Sediakan Tempat Untuk Si Comel Mencakar

1 ulasan
Kucing sedang menggunakan pad cakar

Anda perlu memulakan projek ini dengan menyediakan tiang, pad cakar atau batang kayu yang bagus. Batang kayu atau tiang pencakar ini perlulah cukup kukuh untuk kucing anda memanjat di atasnya dan menariknya dengan kuku, dilitupi dengan bahan yang membolehkan kucing anda membenamkan kuku terhadapnya.

** Dikemaskini semula pada Disember 2014 mengikut peredaran masa **

Letakkan di ruang yang menonjol supaya kucing anda dapat menggunakannya. Selepas anda meletakkan batang kayu atau tiang cakar tersebut, galakkan kucing anda menggunakannya dengan mengacahnya dengan alat mainan dan berikan pujian jika dia membenamkan kukunya di situ.

Jika kucing anda menggemari pokok kucing galak, gosokkan sedikit daun atau akarnya pada pencakar itu untuk menggalakkannya menghabiskan lebih banyak masa di situ dan berikan sedikit makanan jika dia memanjat pencakar atau duduk di atas batang kayu itu.

Pastikan si comel tahu bahawa dia bebas memanjat dan mencakarnya di situ. Jangan letakkan kukunya pada tiang itu, kerana kucing tidak suka dipaksa melakukan sesuatu!

Pastikan pencakar yang disediakan itu tidak mempunyai bahan atau tekstur yang sama dengan tekstur karpet atau sofa atau perabot lain. Jika tidak, kucing akan mengalami masalah untuk membezakan kenapa mencakar di tiang cakar adalah dibolehkan tetapi tidak pada bahagian karpet.

Tali guni sisal

Yang lebih baik adalah anda cari tiang cakar yang dilitupi dengan gulungan sisal, sejenis tali seperti tali guni, tetapi lebih kasar dan besar. Kucing sememangnya suka membenamkan kukunya pada bahan seperti ini.

Pastikan juga kawasan yang anda tidak mahu kucing berada itu kurang menarik sepanjang proses pembendungan ini, seperti meletakkan foil aluminium nipis atau hamparan plastik pembungkus.

Gunakan juga pita dwipermukaan kerana kucing tidak gemar dengan benda yang melekit-lekit pada bahagian bawah kaki mereka.

Anda masih boleh menggunakan perabot anda dengan mengalas foil, plastik atau pita itu pada kepingan kadbod. Jika anda mahu duduk, hanya angkatkan sahaja kepingan kadbod itu.

Kucing di sebelah tiang cakar

Memandangkan mencakar adalah proses penandaan kawasan, letakkan pencakar itu di kawasan yang menonjol, barangkali berhampiran dengan kaki sofa yang pernah dicakarnya, dan letakkan bahan pencegah yang dinyatakan sebelum ini pada kaki sofa itu, atau pada mana-mana bahagian rumah yang dicakarnya.

Puji kucing anda setiap kali dia menggunakan pencakar berbanding sofa anda. Alihkan pencakar itu sedikit demi sedikit dari masa ke semasa ke bahagian rumah yang anda rasakan sesuai.

Jika anda melihat kucing anda mencakar pada perabot lain, renjiskan kucing anda sedikit dengan menggunakan botol penyembur air atau mana-mana alat pencegah lain.

Cuba untuk menyorok supaya dia tidak nampak anda yang buat dan tolong kawal rasa marah anda!

Ingat, konsepnya di sini adalah untuk membuatkan kucing itu percaya bahawa perabot itu sendiri yang melakukan disiplin-disiplin tersebut, "Wah, aku letakkan kuku aku kat sini dan kerusi tu sembur aku dengan air!"

Ya, rumah anda akan kelihatan buruk seketika, dengan segala alat pencegah di sana-sini, pita pelekat pada perabot, hamparan plastik pada sofa dan tiba-tiba ada batang kayu pula di tengah-tengah rumah.

Anda mesti hidup dalam keadaan begitu sehinggalah rutin mencakar kucing anda dapat diubah ke tempat yang diingini itu sudah terbentuk.

Jika anda bersabar dan tekal, corak baru ini akan mengambil tempat dalam kehidupan kucing anda. Jika anda tidak mahu bersabar, mungkin belum tiba masanya untuk anda membela kucing.

Bagaimana Mengubah Tabiat Harian Kucing

Tinggalkan Ulasan
Bagaimana mengubah tabiat kucing

Tidak sepertimana anjing, kucing tidak mempunyai mekanisme untuk bekerjasama dalam satu keluarga. Anjing secara semulajadi memahami konsep keluarga, kerana moyangnya hidup dan memburu dalam kerjasama pasukan yang dibina melalui struktur masyarakat yang rumit, dipanggil sebagai kawanan.

** Dikemaskini semula pada Disember 2014 mengikut peredaran masa **

Dengan pengecualian terhadap singa, semua keluarga kucing samada besar atau kecil merupakan pemburu tunggal dan mereka sudah biasa menjaga diri mereka sendiri secara bersendirian.

Anda tidak boleh memaksa mereka melakukan sesuatu yang mereka tidak mahu. Jadi jika anda mahu mengubah perilaku mereka, anda perlu menawarkan suatu pilihan yang dapat diterima oleh anda dan kucing anda.

Kucing anda menyayangi anda dan gembira ditemani oleh anda tapi jika anda mahu meyakinkannya untuk melakukan sesuatu itu mengikut cara anda, anda perlu menjawab soalan yang sangat-sangat penting bagi kucing iaitu, Apa ganjarannya untuk aku?

Berita baiknya adalah kucing merupakan binatang bertabiat dan mempunyai rutin.

Setelah kucing anda memahami di mana tempat yang dibenarkan untuk mencakar, mengunyah atau membuang air, anda boleh menyimpan semua peralatan-peralatan khas yang digunakan untuk meyakinkan mereka itu pada awalnya.

Ya, Comel!

Berikan ganjaran kepada kucing anda terhadap perilaku baik mereka dengan makanan, mainan atau belaian. Jika kucing anda menggunakan tiang pencakar berbanding sofa, pastikan mereka tahu yang anda menyetujui tindakan mereka dengan bermain menggunakan joran kucing atau mainan yang diikat dengan tali.

Beritahu mereka yang mereka baik kerana menggunakan bekas pasir dan menggigit mainan mereka berbanding selipar anda.

Kucing anda tidak dilahirkan dengan mengetahui segala peraturan di rumah anda dan jika anda menetapkan peraturan itu menyenangkan perasaan kucing, anda mempunyai banyak peluang untuk membuatkan dia mengikuti peraturan tersebut.

Jangan, Comel!

Jangan sesekali memukul kucing anda dan jangan buat mereka berfikir setiap kelakuan disiplin itu datang daripada anda. Disiplin fizikal adalah perkara yang sangat teruk dan tidak membawa apa-apa makna bagi kucing.

Malah ia hanya membuatkan situasi bertambah buruk dengan menjadikan kucing anda mengalami tekanan dan takut dengan anda.

Apa yang berkesan bagi kucing adalah dengan membuatkan mereka percaya bahawa tindakan salah mereka itu menyebabkan tindakbalas automatik yang mereka tidak suka, dan anda tidak ada kaitan langsung dengannya, setakat yang mereka tahulah.

Sofa yang mereka suka cakar itu kini di alas dengan sesuatu yang mereka tidak suka sentuh. Apabila mereka duduk di kaunter dapur mereka berasa ada kesan elektrostatik yang tidak digemari pada tapak kaki mereka atau tiba-tiba ada semburan air diarah kepada mereka.

Berikut adalah beberapa jerangkap samar yang sangat berkesan untuk menjauhkan kucing anda melakukan beberapa tabiat dan membolehkan anda berdua hidup harmoni:

Gunakan air dan bunyi bising

Secara licik, anda sembur kucing anda menggunakan botol penyembur air atau bunyikan hon, atau goncangkan duit syiling dengan kuat di dalam botol tin kosong, atau picitkan mainan yang berbunyi apabila dipenyek.

Kucing tak suka bunyi itu tapi jangan guna alat ini jika kawasan rumah anda mempunyai anjing, kerana anjing menyukainya!

Gunakan peralatan tersebut ketika kucing anda melakukan tabiat buruk, seperti menggigit sofa, mencakar perabot dan sebagainya.

Kucing anda haiwan yang mempunyai rutin dan dia akan mempelajari bahawa mencakar langsir adalah perkara yang perlu dijauhi kerana ada bunyi hon yang bising jika dia melakukannya.

Pastikan anda menyorok atau pastikan dia tidak tahu anda yang melakukan ini semua. Biar mereka fikir bahawa ini semua berlaku secara automatik.

Gunakan pengalas

Alas sesuatu pada kawasan yang anda tidak mahu kucing anda berada dengan menggunakan pita pelekat dwipermukaan atau pita pelekat biasa. Tikar elektrik yang memberikan kesan elektrostatik kecil juga bagus digunakan untuk permukaan perabot ,kaunter atau meja.

Perangkap tikus kayu

Perangkap tikus jenis kayu juga alat bagus untuk memberikan mesej kepada kucing anda agar tidak mendekati sesuatu tempat. Gunakan perangkap yang tiada gerigi tajam dan letakkan secara terbalik, di mana permukaan kayu itu menghadap ke atas.

Letakkan di atas permukaan meja atau dapur dan tutupkan dengan suratkhabar. Alat ini bukan untuk mencederakan atau memerangkap, hanya sekadar membuat kucing terkejut sahaja.

Selepas kucing anda terserempak dengan perangkap ini, dan terkejut melihatkan perangkap itu melompat dan tertutup dengan sekelip mata, sudah cukup untuk membuatkannya berfikir bahawa tempat ini perlu dijauhi.

Letakkan sesuatu yang berbau busuk

Letakkan sedikit sos atau limau pada pengalas atau piring di tempat yang anda tidak mahu kucing anda berada. Ia juga berguna untuk mengelakkan kucing anda mengunyah wayar elektrik. Anda tidak perlu meletakkan terlalu banyak, deria rasa dan bau kucing anda sangat tinggi!

Bagaimana Mengajar Kucing Kemahiran Tertentu

3 ulasan
Bagaimana mengajar kucing kemahiran tertentu

Bolehkah kita mengajar kucing beberapa kemahiran atau arahan tertentu? Ada orang mengatakan keupayaan anjing untuk mempelajari dan mematuhi beberapa arahan atau melakukan helah tertentu adalah bukti anjing lebih bijak daripada kucing.

** Dikemaskini semula pada Disember 2014 mengikut peredaran masa **

Ada juga yang mengatakan ini sebenarnya menunjukkan kucing yang sebenarnya lebih bijak berbanding anjing kerana tidak mahu membiarkan dirinya berguling badan atau melompat jika disuruh.

Kita tidak akan berdebat dengan perkara siapa lebih bijak, saya sendiri tidak berminat untuk berdebat dengan perkara yang saya anggap agak sia-sia ini.

Apa yang penting adalah anda perlu memahami bahawa kucing dan anjing berbeza pendekatannya bagaimana mereka berhubung dan berkomunikasi dengan manusia.

Anjing telah dicipta untuk menjadi sebahagian daripada struktur keluarga, iaitu untuk menggalas tugas tertentu. Anjing berkelakuan begitu kerana moyangnya, iaitu serigala juga berkelakuan begitu. Kelangsungan hidup mereka bergantung kepada keluarga atau kawanan.

Kucing pula datang dari tempat yang berbeza, iaitu pemburu tunggal yang tidak memerlukan pasukan untuk meneruskan kehidupan.

Secara mudahnya, boleh dikatakan anjing perlu berada dengan manusia, manakala kucing memilih samada untuk berada atau tidak dengan manusia.

Disebabkan perbezaan ini, anda sama sekali tidak boleh membuatkan kucing anda melakukan sesuatu yang dia tidak mahu. Suatu ganjaran perlu diberikan kepada mereka.

Jika melatih kemahiran, biasanya ganjarannya adalah makanan, namun ada juga sesetengah kucing yang sedia menerima upah mainan atau belaian.

Ajarkan kucing anda perkaitan antara perkataan, seperti 'duduk' dan kemudiannya diikuti perlakuan memberinya ganjaran atau pujian.

Sebilangan pelatih kucing menganjurkan supaya kita mengajar arahan 'duduk' itu pada kucing yang lapar dalam bilik yang aman dan sunyi.

Buatkan kucing anda berdiri dengan menyentuhnya pada bahagian ekor dan pegang makanan pada kedudukan tinggi sedikit daripada kepalanya. Sebutkan namanya dan berikan arahan 'duduk'.

Secara perlahan-lahan, gerakkan makanan itu ke arah di antara kedua telinganya tapi jangan sampai terlalu rendah hingga dia boleh mencapainya dengan kaki hadapannya.

Akhirnya dia akan duduk, dan jika dia buat begitu anda berikan pujian dan makanan tersebut. Latih ia dalam sesi yang pendek dan anda perlu bersabar. Kucing anda akan dapat memahami arahan tersebut.

Tetapi sebenarnya saya sendiri tidak pernah berjaya melatih kucing saya untuk duduk. Dia hanya duduk jika dia rasa dia mahu duduk.

Saya rasa ramai yang bersetuju jika saya katakan kebanyakan daripada kita, apabila hal berkenaan kucing, kita hanyalah sebagai penjunjung perintahnya sahaja. :)

Selamat Mencuba.

Mengapa Kucing Bersikap Agresif Terhadap Anda

10 ulasan
Mengapa kucing bersikap agresif

Anda perlu melakukan sedikit penyiasatan ala Jefri Zain untuk mengetahui punca mengapa kucing anda menggigit atau mencakar anda.

** Catatan ini dikemaskini semula pada Disember 2014 mengikut peredaran masa **

Sikap agresif ini datang daripada pelbagai punca, dan kaedah penyelesaiannya juga bergantung kepada punca tersebut. Berikut adalah beberapa punca biasa kucing anda mengganas.

Takut atau Sakit

Jika kucing anda menyerang kerana dia ketakutan atau menderita kecederaan, cara terbaik ialah berikan ruang dan tinggalkan kucing anda bersendirian seketika dan melihat semula asas-asas masalah ini.

Kucing yang kesakitan atau ketakutan akan meletakkan telinganya pada kedudukan mendatar rapat ke kepala dan terarah ke belakang.

Badannya juga akan berada dalam keadaan bertahan di mana dia mendatar dan rapat ke tanah, kukunya akan terkeluar dalam keadaan bersedia untuk menerkam pada bila-bila masa, jika terpaksa.

Jika kucing anda berada dalam posisi ini, dia sedang berkata kepada anda, "Jangan rapat dengan aku!" Anda perlu membiarkan kucing anda tenang dahulu, elok juga anda menyorok atau keluar dari bilik, sebelum menjenguknya kemudian.

Kebiasaannya juga, peti pengusung yang sebelum ini dibenci oleh kucing anda akan kelihatan seperti tempat yang selesa baginya. Letakkan pengusung itu dengan pintunya terbuka luas di dalam bilik di mana kucing anda berada.

Jarakkan diri anda daripadanya dengan cara menyorok atau keluar dari bilik. Kucing anda akan memilih untuk pergi dan masuk ke dalam pengangkut tersebut atas kehendaknya sendiri.

Ini akan menjimatkan masa dan tenaga anda berbanding anda memaksa kucing anda untuk masuk ke dalam pengangkut untuk di bawa ke klinik. Jangan berlawan dengan kucing anda, anda akan kalah.

Lebihan rangsangan

Anda sedang membelai kucing anda dan tiba-tiba dia mencengkam anda dengan gigi dan kukunya. Bukanlah suatu serangan penuh tapi anda tetap dapat merasai bisa ketajaman giginya pada bahagian tangan anda. Apa yang perlu anda buat?

Cara mudah adalah jangan bergerak. Jangan menentangnya atau anda akan mendorongnya untuk melakukan gigitan sebenar.

Kadangkala jika anda menggunakan tangan anda yang lagi satu untuk menghentak pada permukaan keras seperti meja atau lantai akan membuatnya terkejut dan melepaskan cengkamannya.

Namun jika anda berdiam diri, kebiasaannya dia akan bertenang dan melepaskan anda.

Itu adalah antara penyelesaian jika anda mengalami fasa serangan. Pilihan yang lebih baik adalah anda sendiri perlu membiasakan diri dengan kucing anda dan memahami bahasa tubuhnya, dan menghentikan belaian atau usapan sebelum dia mengalami lebihan rangsangan.

Kita sering mengatakan bahawa serangan sebegitu datang tanpa amaran, namun adakalanya kita terlepas pandang beberapa tanda yang menunjukkan kucing tersebut sudah tak tahan atau tak dapat terima belaian anda.

Tanda paling jelas adalah pada ekornya. Jika kucing anda mula menyentak-nyentak ekornya dengan keras, maka ini menunjukkan sudah tiba masanya anda menghentikan usapan.

Saya akan cuba pergi lebih mendalam berkenaan tanda-tanda ini di masa akan datang. Anda boleh secara sedikit demi sedikit membina masa belaian kucing anda. 3 kali usap, kemudian 4 dan kemudian 5.

Jangan berlebih-lebihan kerana tolak-ansur kucing anda akan dapat dibina dari masa ke semasa.

Usap Perut Kucing Membawa 'Kelucahan'

Kebiasaannya juga serangan 'aku dah tak tahan!' ini datang kerana anda mengusap bahagian perut kucing.

Bahagian ini adalah sensitif terhadap kucing dan walaupun ia kelihatan seakan bergulingkan badan menawarkannya kepada anda adalah lebih baik anda mengusapnya di bahagian lain.

Salah satu sebabnya adalah naluri dan fitrah seksualnya. Kucing jantan anda akan didatangi rasa ghairah jika perutnya diusap dan akan bertindakbalas dengan menggigit kerana itu adalah reaksi semulajadi keturunan kucing apabila melibatkan perilaku mengawan.

Ini tidak bermakna anda tidak boleh mengusap langsung perutnya. Cuma anda juga perlu tahu tindakan ini boleh membangkitkan gelora batin terhadap kucing jantan dan biasanya disusuli gigitan.

Permainan Agresif

Adalah perkara biasa kucing menggigit dan mencakar ketika bermain. Memanglah sakit, tapi kucing yang menggigit kaki anda dan kemudian mengiringkan badannya pada dinding bukanlah mahu mencederakan anda, dia hanya mahu bermain dengan anda.

Anda perlu menambah sesi bermain dengan menyediakan alat permainan yang sesuai seperti joran kucing atau mainan yang diikat pada tali, dan bukannya dengan bahagian tubuh badan anda untuk membantu kucing anda membakar lebihan tenaganya sebelum anda mencuba sesi belaian dengan tenang.

Biar kucing anda tahu bahawa serangan ke atas bahagian badan anda itu adalah dilarang dengan membunyikan hon atau sedikit semburan air yang halus. Jangan memukul kucing anda sama sekali.

Keagresifan Alihan

Kucing anda terlihat kucing lain atau binatang penceroboh, melalui tingkap rumah anda. Dia tidak dapat keluar dan sangat marah, kebetulan anda lalu berdekatannya dan dia menyerang anda. Kenapa?

Anda hanyalah mangsa situasi keagresifan alihan. Pernahkah anda marahkan seseorang di pejabat, kemudian balik ke rumah dan anda menghempas beg atau barang-barang anda ke lantai?

Beg itu tidak bersalah, tapi anda lepaskan kemarahan anda pada beg. Situasi sama berlaku pada kucing, dan ini agak sukar untuk diatasi.

Cuba halau kucing lain dari mendekati rumah anda, hentakkan tangan anda pada tingkap atau bunyikan hon. Ingat, jangan gunakan kekerasan fizikal untuk menghalau kucing lain!

Kucing Parsi

7 ulasan
Kucing Parsi sedang berbaring

Kucing Parsi, yang memiliki lapisan bulu panjang beralun dan muka penyek merupakan baka yang paling popular,mungkin juga yang paling mudah dikenali.

Walaupun tidak ramai orang yang boleh menamakan beberapa baka kucing, namun hampir kebanyakan mereka akan dapat mengenali dan mengingati kucing Parsi.

Dikatakan bahawa kucing Parsi pada hari ini telah dibawa keluar oleh pelayar Eropah pada kurun ke-17 bersama-sama permata, sutera dan rempah ratus dari pedalaman negara Parsi.

Kucing berbulu panjang yang lain datang dari Turki dan dikelaskan sebagai Angora. Dipandang sebagai barang mewah, mereka akhirnya menjadi status simbol elit bangsawan.

Kucing ini dipanggil Parsi kerana asal-usul negara mereka namun rujukan hieroglif terhadap baka ini ditemui seawal 1684 Sebelum Masihi menyebabkan ketidaktentuan terhadap kesahihan asal-usul mereka.

Kucing Parsi mempunyai susunan tulang yang padu, diseimbangi dengan sesuai dan mempunyai riak muka yang manis dan bulat. Walaupun penampilan yang besar, kucing Parsi bergerak dengan ketangkasan yang tak terduga.

Kucing ini juga mempunyai lapisan bulu yang panjang dan kelihatan tergantung pada badan yang tembam dan padat, disokong oleh kaki yang pendek dan tebal.

Kucing Parsi di tepi pintu

Matanya besar, bulat dan berjarak lebar dengan kepala yang bulat dan luas sementara telinga mereka kecil dan bulat. Ekor yang panjang selebar badan dan mengerbang melengkapkan gambaran fizikal kucing Parsi.

Lapisan bulu kucing Parsi yang cantik ini adalah panjang dan tebal. Bahagian kolar leher kelihatan besar, tebal dan merambu di antara kaki hadapan.

Penjagaan rapi diperlukan di mana bulu mereka perlu disikat setiap hari dengan sikat besi untuk mengelakkan daripada kekusutan dan bebola rambut.

Mandian juga diperlukan untuk memelihara kebersihan, kecantikan dan kesihatan bulu kucing. Komitmen dan masa diperlukan untuk menyikat bulu dan kebanyakan pemilik kucing Parsi berasa seronok dengan sesi menyikat kerana dapat meluangkan masa yang berkualiti dengan kucing mereka.

Kucing Parsi dapat menyesuaikan diri dengan baik terhadap persekitaran dalam rumah dan secara umumnya mereka agak pendiam, tenang dan selamba.

Perwatakan yang manis dan lembut dapat diserasikan dengan baik untuk kebanyakan rumah. Suara mereka yang perlahan dan bermelodi begitu menyenangkan.

Mereka berkomunikasi dengan baik dan meluahkannya melalui mata dan ini menjadikan mereka peliharaan yang sangat sesuai untuk semua golongan umur.

Mereka juga sangat mengasihi dan menyayangi pemilik dan sentiasa memberi maklumbalas terhadapnya. Walaupun mereka selalunya tenang, kucing Parsi ini suka bermain-main dengan cara mereka sendiri.

Parsi yang lembut ini sentiasa menjadi sumber ketenangan dan kesukaan manusia menjadikan mereka teman yang baik, rapat dan intim.

Kucing Bali

Tinggalkan Ulasan
Kucing Bali mendongak

Kucing Bali mempunyai badan yang panjang dan lampai, corak garis yang menirus dan arus bulu yang panjang dan megah. Susuk badannya mudah lentur namun cukup kukuh.

Kucing ini sebenarnya tidak ada kena-mengena dengan Bali di Indonesia.

Baka kucing Bali dipercayai berasal secara spontan hasil daripada mutasi kucing Siam yang berbulu panjang.

Kerana itu dikatakan kucing ini adalah versi kucing Siam berbulu panjang, dan disebabkan itu kucing Bali kelihatan mempunyai garis yang lebih lembut dan kurang ekstrem berbanding kucing Siam atau kucing-kucing yang lain.

Hanya pada 1940-an versi kucing Siam berbulu panjang ini diangkat sebagai baka. Sepertimana moyangnya, kucing Bali juga merupakan kucing yang mempunyai penampilan rapi dan berbangsawan dengan tubuh, kepala, kaki dan ekor yang panjang.

Kucing Bali mempunyai lapisan tunggal bulu yang halus, selembut sutera yang rapat dengan kulit di mana rerambutnya berukuran antara setengah hingga 2 inci.

Lagak kucing Bali

Lapisan tunggal bulu ini membuatkan penjagaan kebersihannya mudah dan tidak muda berserabut seperti kucing-kucing lain yang mempunyai dwilapisan. Antara ciri mengagumkan baka ini adalah ekor yang panjang dan cantik.

Terdapat juga versi kucing Bali yang bebulu pendek dikenali sebagai Varian. Ini terhasil daripada perkahwinan di antara kucing Bali dan Siam. Varian mempunyai lapisan bulu yang pendek dan lembut.

Kucing Bali mempunyai perwatakan yang hampir sama dengan kucing Siam. Mereka mudah meluahkan perasaan, menunjukkan kasih sayang dan begitu pintar dengan sikap suka ingin tahu.

Pemilik kucing Bali sememangnya begitu asyik dengan kucing yang menyerikan dan kelihatan begitu megah ini. Baka ini juga dikatakan kurang vokal dan mempunyai suara yang lebih lembut berbanding kucing Siam.

Bali, sepertimana Siam datang dengan beberapa tompok warna seperti biru, coklat, ungu muda dan keputih-putihan. Point lain adalah seperti krim dan merah. Mata mereka tampak besar, dalam, jelas dan bersinar-sinar seakan nilam biru.

Kucing Siam

5 ulasan
Kucing siam mendongak

Kucing Siam mudah dikenali melalui matanya yang biru dan warna tompokan pada bahagian telinga, muka, ekor dan kaki yang memberikan tarikan yang berlawanan terhadap badannya yang berwarna cerah.

Kucing Siam berasal dari Thailand, yang suatu masa dahulunya dikenali sebagai kucing Siam eksotik. Ianya mula dieksport pada lewat tahun 1800 ke England sebagai hadiah daripada kerajaan Siam kepada duta England yang kemudian membawanya pulang ke England.

Sejak itu kucing Siam mula mendapat perhatian dan diperkenalkan di pameran kucing di England dan Amerika, seterusnya ke serata dunia.

Dengan ciri-ciri garisan licin, tarikan warna kontra, bahagian kepala yang bergaya bangsawan, mata kebiruan dan kaki yang 'berkasut', kucing Siam nyata kelihatan begitu cantik dan segak.

Kucing Siam juga dianggap antara baka tertua di kalangan kucing lain. Mereka adalah pintar dengan personaliti suka ingin tahu dan cintakan alam sekitar. Kini baka tertua ini adalah antara baka murni yang paling popular.

Satu lagi ciri istimewa kucing Siam adalah suaranya yang masyhur. Mereka merupakan kucing yang peramah dan tidak sepertimana kucing lain mereka berkomunikasi dengan kedua-dua suara dan tubuh mereka.

Kucing Siam juga sangat intim dengan manusia. Mereka suka ditemani dan menghabiskan masa dengan tuan mereka serta gemar duduk di riba manusia.

Kucing siam berehat

Kebanyakan pemilik kucing Siam mendapati kecantikan dan fitrah sosial mereka dengan lapisan bulu pendek yang tidak perlu dibersihkan merupakan tarikan yang tidak dapat diendahkan.

Kucing Siam bersaiz kecil hingga sederhana, tubuh yang ramping dan tampan disusuli dengan susuk dan leher yang panjang dan ekor panjang berbentuk baji.

Tumpuan warna yang utama adalah biru, coklat, ungu muda dan keputih-putihan. Variasi keputih-putihan adalah variasi yang paling dikenali. Variasi ini mempunyai warna perang kekuning-kuningan dan segmen hitam yang ekstrem.

Variasi coklat adalah yang kedua popular dengan warna krim putih pada tubuh dan coklat susu pada segmennya.

Kemudiannya adalah variasi biru dengan tubuh putih kebiruan dengan segmen kelabu kebiruan. Yang terakhir adalah variasi ungu muda iaitu tubuh putih dan segmen merah jambu kekelabuan.

Kucing Siam juga mempunyai mata yang mempesonakan di kalangan kucing lain. Matanya berbentuk badam, berwarna biru, diletakkan pada kedudukan condong yang memberikan pengungkapan bijak, emosi dan bersikap ingin tahu.

Ini adalah ciri terpenting yang meletakkan kucing Siam dalam kelasnya yang tersendiri.

Dilema Masalah Perilaku Kucing

Tinggalkan Ulasan
Pengenalan masalah perilaku kucing

Kucing merupakan antara binatang yang amat mudah dipelihara sebagai binatang peliharaan disebabkan penampilannya yang menawan dan tingkahlakunya yang menyenangkan.

Kucing secara semulajadinya adalah agak pendiam, bersih, manja dan sebahagian besarnya mampu menyesuaikan diri terhadap mana-mana persekitaran rumah serta keadaan keluarga.

Namun adakalanya kelakuan mereka menyakitkan hati tuan mereka. Kucing yang mengalami masalah perilaku seperti bersifat agresif akan menyebabkan keluhan dan kesusahan kepada keluarga anda, di mana kebiasaannya pihak yang kalah ialah kucing itu sendiri.

Ada juga kucing yang merosakkan barangan anda seperti meninggalkan kesan bau kencing yang sukar dihapuskan, cakaran pada karpet dan menggigitnya sehingga hancur.

Perabot anda tidak selamat, begitu juga dengan pokok-pokok hiasan anda, malah tangan dan kaki anda juga boleh menjadi 'mangsa' perilaku kucing di mana sikap mereka yang kelihatan berbolak-balik.

Sebahagian masa kelihatan manja dan mendengkur, kemudiannya suka menggigit selepas beberapa ketika.

Bagi sebahagian penggemar kucing, perilaku sebegini dianggap sukar diramal walhal sangkaan itu tidak begitu tepat.

Apa yang dianggap sebagai perilaku buruk ini kebiasaannya amat wajar pada pandangan seekor kucing, yang hanya bertindak secara semulajadi mengikut fitrah naluri mereka, bergantung kepada situasi keadaan seperti kebosanan, sakit, tekanan atau perubahan terhadap rutin harian kucing.

Apa yang pencinta kucing anggap sebagai 'masalah' itu sebenarnya lebih merupakan perilaku semulajadi kucing, sepertimana sifat genetik kucing itu sendiri.

Apa Penyelesaiannya?

Untuk menyelesaikan masalah perilaku, anda perlu memahami masalah tingkahlaku itu sendiri.

Namun malangnya sebahagian pencinta kucing juga tidak cuba untuk memahami lalu bertindakbalas mengikut apa yang dilihat wajar dari kacamata manusia, iaitu kemarahan, yang biasanya dimulai dengan hukuman fizikal (yang tidak pernah berkesan terhadap kucing) dan akhirnya menyebabkan kucing itu dibuang atau dihantar ke pusat perlindungan.

Demi kebaikan kucing dan anda sendiri, blog ini menawarkan pilihan lain kepada anda supaya dapat mengelakkan daripada marah, keliru dan kecewa dengan ketidaktentuan perilaku kucing dan mengembalikan kepercayaan di kediaman anda untuk membantu anda mendapat kembali hubungan mesra anda dan kucing anda.

Saya akan cuba berkongsi dari masa ke masa, memahami apa yang menyebabkan perilaku kucing yang tidak diingini dan bagaimana untuk menetapkan suatu program untuk mengubah situasi tersebut kepada sesuatu yang anda berdua dapat terima secara bersama.

Kucing anda tidak sempurna, begitu juga anda dan ini adalah antara perkara yang perlu anda fahami dalam usaha anda untuk mengatasi masalah perilaku.

Masalah biasanya mengambil masa untuk wujud, dan ia juga turut mengambil masa untuk diperbaiki.

Proses ini memerlukan kesabaran dan biasanya juga anda perlu menerima hakikat berkenaan tabiat semulajadi kucing.

Namun kebanyakan masalah perilaku dapat diatasi dengan cara yang memenuhi kehendak anda berdua. Jangan putus asa, teruskan bacaan anda di laman ini.

Langkah pertama untuk mengatasi masalah perilaku adalah dengan memastikan perkara ini bukan berpunca dari masalah kesihatan. Perkara ini adalah amat penting.

Tanda-tanda masalah kesihatan kadangkala tidak dapat dilihat secara jelas. Anda mesti mendapatkan bantuan doktor haiwan sebelum melakukan sebarang usaha untuk mengubah tabiat kucing, kerana usaha anda akan sia-sia jika anda sebenarnya sedang berhadapan dengan kucing yang sakit.

Fakta ini adalah benar terutamanya jika perilaku kucing anda berubah secara mendadak, bermakna dia sedang berada dalam kesakitan, apatah lagi jika anda tidak dapat melihat mana-mana perubahan terhadap persekitaran yang memungkinkan kucing anda berubah perangai, seperti kehadiran orang baru di rumah atau binatang peliharaan baru.

Doktor haiwan anda dapat memberi tunjuk ajar bagaimana menetapkan satu pelan untuk mengubah perilaku kucing anda secara sihat, atau merujuk anda kepada pakar-pakar lain yang dapat membantu.

Perilaku adalah antara ilmu yang pesat membangun dalam bidang perubatan haiwan, hasil dari kesedaran ahli veterinar yang melihat masalah perilaku hanya menyebabkan lebih banyak binatang dibunuh berbanding dengan sebab penyakit.

Penekanan ini juga membawa kepada penggunaan terapi ubatan untuk membantu mengatasi masalah perilaku termasuklah ubat-ubatan anti-kemurungan yang digunakan terhadap manusia.

Ubatan ini bukanlah suatu keajaiban namun ia dapat memberi langkah awal kepada anda untuk mengubati masalah ini.

Perlu ditekankan bahawa anda perlu berhati-hati jika membuat keputusan untuk menggunakan ubat-ubatan terhadap kucing.

Walaupun diterima oleh kebanyakan doktor namun saya secara peribadi kurang selesa dengan menggunakan dadah sebagai langkah awal (melainkan kucing anda sakit atau situasi anda yang terdesak).

Ubat seperti anti-kemurungan atau anti-resah mengandungi steroid penenang dan saya sarankan agar gunakan kaedah dadah/steroid ini sebagai langkah terakhir anda.