Asas Penjagaan Makanan Kucing

17 ulasan
Makanan kucing di pasar Turki

Makanan adalah perkara paling utama dalam penjagaan kucing. Makanan lebih utama berbanding memberi perhatian dan mencakar perabot!

Makanan digunakan oleh sesetengah pemelihara untuk 'merasuah' kucing atau untuk mendapatkan perhatian kucing mereka.

Tidak boleh dinafikan lagi bahawa makanan mempunyai kepentingan psikologi untuk kedua-dua kucing dan pemiliknya. Maka tidak hairanlah jika penjagaan terhadap makanan kucing ini diletakkan sebagai perkara yang mustahak.

Bercakap tentang makanan kucing tentunya menimbulkan banyak persoalan:

  • Adakah terdapat formula tertentu untuk memberi kucing anda makan?
  • Perlukah kita memberinya makanan dalam tin, atau kering, atau separa kering, atau kombinasi di antaranya?
  • Perlukah kita risau dengan perasa/pewarna tiruan?
  • Adakah kucing akan bosan dengan makanan yang sama tiap-tiap hari?
  • Bolehkan anak kucing dan kucing tua memakan makanan yang sama?
  • Berapa banyak makanan yang perlu dihidangkan?

Kesemua soalan itu adalah penting tetapi malangnya jawapannya adalah tidak begitu jelas.

Setiap kali ke berkunjung ke kedai binatang peliharaan atau mana-mana pasaraya yang menjual makanan binatang,saya akan ternganga melihatkan begitu banyak sekali pilihan yang ada. Sebenarnya kalau difikirkan, pasaran makanan binatang peliharaan adalah begitu besar dan berkembang.

Kawal pemberian makanan

Kita mungkin berfikir bahawa kucing adalah binatang yang makan hidangan yang sedikit dan kemudian mengulanginya sepanjang hari.

Jika pemberian makanan tidak terkawal, kucing akan mempunyai berat badan berlebihan. Makanan kering adalah makanan berformula tinggi, ibaratkan sahaja ia sebagai pati makan. Memberinya makan lebih dari setengah gelas sehari boleh menyebabkan kegemukan.

Kebanyakan kucing dalam-rumah cenderung untuk mendapat kegemukan jika mangkuk makanannya sentiasa penuh. Jika anda memberi kucing anda makanan kering, periksa dahulu label dan tanya klinik anda supaya anda memahami panduan dalam pemakanan kucing.

Makanan diberi dua atau lebih hidangan sekali, di mana setiap kali hidangan dalam kuantiti kecil. Berikan sebahagiannya makanan dalam tin, sebahagian lagi kering, untuk mengawal kadar ambilan makanannya. Kaedah kedua adalah memberinya makanan dalam tin saiz kecil, dan sedikit makanan kering di antara waktu makan.

Jika kucing anda telah mengalami berat badan berlebihan, berjumpalah dengan veterinar dan minta pandangannya. Jangan sekali-sekali meletakkan kucing anda dalam program diet tanpa kawal selia olehnya.

Ini boleh menyebabkan keadaan lipodesis hepar yang mengancam nyawa kucing anda. Kawal selia oleh doktor terhadap penjagaan makanan bagi si comel yang mempunyai berat badan berlebihan adalah amat penting dan tidak boleh dipandang remeh.

Jenama makanan kucing

Pada masa kini mutu sering ditambatkan dengan jenama. Meskipun saya kurang senang mengaitkan jenama dengan mutu tetapi semakin hari keadaan ini semakin sukar untuk dinafikan.

Jenama yang baik memiliki keupayaan untuk memproses makanan yang bermutu dan begitu jualah sebaliknya. Makanan kering yang padat dan bermutu mempunyai zat yang lebih tinggi untuk setiap gram berbanding makanan tidak bermutu.

Disebabkan itu juga makanan berjenama mahal hanya diberikan dalam jumlah hidangan sedikit berbanding jenama murah kerana kepadatan zatnya.

Kepopularan sesuatu jenama itu tidak bererti ia makanan bermutu. Syarikat yang menghabiskan belanja untuk pengiklanan biasanya akan mengurangkan belanja penyelidikan dan mutu pengeluaran sementara syarikat yang jarang dilihat iklannya pula menghabiskan belanja untuk penyelidikan dan tidak mengutamakan pengiklanan.

Pun begitu, untuk kita menyelidik ke akar umbi perihal jenama, perihal kemasyhurannya dan bagaimana selok-belok pengurusannya adalah perkara yang sukar.

Lagi pula makanan haiwan yang dipasarkan di Malaysia, secara amnya, telah melepasi piawaian Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Jenama umum (generik), tidak berjenama atau timbang kilo sewajarnya dielakkan kerana tiada label kandungan dan pembungkusan lewa seperti pembungkus plastik berikatkan getah tidak menjamin makanan itu tidak tercemar.

Kandungan makanan kucing

Makanan kucing yang sihat berasaskan protein daging isi seperti daging, ikan atau ayam-itik. Makanan kering hendaklah tinggi kandungan protein haiwan dan rendah protein tumbuhan.

Kucing ialah haiwan maging dan kurang kemampuan untuk menyerap profil asid amino yang datan daripada protein tumbuhan.

Kandungan karbohidrat pula sepatutnya tidak melebihi sepuluh peratus daripada keseluruhan campuran makanan itu.

Bagi makanan basah, ia mestilah dipenuhi daging dan hanya mempunyai sedikit yang mungkin keluaran sampingan dan bahan pengisi.

Tanda-Tanda Tekanan Pada Kucing

11 ulasan
Kucing tertekan di klinik

Untuk mencuba memahami bagaimana kucing melihat alam ini adalah sangat sukar. Kita melakukan yang terbaik untuk memberikan kehidupan yang selesa kepada mereka tetapi tidak semestinya kita mampu memenuhi keperluan mental individu kucing.

Perubahan terhadap persekitaran rumah atau jadual waktu harian kita mungkin nampak remeh bagi kita, tetapi memberi impak yang besar terhadap kucing kita.

Apabila mengalami tekanan, kucing akan menterjemahkannya kepada beberapa bentuk atau tanda-tanda.

Lawatan ke klinik kadangkala membuatkan sesetengah kucing mengamuk, ganas dan ketakutan. Kebosanan pula membuatkan sesetengah kucing melakukan gigitan, mengunyah karpet, wayar elektrik, dan mencakar.

Perilaku begini adalah tanda-tanda kucing meluahkan sesuatu terhadap sesuatu perubahan atau keadaan.

Ada sebahagian kucing yang membersihkan bulunya secara keterlaluan sehingga terdapat tompok-tompok botak dan ruam pada badannya sebagai tindakbalas terhadap tekanan. Keadaan ini dipanggil psikogenik alopesia iaitu kebotakan cetusan psikologi.

Sebahagian kucing yang tertekan pula akan membuang najis di tempat lain dan melakukan penyemburan di serata dalam rumah. Namun begitu perlakuan seperti membuang najis di luar bekas pasir juga merupakan tanda-tanda masalah kesihatan.

Kucing, ialah binatang, tidak sepertimana manusia yang dapat menghilangkan tekanan dengan cara berbual, menonton televisyen atau memetik gitar.

Kebanyakan kucing dan binatang lain akan jatuh sakit apabila mereka mengalami tekanan. Berikan perhatian kepada kucing anda dan lihat jika ada perilaku yang berpunca daripada tanda-tanda tekanan.

Pencegahan awal dapat mengelakkan perilaku yang tidak diingini dan dapat membuatkan kucing anda kembali gembira.

Bagaimana Menggembirakan Kucing Yang Bosan

7 ulasan
Kucing sedang kebosanan

Persekitaran dengan rangsangan yang baik dan keprihatinan terhadap keperluan kucing adalah faktor yang utama untuk menggembirakannya di rumah anda.

Jika anda mempunyai kucing luar rumah, dia akan menghabiskan kebanyakan masanya menghendap, memburu dan memakan binatang buruan.

Aktiviti sebegini akan memberikannya rangsangan mental dan cabaran kepada kucing. Ia juga memberikan senaman dan mengekalkan keadaan fizikal kucing.

Sediakan tiang cakar

Kucing akan mencakar sebagai satu cara untuk berkomunikasi secara visual dan bau, serta untuk memastikan kuku mereka berada dalam keadaan baik.

Berikan kucing anda sekurang-kurangnya satu tiang cakar yang tinggi, kukuh dan di lokasi yang menonjol. Jika dia tidak diberikan bahan dan pilihan lain untuk mencakar dan diajar untuk menggunakannya, mereka akan mula mencari objek lain di rumah anda, contohnya sofa.

Permainan memburu harta karun

Kucing dalam rumah tidak perlu bekerja untuk mendapatkan makanan, maka rasa bosan dan kegemukan akan cepat melanda.

Anda boleh cuba melatih kucing anda kemahiran tertentu dan berikan ganjaran dalam bentuk gayaan (makanan kecil). Anda juga boleh melemparkan gayaan itu dan biarkan dia mengejarnya.

Selain itu, letakkan beberapa makanan dalam kuantiti kecil di beberapa lokasi berbeza di dalam rumah dan biarkan dia meronda seluruh rumah untuk memakannya.

Aktiviti sebegini dapat mengelakkan rasa bosan dan memberi cabaran kepada kucing, sebagai satu rangsangan untuk menggembirakannya.

Sediakan pokok pemanjat kucing

Saya syorkan juga anda memiliki beberapa pokok pemanjat atau buatkan tiang-tiang di mana kucing boleh memanjat dan duduk di atasnya.

Kucing gemar melompat ke atas satu-satu benda dan memerhati dunianya dari sudut tinggi. Perilaku ini sama seperti harimau yang gemar berada di puncak tinggi, mengawasi jajahan takluknya dan memerhati binatang buruan.

Mewujudkan suasana begini di rumah akan dapat memuaskan naluri semulajadi kucing dan menghapuskan kebosanan.

Aktiviti melompat seperti ini mengekalkan keaktifannya dan menyediakan ruang pada kawasan tinggi dapat membolehkan mereka mempunyai tempat untuk bersantai serta menjauhkan diri daripada kucing lain, binatang lain atau manusia di dalam rumah.

Jika anda tinggal bersama lebih daripada dua ekor kucing, pokok pemanjat dapat memberikan ruang lebih besar kepada mereka, mewujudkan kawasan sempadan menegak dan mengurangkan tekanan akibat perkongsian ruang yang sempit.

Kucing yang gemar memanjat ini juga gemar untuk tidur di tempat yang tinggi. Tetapi awas jangan sampai terkena kipas siling!

Kebersihan bekas pasir dan kedudukannya

Saya masih tidak puas lagi menekankan betapa pentingnya lokasi bekas pasir dan penjagaan kebersihannya akan membuatkan kucing anda gembira. Bermurah hatilah untuk membeli dan menyediakan satu lagi bekas pasir tambahan.

Main bersama-sama

Walaupun kucing akan kurang bermain seiring dengan peningkatan usia namun bermain adalah salah satu komponen yang diperlukan untuk menjaga kesihatan mental kucing.

Kebanyakan kucing akan bermain dengan sendirinya apabila diberi alat mainan, tetapi bermain secara saling tindak tiap-tiap hari juga penting demi kesihatan mentalnya.

Bermain menghilangkan rasa jemu dan memberikan senaman. Ia melibatkan perilaku menghendap, mengejar, menerkam dan menggigit.

Jangan berputus asa dengan kucing yang nampak tidak berminat untuk bermain. Mainan tali yang diikat dengan bulu burung atau penunjuk laser dapat merangsang keinginan untuk bermain walaupun sedikit.

Burung dan ikan

Untuk menambah hiburan kucing anda, anda boleh menggantung penyuap makanan burung di luar rumah. Kucing akan teruja di tingkap apabila melihat burung-burung hinggap pada penyuap itu untuk mengambil makanan.

Selain itu anda boleh meletakkan akuarium dan kucing akan menghabiskan masa memerhati gerak-geri ikan di dalamnya.

Ini akan memberi rangsangan yang banyak kepada kucing yang teringin untuk memburu dan mengejar, malah kucing yang malas pun pasti akan membuka matanya melihat burung!

Kucing yang bosan akan menghabiskan waktunya dengan tidur sahaja dan ini pastinya tidak memberi manfaat kepada kesihatannya.

Memelihara seekor lagi kucing sebagai teman juga adalah salah satu cara untuk menggembirakannya kerana mereka dapat bermain sesama sendiri semasa ketiadaan anda di rumah.

Bagaimana Memilih Klinik Veterinar Yang Sesuai

4 ulasan
Hospital haiwan UPM

Tidak ada begitu banyak klinik haiwan swasta di Malaysia menyebabkan pilihan yang ada adalah terhad.

Melainkan di Pantai Barat Semenanjung, di tempat lain tidak begitu banyak atau tidak ada langsung klinik haiwan swasta.

Tetapi klinik haiwan kerajaan tetap ada sekurang-kurangnya sebuah di setiap daerah.

Jika kawasan anda mempunyai beberapa klinik haiwan, bagaimana hendak memilih klinik yang sesuai, terutamanya dalam hal kucing?

** Dikemaskini semula pada Oktober 2015 mengikut peredaran masa **

Semua veterinar merupakan keahlian profesional yang menerima tauliah, pendidikan dan amali lapangan yang cukup dan setiap daripada mereka mempunyai perwatakan dan kemahiran tersendiri.

Walaupun bidang mereka profesional, mereka masih lagi seorang manusia dan sebagai manusia juga ada manusia yang baik, dan ada juga yang kurang baik.

Jika anda mempunyai binatang peliharaan lain atau pernah mempunyai binatang peliharaan, mungkin anda telah berkunjung ke klinik yang sesuai.

Jika anda belum mempunyai doktor, amat disarankan agar anda membiasakan diri di kliniknya supaya anda tahu bagaimana keadaannya di situ.

Klinik itu mungkin satu-satunya sumber untuk anda bertanya atau menyelamatkan nyawa kucing anda di masa akan datang.

Pandangan Pertama

Kaunter pendaftaran hospital haiwan UPM

Bagaimana keadaan kemudahan yang ada pada klinik itu menggambarkan falsafah atau pendirian seseorang pemilik klinik.

Klinik yang bersih dan kemas memerlukan lebih banyak penjagaan dan penyelenggaraan, dan ini menggambarkan bahawa klinik tersebut dijaga untuk mencapai piawaian tertentu.

Saya boleh menyimpulkan bahawa doktor sebegini akan mahu mengambil berat dan berusaha untuk merawat kucing anda sebaik-baiknya, kerana mereka menjaga nama baik dan penampilan mereka.

Hello, adakah ini Klinik XYZ? Boleh saya tahu di mana tempatnya?

Cuba lawati klinik tersebut dan tinjau keadaan di sana sebelum membawa kucing anda. Doktor yang berbangga dengan kliniknya sudah pasti tiada masalah untuk menemani lawatan anda.

Tetapi adalah lebih baik anda membuat janjitemu terlebih dahulu supaya kehadiran anda bukan pada waktu kecemasan atau waktu puncak.

Perlu juga diingat bukan semua mampu menemani lawatan anda kerana masa doktor adalah terhad.

Klinik besar atau kecil?

Kemudahan yang besar tidak semestinya lebih baik. Saiz tidak begitu penting berbanding apa yang ada di dalamnya.

Klinik haiwan asas perlu mempunyai kaunter menyambut tetamu, bilik pemeriksaan, bilik rawatan, beberapa sangkar sebagai wad, bilik pembedahan, bilik pengasingan, farmasi dan bilik pejabat.

Lihat dari kacamata yang sesuai

Pandangan pertama sememangnya penting, tetapi pastikan perspektif yang anda lihat itu dari sudut yang betul.

Jika anda memasuki klinik dan terdapat bau hamis yang kuat, ini mungkin kerana terdapat kucing jantan yang sedang dirawat, dan ini bukanlah satu masalah.

Tetapi jika ia berpunca daripada air kencing yang tidak dibersihkan di lantai atau bekas pasir yang kotor, ini adalah masalah.

Kaunter rawatan dan lantai yang kotor tidak akan nampak elok dan ini akan menimbulkan tanda tanya bagaimana kucing anda akan dirawat dan kebersihannya.

Tetapi anda juga harus ingat, adalah sesuatu yang sangat sukar untuk menjaga kebersihan klinik daripada cebisan bulu-bulu binatang dan lain-lain puing terutamanya pada waktu yang sibuk.

Khidmat apa yang disediakan?

Keratan akhbar pembukaan klinik veterinar UMK

Apakah khidmat yang biasa diperlukan di klinik? Bergantung kepada keupayaan klinik itu sendiri, jenis khidmat yang ditawarkan adalah berbeza-beza. Ini adalah antara yang biasa ditawarkan:

  • Perunding perilaku
  • Asrama
  • Pergigian
  • Kawalan parasit/kutu
  • Dandanan dan perapian
  • Makmal ujian dalaman
  • Penjagaan perubatan
  • Perunding pemakanan
  • Farmasi
  • Pembedahan
  • Imbasan X–Ray

Sesetengah klinik mungkin mempunyai khidmat ultrasound, endoskopi dan pembedahan laser. Sepanjang hayat kucing anda ini, ada kemungkinan dia akan memerlukan mana-mana khidmat di atas di klinik.

Bergantung juga kepada saiz prasarana dan bilangan kakitangan yang ada, sesuatu klinik mungkin mempunyai khidmat asrama dan dandanan.

Sebelum anda memutuskan untuk mengguna khidmat asrama, ada baiknya anda melihat dahulu kawasan asrama itu.

Keadaan sangkar dan saiznya dapat memberi gambaran awal kepada anda. Jika sangkar di klinik itu kecil, cuba tanyakan samada mereka akan melepaskan kucing anda keluar untuk meregangkan ototnya atau tidak.

Walaubagaimanapun, kebersihan dan aliran udara di kawasan asrama adalah jauh lebih penting berbanding dengan saiz sangkar tersebut.

Nota: Gambar-gambar di atas semuanya milik klinik universiti/kerajaan.

Mengatasi Masalah Kucing Enggan Makan

70 ulasan
Kucing sedang makan

Lajak kurus atau anoreksia adalah keadaan hilang selera makan iaitu situasi kucing tidak mahu makan atau makan terlalu sedikit.

Cerewet dan tidak makan ialah dua perkara yang berbeza. Sesetengah kucing tidak mahu menjamah makanan lain kecuali makanan kegemarannya sahaja dan ini dipanggil cerewet.

Tetapi kucing anoreksia ialah kucing yang tidak menghiraukan langsung apa yang anda berikan kepada mereka. Jika kucing tidak makan selama 24 jam, anda patut risau.

Jika keadaan ini berterusan sehingga 48 jam, anda perlu membawanya ke klinik secepat mungkin.

Kucing, terutamanya yang mengalami berat badan berlebihan boleh membawa kepada keadaan yang dipanggil lipodesis hepar jika mereka tidak makan.

Kucing yang mempunyai lipodesis hepar akan memecahkan lemak badan untuk menukarnya kepada tenaga tetapi lemak ini akan membinasakan organ hati, mencederakan sel hati dan menjadikan kucing bertambah sakit.

Pencegahan awal terhadap kucing anoreksia adalah diperlukan untuk mengelak daripada berlakunya lipodesis hepar kerana ia akan mengancam nyawa kucing anda.

Mengapa kucing tidak mahu makan?

Jika kucing anda enggan makan, anda perlu mengenalpasti jika terdapat sebarang masalah pada dietnya atau kucing anda sedang sakit. Ini adalah beberapa sebab mengapa kucing yang sihat enggan makan:

  • Makanan itu rosak.
  • Semut atau ada serangga lain di dalam makanan.
  • Makanan mengandungi perasa yang tidak disukainya.
  • Terdapat persaingan pada mangkuk makanan (ada kucing lain).
  • Makanan manusia mempengaruhi selera makannya.
  • Mangkuk makanan berada di lokasi yang tidak digemarinya.
  • Kucing anda telah memburu dan memakan buruannya atau makan makanan di rumah jiran.

Jika sebab-sebab di atas tidak berkait dengan kucing anda, kemungkinan besar kucing anda sedang sakit. Antara sebab mengapa kucing yang sakit tidak dapat makan:

  • Kucing anda sukar bernafas dan tidak dapat menghidu makanan.
  • Kucing mengalami demam dan hilang selera makan.
  • Gigi yang sakit atau lain-lain penyakit mulut yang mempengaruhi keupayaannya untuk makan.
  • Hati atau mana-mana organ dalaman menyebabkan rasa mual.
  • Kucing mengalami nyahair dan terlalu lemah untuk makan.

Bagaimana hendak memujuknya makan?

Kucing yang sakit tidak akan dapat makan dengan baik,jadi anda berperanan untuk menggalakkannya makan. Cuba berikan makanan yang lazat seperti makanan kucing dalam tin, ikan sardin mentah atau daging ayam rebus kosong.

Panaskan sedikit makanan itu sehingga paras suhu badan, ini akan menaikkan aromanya dan membantu selera kucing.

Memberikan makanan itu dengan tangan, bercakap dengannya secara perlahan dan membelai kucing anda juga boleh merangsangnya untuk makan.

Anda boleh memberinya makan samada dengan sudu atau tangan dan menggalakkan kucing anda untuk menjilatnya. Jika dia masih tidak berminat, jangan biarkan makanan itu berada di luar lebih daripada sejam. Angkatkan makanan itu dan cuba perkenalkannya semula beberapa jam kemudian dan ulangi langkah memujuk seperti di atas.

Jika tidak ada cadangan di atas yang berjaya memujuknya, anda perlu berkunjung ke klinik. Doktor mungkin akan memberikan preskripsi perangsang selera makan atau memaksa kucing untuk makan.

Paksaan makan biasanya dilakukan dengan picagari tanpa jarum dan formula makanan dalam bentuk cairan akan dimasukkan ke dalam mulut kucing.

Bagi kucing yang terlalu sakit atau sukar untuk memaksanya makan melalui mulut, kaedah memasukkan tiub makanan ke dalam perut atau esofagus mungkin akan dijalankan.

Bagaimana pula dengan air?

Pengambilan air juga amat penting. Kucing yang tidak makan dan juga minum menghadapi risiko nyahair walaupun dalam sehari.

Jika kucing anda tidak minum, anda boleh memberikannya melalui picagari tanpa jarum atau menggunakan penitis air. Tetapi adalah hampir mustahil untuk memberikannya cukup air dengan cara ini.

Doktor dapat mengawal keadaan ini dengan menyuntik kucing dengan sebatian elektrolit bersteril di bawah kulit kucing iaitu suntikan subkutus.

Air juga dapat di masukkan secara terus ke dalam badan melalui salur darah yang biasa disebut sebagai IV atau intravena. IV memerlukan kucing anda dimasukkan ke dalam wad atau bermalam di sana tetapi ini langkah yang penting bagi kucing yang mengalami nyahair.

Rahsia Di sebalik Misai Kucing

1 ulasan
Misai kucing

Misai yang dimiliki oleh kucing pernah diberi jolokan deria ke-enam kucing. Misai ini adalah sangat sensitif sehinggakan jika ia digerakkan hanya 1/2000 daripada lebar rambut manusia, ia akan menghantar isyarat kepada otak kucing.

Dari segi anatomi, misai kucing ini dipanggil vibrisa sentuh. Misai yang bertindak sebagai penderia sentuhan ini digunakan untuk mengendap buruan, mengukur dan memberi amaran kepada kucing terhadap halangan yang tidak dapat dilihat oleh kucing.

Misai yang rosak akan menyebabkan salah tafsir dan meraba-raba terutamanya dalam keadaan gelap. Misai mengesan angin dan perubahan terhadap gerakan angin.

Maklumat ini digunakan untuk mengenalpasti lokasi binatang buruannya. Dalam suasana gelap, kucing bergantung kepada misainya untuk pengemudian dan pelarasan tubuh.

Jika kucing kehilangan misainya, dia terpaksa bergantung kepada matanya sahaja untuk berjalan dan memburu.