 1 jam tanpa melahirkan anak, anda perlu mendapatkan bantuan veterinar.

Doktor akan mengimbas X-ray untuk melihat kedudukan anak kucing dan mengenalpasti sebarang keadaan luarbiasa padanya.

Doktor juga mungkin akan memeriksa darah ibu kucing untuk mengetahui masalah seperti kekurangan kalsium atau gula, yang merupakan antara punca menghalang ibu kucing untuk mengalami pengecutan secara normal.

Jika klinik itu mempunyai kemudahan ultrasound, ujian ini dapat mengenalpasti degupan jantung anak kucing dan lain-lain masalah.

Doktor mungkin akan membuat keputusan untuk menyuntik ibu kucing dengan dadah atau menggunakan kaedah pembedahan caesarian, bergantung kepada situasi.

Kebiasaannya dadah akan diberikan untuk mendorong kelahiran dan jika tidak berjaya maka pembedahan perlu dilakukan.

Namun begitu, pembedahan juga meningkatkan risiko kematian anak kucing (tetapi ia juga perlu untuk menyelamatkan nyawa ibu kucing).

Apa Yang Anda Perlu Tahu Apabila Ibu Kucing Melahirkan Anaknya

61 ulasan
Kucing sedang melahirkan anak

Kita boleh menjangka bahawa si ibu kucing akan melahirkan anaknya dalam masa terdekat apabila dia menunjukkan kecenderungan mencari dan menempatkan sarang bagi kelahiran anak-anaknya.

Susu akan kelihatan pada putingnya lebih kurang 1-2 hari sebelum melahirkan anak. Anda juga boleh memeriksa suhu badan ibu kucing pada bahagian dubur sebanyak 2 kali sehari jika anda mahukan kepastian.

24 jam sebelum kelahiran, suhu badannya akan menurun pada tahap 37 darjah Celsius.

Apa Yang Berlaku Ketika Kelahiran Kucing?

Masa yang diambil untuk kelahiran bergantung kepada samada ibu kucing pernah melahirkan anak atau berapa banyak anak kucing yang dilahirkan pada masa itu.

Tempoh kelahiran boleh berlaku dalam masa beberapa minit, jam malah mungkin juga seharian jika anaknya ramai.

Anda boleh melihat lendiran mukus dikeluarkan apabila proses kelahiran bermula.

Pengecutan akan berlaku dan anak kucing akan dilahirkan. Ibu kucing akan menjilat dan membuang lendiran pada anak kucing.

Jika tidak, anak kucing akan lemas dan jika ini berlaku maka anda perlulah campurtangan untuk mengelakkannya mati. Ibu kucing kemudiannya akan menggigit tali pusat yang menyambungkan anak kucing.

Semasa anak kucing dilahirkan, berat mereka hanyalah beberapa gram sahaja dan sangat-sangat terdedah kepada bahaya.

Mereka amat bergantung kepada ibunya untuk terus hidup kerana mata mereka masih tertutup, telinganya masih belum berfungsi dan mereka hanya mampu merangkak.

Ibu kucing akan meneruskan kelahiran beberapa anak kucing lagi. Dia akan terus menjilat dan membersihkan anak-anaknya dan secara perlahan-lahan akan menolak mereka ke arah puting susunya.

Anak kucing mampu menyusu dalam masa kurang 1 jam selepas dilahirkan.

Anak kucing akan menerima imuniti awal pencegahan penyakit dengan cara menyerap antibodi yang ada pada kelenjar susu ibunya.

Anak kucing hanya mampu menyerap antibodi yang ada pada badan ibunya dalam masa 24 jam terawal semasa ia dilahirkan. Maka adalah amat penting bagi anak kucing untuk menyusu dari ibunya secepat mungkin selepas dilahirkan.

Ibu kucing mungkin akan memakan tali pusat anaknya, walaupun kelihatan agak jijik tetapi ini sebenarnya adalah perkara biasa sahaja.

Ibu kucing akan mengalami lelehan yang keluar dari faraj dalam tempoh 2 minggu atau kurang selepas melahirkan anak. Lelehan ini akan kelihatan seperti darah dan mungkin juga berwarna hijau dan berlendir.

Tetapi lelehan ini tidak sepatutnya kelihatan seperti lendiran pekat berwarna putih kekuningan seperti nanah atau bisul. Jika ini berlaku, bawa ibu kucing ke klinik seberapa cepat.

Jika kucing anda (si ibu) suka merayau-rayau, cuba kurungnya di dalam bilik bersama-sama dengan anaknya supaya mereka tidak terbiar.

Anda juga perlu prihatin dengan masalah kutu, jika si ibu mempunyai kutu, ia boleh merebak ke anak kucing dan boleh menyebabkan anemia yang mengancam nyawa anak kucing.