Dilema Masalah Perilaku Kucing

Tinggalkan Ulasan
Pengenalan masalah perilaku kucing

Kucing merupakan antara binatang yang amat mudah dipelihara sebagai binatang peliharaan disebabkan penampilannya yang menawan dan tingkahlakunya yang menyenangkan.

Kucing secara semulajadinya adalah agak pendiam, bersih, manja dan sebahagian besarnya mampu menyesuaikan diri terhadap mana-mana persekitaran rumah serta keadaan keluarga.

Namun adakalanya kelakuan mereka menyakitkan hati tuan mereka. Kucing yang mengalami masalah perilaku seperti bersifat agresif akan menyebabkan keluhan dan kesusahan kepada keluarga anda, di mana kebiasaannya pihak yang kalah ialah kucing itu sendiri.

Ada juga kucing yang merosakkan barangan anda seperti meninggalkan kesan bau kencing yang sukar dihapuskan, cakaran pada karpet dan menggigitnya sehingga hancur.

Perabot anda tidak selamat, begitu juga dengan pokok-pokok hiasan anda, malah tangan dan kaki anda juga boleh menjadi 'mangsa' perilaku kucing di mana sikap mereka yang kelihatan berbolak-balik.

Sebahagian masa kelihatan manja dan mendengkur, kemudiannya suka menggigit selepas beberapa ketika.

Bagi sebahagian penggemar kucing, perilaku sebegini dianggap sukar diramal walhal sangkaan itu tidak begitu tepat.

Apa yang dianggap sebagai perilaku buruk ini kebiasaannya amat wajar pada pandangan seekor kucing, yang hanya bertindak secara semulajadi mengikut fitrah naluri mereka, bergantung kepada situasi keadaan seperti kebosanan, sakit, tekanan atau perubahan terhadap rutin harian kucing.

Apa yang pencinta kucing anggap sebagai 'masalah' itu sebenarnya lebih merupakan perilaku semulajadi kucing, sepertimana sifat genetik kucing itu sendiri.

Apa Penyelesaiannya?

Untuk menyelesaikan masalah perilaku, anda perlu memahami masalah tingkahlaku itu sendiri.

Namun malangnya sebahagian pencinta kucing juga tidak cuba untuk memahami lalu bertindakbalas mengikut apa yang dilihat wajar dari kacamata manusia, iaitu kemarahan, yang biasanya dimulai dengan hukuman fizikal (yang tidak pernah berkesan terhadap kucing) dan akhirnya menyebabkan kucing itu dibuang atau dihantar ke pusat perlindungan.

Demi kebaikan kucing dan anda sendiri, blog ini menawarkan pilihan lain kepada anda supaya dapat mengelakkan daripada marah, keliru dan kecewa dengan ketidaktentuan perilaku kucing dan mengembalikan kepercayaan di kediaman anda untuk membantu anda mendapat kembali hubungan mesra anda dan kucing anda.

Saya akan cuba berkongsi dari masa ke masa, memahami apa yang menyebabkan perilaku kucing yang tidak diingini dan bagaimana untuk menetapkan suatu program untuk mengubah situasi tersebut kepada sesuatu yang anda berdua dapat terima secara bersama.

Kucing anda tidak sempurna, begitu juga anda dan ini adalah antara perkara yang perlu anda fahami dalam usaha anda untuk mengatasi masalah perilaku.

Masalah biasanya mengambil masa untuk wujud, dan ia juga turut mengambil masa untuk diperbaiki.

Proses ini memerlukan kesabaran dan biasanya juga anda perlu menerima hakikat berkenaan tabiat semulajadi kucing.

Namun kebanyakan masalah perilaku dapat diatasi dengan cara yang memenuhi kehendak anda berdua. Jangan putus asa, teruskan bacaan anda di laman ini.

Langkah pertama untuk mengatasi masalah perilaku adalah dengan memastikan perkara ini bukan berpunca dari masalah kesihatan. Perkara ini adalah amat penting.

Tanda-tanda masalah kesihatan kadangkala tidak dapat dilihat secara jelas. Anda mesti mendapatkan bantuan doktor haiwan sebelum melakukan sebarang usaha untuk mengubah tabiat kucing, kerana usaha anda akan sia-sia jika anda sebenarnya sedang berhadapan dengan kucing yang sakit.

Fakta ini adalah benar terutamanya jika perilaku kucing anda berubah secara mendadak, bermakna dia sedang berada dalam kesakitan, apatah lagi jika anda tidak dapat melihat mana-mana perubahan terhadap persekitaran yang memungkinkan kucing anda berubah perangai, seperti kehadiran orang baru di rumah atau binatang peliharaan baru.

Doktor haiwan anda dapat memberi tunjuk ajar bagaimana menetapkan satu pelan untuk mengubah perilaku kucing anda secara sihat, atau merujuk anda kepada pakar-pakar lain yang dapat membantu.

Perilaku adalah antara ilmu yang pesat membangun dalam bidang perubatan haiwan, hasil dari kesedaran ahli veterinar yang melihat masalah perilaku hanya menyebabkan lebih banyak binatang dibunuh berbanding dengan sebab penyakit.

Penekanan ini juga membawa kepada penggunaan terapi ubatan untuk membantu mengatasi masalah perilaku termasuklah ubat-ubatan anti-kemurungan yang digunakan terhadap manusia.

Ubatan ini bukanlah suatu keajaiban namun ia dapat memberi langkah awal kepada anda untuk mengubati masalah ini.

Perlu ditekankan bahawa anda perlu berhati-hati jika membuat keputusan untuk menggunakan ubat-ubatan terhadap kucing.

Walaupun diterima oleh kebanyakan doktor namun saya secara peribadi kurang selesa dengan menggunakan dadah sebagai langkah awal (melainkan kucing anda sakit atau situasi anda yang terdesak).

Ubat seperti anti-kemurungan atau anti-resah mengandungi steroid penenang dan saya sarankan agar gunakan kaedah dadah/steroid ini sebagai langkah terakhir anda.

Jika anda tidak berkongsi rencana ini
seekor kucing tidak akan dapat tidur nyenyak :(

© AlamKucing.com
Sila hormati dasar Hakcipta dan Penerbitan Semula kandungan laman ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan