Alam Kucing

Berkongsi Kaedah Penjagaan Kucing.

Siapa Kata Kucing Tiada Perasaan?

Ditulis oleh feliscatus pada Monday, November 16, 2009

Fara, penulis blog Of Cats and Kucing telah mengungkapkan kisah pengalaman berhadapan dengan ibu kucing yang berakhir dengan penamat yang menyentuh perasaan.

Baca kirimannya, Instinct of a Mother. Banyak perkara yang boleh dipelajari melaluinya.

Bacaan Penuh....

Apabila Kucing Bersin

Ditulis oleh feliscatus pada Monday, November 16, 2009

kucing-bersin
Bersin adalah tanda beberapa penyakit.

Kucing tidak dapat menghembuskan hidungnya untuk membuang hingus seperti manusia. Malangnya disebabkan inilah apabila kucing bersin mereka akan mengeluarkan begitu banyak 'sampah sarap'. Bunyinya seperti menjijikkan dan ya, ia memang menjijikkan..hehe.

Bersin adalah tanda penyakit (tetapi tidak spesifik) yang berlaku apabila laluan nasal dirangsang oleh cairan atau ejen lain seperti debu. Tidak ada penyembuh mutlak untuk bersin kerana ia boleh berpunca dari banyak perkara. Antara penyebab bersin adalah :

  • Jangkitan viral
  • Jangkitan bakteria
  • Jangkitan fungus
  • Alahan
  • Bendasing

Antihistamin dan semburan nasal yang digunakan pada manusia kebiasaannya tidak sesuai pada kucing. Jika anda mempunyai kucing yang bersin, perkara terbaik adalah membawanya ke pemeriksaan klinik supaya puncanya dikenalpasti dan rawatan spesifik dapat diberikan.

Walaupun memeriksa hingus kucing adalah tugas yang sangat tidak seronok…tetapi warna dan kekerapannya dapat memberi gambaran berkenaan penyakitnya.

Secara umumnya, jika hingusnya jernih dan berair maka tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan. Jika warnanya hijau, kuning atau berdarah maka pemeriksaan kesihatan diperlukan. Kucing boleh mendapat hidung berdarah dari udara kering atau kegatalan seperti manusia, tetapi hidung berdarah juga adalah salah satu tanda jangkitan serius sedang berlaku, begitu juga dengan ketumbuhan nasal.

Alahan

Walaupun kebanyakan kucing menunjukkan tanda alahan seperti kulit yang gatal-gatal, tapi ada juga yang bersin. Kucing boleh mendapat alahan terhadap hampir semua benda di dunia, termasuklah debunga, debu malah najisnya sendiri. Alahan biasanya menghasilkan hingus yang jernih apabila bersin. Alahan boleh dikawal tetapi tidak boleh diubati.

Sangat susah untuk menentukan apakah ejen alahan yang menyebabkan kucing itu bersin. Walaupun hampir mustahil untuk menguji kucing terhadap kesemua kemungkinan ejen alahan, doktor anda boleh mengujinya dengan beberapa penyebab utama. Jika ejen yang spesifik diketahui, anda boleh cuba mengasingkan puncanya dari persekitaran kucing atau memberikan kucing anda suntikan alahan tersebut.

Kegatalan

Asap, bau dari produk pencuci/kebersihan atau mungkin juga rambut kita sendiri boleh menyebabkan gangguan pada laluan nasal dan menyebabkan kucing bersin. Untuk menguji samada benda tertentu menyebabkan gangguan, hanya asingkannya dari persekitaran dan bersin itu sepatutnya berhenti.

Asap rokok juga boleh menjadi gangguan hebat kepada kucing dan mereka juga terdedah kepada semua risiko penyakit dari hembusan asap rokok sepertimana manusia. Ini adalah termasuk bersin, bronkitis dan juga kanser paru-paru. Saya tidak mahu nasihatkan anda supaya jangan merokok di hadapan kucing, tetapi saya nasihatkan anda supaya berhenti terus dari merokok.

Bendasing

Kucing sepertimana kanak-kanak, boleh terdedah kepada kemalangan, seperti hidung tersumbat oleh objek-objek tertentu. Antara benda yang sering tersumbat dalam hidung kucing adalah cebisan rumput. Jika anda mempunyai kucing yang bersin sehingga 7-8 kali berturut-turut, kemungkinan besar hidungnya tersumbat dengan bendasing.

Adalah menjadi tugas yang sukar bagi doktor untuk mencari bendasing di dalam hidung kucing kecuali ianya dibiuskan. Kebanyakan kucing sangat 'tidak bersetuju' dengan idea memasukkan skop di dalam hidung mereka atau mengangakan mulut sementara doktor memasukkan probe ke belakang mulutnya.

Bagaimana Meredakan Kucing Yang Bersin

Kita boleh menambahkan keselesaan kucing dengan cara lapkan hidungnya dan sentiasa membersihkannya dari hingus yang meleleh. Jika kucing anda kelihatan lemas, anda boleh cuba letakkan beberapa baldi air panas dalam bilik air dan tempatkan kucing anda dalam bilik air itu (bukan dalam baldi air panas pula ye). Wap air atau stim itu boleh membantu melegakan ruang pernafasannya tapi janganlah sampai terbakar kulit.

Bacaan Penuh....

Ringkasan Sistem Pernafasan Kucing

Ditulis oleh feliscatus pada Monday, November 09, 2009

pernafasan-kucing
Gangguan pada pernafasan kucing akan membawa masalah.

Bernafas adalah fungsi normal badan yang dilakukan oleh binatang tanpa perlu berfikir mengenainya. Proses ini dikawal secara automatik oleh otak dan sistem sarafnya. Sistem pernafasan binatang mempunyai dua bahagian iaitu bahagian atas dan bawah.

Hidung dan leher membentuk sistem pernafasan atas atau upper respiratory tract manakala trakea dan paru-paru membentuk sistem pernafasan bawah atau lower respiratory tract.

Oksigen adalah penting untuk mengekalkan nyawa dan fungsi badan, maka jika binatang kehausan oksigen, mereka akan mati. Sesetengah penyakit yang menjangkiti sistem pernafasan kucing adalah merbahaya dan mengancam nyawa, tetapi ada juga yang lebih sekadar menyusahkan kucing dan membuatkannya tidak selesa.

Saya akan cuba berkongsi dengan anda semua berkenaan dengan penyakit-penyakit yang biasa menjangkiti sistem pernafasan kucing. Harap-harap ianya tidak akan membosankan. Seperti biasa, saya akan cuba permudahkannya dan mengurangkan penggunaan istilah yang memeningkan kepala.

Anatomi pernafasan kucing adalah hampir sama dengan manusia. Walaupun hidung kucing adalah berbeza (dan lebih berbulu) namun fungsinya adalah sama.

Udara memasuki tubuh badan melalui lubang hidung (dan juga mulut). Mukus (sejenis lendiran) dan bulu-bulu kecil yang melitupi saluran hidung akan memerangkap kotoran dan bakteria dari udara. Udara itu kemudiannya menjadi lebih suam dan lembab sebelum ia memasuki paru-paru.

Bacaan Penuh....

Menjaga Kucing Yang Sudah Tua

Ditulis oleh feliscatus pada Tuesday, November 03, 2009

kucing-tua-rehat
Sahabat lama ini perlukan perhatian kita

Apabila kucing meningkat usianya, beberapa bahagian dalam tubuh akan mula merosot dan mungkin akan menyukarkan kucing kita untuk mengekalkan aktiviti hariannya. Jika kita mempunyai kucing yang sudah tua, kita hendaklah menjadikan aktiviti harian sahabat lama kita semudah yang mungkin.

Adalah menjadi kebiasaan jika penglihatan dan pendengaran kucing merosot seiring dengan usianya, walaupun amat jarang sekali kucing menjadi buta sepenuhnya disebabkan oleh usia. Jika penglihatannya merosot, kebanyakan binatang masih boleh melihat dengan baik pada waktu siang berbanding malam.

Kucing tua akan lebih selesa jika mangkuk makanan dan kotak najisnya diletakkan dalam ruang kawasan yang sama di mana mudah untuk dicari. Tapi ini tidaklah bermakna kita perlu meletakkannya sebelah menyebelah pula.

Dalam kebanyakan situasi, adalah lebih baik jika kita memelihara kucing sebagai indoor, dan ia adalah satu keutamaan jika kucing kita sudah tua, apatah lagi jika pendengarannya sudah merosot atau pekak.

Berbeza dengan penglihatan, kucing boleh menjadi pekak sepenuhnya disebabkan oleh penuaan. Kita tidak boleh membiarkannya berada di luar rumah bersendirian atau tanpa pemantauan kerana kucing tidak lagi mendengar bunyi yang menjadikannya waspada, seperti bunyi kereta yang menghampirinya.

Keperluan Air Minuman

Disebabkan penyakit buah pinggang sering terjadi pada kucing tua, mengekalkan sumber air yang baik adalah sangat mustahak untuk menjaga keselesaannya.

Anda boleh mempelajari bagaimana untuk memberikan suntikan bendalir (air) di bawah kulitnya di klinik-klinik haiwan. Ini dapat mengekalkan dan membantu meningkatkan tahap hidrasi kucing anda. Suntikan ini hanya diberikan di bawah kulitnya sahaja dan bukannya menerusi salur darah, jadi ianya tidaklah begitu sukar.

Lagipun adalah sangat susah untuk memaksa kucing untuk minum walaupun semasa ia masih berupaya, apatah lagi jika kucing kita sedang lemah dan kehilangan air dengan banyak. Mempelajari bagaimana memberikan suntikan ini akan memanfaatkan anda di masa akan datang.

Beritahu sahaja kepada doktor anda mahu belajar buat subcutaneous fluid injections, atau bahasa mudahnya suntik air. Klinik yang baik akan berbincang prosedurnya dengan anda. Pemilik kucing yang baik juga sudah tentu tidak kisah jika dikenakan sedikit bayaran jika diminta, asalkan berpatutan.

Makanan Kucing Berumur

Kucing tua tidak lagi membina otot dan kurang aktif berbanding waktu mudanya, maka mereka memerlukan makanan yang kurang protein dan kurang kalori. Lagipun dengan peningkatan usia akan mengurangkan kemampuan sistem penghadamannya.

Kebanyakan syarikat makanan akan meletakkan diet itu dengan label Senior atau Geriatric dan keduanya dirumus untuk memenuhi keperluan kucing tuda. Tapi perlu diingat, tidak bermakna anda perlu automatik tukar makanannya hanya disebabkan ia meningkat tua, apatah lagi jika kucing yang tua tetapi masih aktif dan sihat.

Cara yang terbaik adalah berbincanglah dahulu dengan doktor anda sebelum menukarkan diet.

Penyakit gigi dan gusi sering berlaku pada kucing tua dan mempengaruhi berapa banyak ia akan makan. Kesihatan gigi boleh diperiksa pada setiap kali lawatan klinik dan dietnya juga boleh diubah bergantung kepada keadaannya. Makanan yang lebih lembut yang hanya memerlukan sedikit kunyahan (atau tak perlu kunyah langsung) akan membantu kucing tua.

Jika kucing tiada selera makan, kita boleh berikan makanan yang padat dengan nutrisi, diberikan dalam kuantiti kecil. Adalah penting untuk kucing tua ini makan atau sekurang-kurangnya mengekalkan berat badannya.

Arthritis

Kesakitan ini tidak dapat dielak kerana setiap sendi pasti akan mengalami kehausan apabila umur semakin meningkat. Penyakit ini akan menyebabkan kesakitan dan mengekang pergerakan kucing. Jika kucing tidak dapat bergerak dengan baik, dia mungkin tidak dapat melakukan keperluan hariannya dengan normal seperti membuang najis atau membersihkan diri.

Kucing arthritis yang menghabiskan masanya di luar rumah akan berada dalam bahaya kerana tidak boleh melompat dan berlari seperti biasa, terutamanya ketika keadaan bahaya. Sendi yang sakit juga menyebabkan kucing susah untuk melompat turun, walaupun ia kelihatan tidak setinggi mana.

Lokasi dan rekabentuk kotak najis mungkin perlu ditukar untuk kucing arthritis. Kita perlu memastikan kucing boleh keluar dan masuk dengan mudah dari kotak najisnya. Pertimbangkan kotak najis yang tidak berbumbung dan berdinding rendah jika kucing anda susah menggunakan kotak yang sedia ada.

Begitu juga dengan lokasi mangkuk makanan dan airnya. Jika kucing tidak boleh menggerakkan kepala dan lehernya dengan baik, kita perlu menaikkan kedudukan mangkuk itu dengan mengalasnya dengan buku, kayu atau apa sahaja. Ini dapat menambahkan keselesaan kucing kita untuk makan dan minum.

Ruang rehat

Kucing tua akan kehilangan lemak pada badan dan otot sebagai penebat haba. Mereka tidak lagi mampu menahan kesejukan dan boleh menyebabkan kesakitan apabila bahagian tulang bergeser pada permukaan keras seperti lantai (tubuh saya sendiri pun dah mula rasa macam tu! hehe).

Pastikan kucing anda mempunyai alas yang lembut dan tebal seperti tuala untuk membantu keselesaannya. Kurangkan penggunaan penghawa dingin pada ruang tempat tidurnya.

Parasit dan serangga pengacau

Tahukah anda bahawa serangga suka mengambil kesempatan pada binatang lemah? Contoh mudah adalah lalat, atau nyamuk lebih gemar menyerang dan mengganggu binatang yang lemah. Kucing tua tidak dapat bergerak ke tempat lain atau menggaru dengan mudah jika terdapat gangguan seperti ini.

Serangga biasanya mahu mendapatkan makanan semudah yang mungkin dan jika binatang itu tidak menghalaunya, lebih mudah bagi mereka untuk terus menginap dan makan di situ.

Sentiasa periksa kucing berkenaan kehadiran kutu dan hapuskannya. Tapi pastikan produk itu sesuai untuk kucing yang sudah tua. Jika kucing itu dibiarkan keluar, periksa tempat dia tidur atau rehat dan pastikan semut tidak mengganggunya.

Pastikan juga lalat tidak mengganggunya, kerana lalat akan melepaskan telurnya pada binatang yang tidak bergerak dan telur itu akan menetaskan ulat dalam tempoh 12 jam sahaja. Sudah tentu kita tidak mahu membersihkan telinga, ketiak atau punggung kucing dari ulat-ulat itu kan?

Kesimpulan dari kiriman ini adalah, penjagaan kucing tua akan lebih mudah dan manfaat yang besar bagi anda dan kucing anda jika ianya dipelihara sebagai indoor. Kebanyakan dari kita memelihara kucing sebagai outdoor sahaja, tidak mengapalah tetapi apabila tiba umurnya, kucing itu perlu dipelihara sebagai indoor juga.

Ini juga adalah faktor yang perlu difikirkan jika anda bercita-cita mahu memelihara kucing.

Bacaan Penuh....

Penyakit Yang Berkaitan Dengan Kucing Tua/Berumur

Ditulis oleh feliscatus pada Thursday, October 29, 2009

Walaupun kita tidak suka memikirkannya, adalah satu idea yang baik jika kita sekurang-kurangnya mengenali apakah masalah yang boleh dihadapi oleh kucing tua. Seperti penyakit lain, pengesanan dan cegahan awal boleh membantu mengurangkan kesan penyakit tersebut. Biasanya terdapat 6 penyakit yang sering menyerang kucing senior.

  1. Hyperthyroidism
  2. Chronic renal failure
  3. Hypertension
  4. Kanser
  5. Diabetes mellitus
  6. Inflammatory bowel disease (IBD)

Hyperthyroidism

Penyakit ini memang biasa berlaku pada kucing tua dan selalunya disebabkan oleh ketumbuhan pada salah satu (atau kedua-dua) kelenjar tiroid (ada kat leher). Kelenjar ini fungsinya ialah menghasilkan hormon yang berkaitan dengan metabolisme dan fungsi-fungsi organ. Namun kelenjar yang terlebih aktif akan menghasilkan lebihan hormon.

Kucing hyperthyroid akan menghasilkan terlalu banyak hormon tiroid. Mereka mungkin mempunyai selera makan yang banyak tetapi badannya tetap menyusut. Kadangkala degupan jantung mereka tinggi atau tidak sekata, muntah-muntah dan cirit-birit.

Penyakit ini dikesan melalui ujian darah dan dirawat samada melalui pembedahan atau radiasi (untuk buang tisu yang bermasalah).

Chronic renal failure

Penyakit ini akan melumpuhkan sedikit demi sedikit fungsi buah pinggang seperti membersihkan darah, menghasilkan air kencing dan kawalan kesimbangan bendalir dalam tubuh kucing.

Kucing akan minum air dengan kadar yang banyak, kencing lebih banyak dan berat badan semakin berkuranan. Jika penyakit berlarutan, kucing akan menjadi semakin kurus, kehilangan banyak air dan menghasilkan bau busuk dalam mulut.

Kita boleh mencegah penyakit ini dari awal dengan memberikan kucing anda diet yang baik (diet untuk senior cat) serta menyediakan air yang segar dan bersih. Buah pinggang adalah organ yang tidak ada penjanaan tisu, jadi jika ianya rosak, penyakit akan terus berlarutan.

Jika penyakit ini telah bermula, prosesnya boleh dilambatkan dengan kawalan diet, bendalir dan rawatan lain. Namun perlu diingat, ia hanya untuk melambatkan sahaja, dan tidak lagi boleh disembuhkan.

Ujian darah boleh dilakukan untuk mengesan penyakit ini, tetapi masalahnya dalam kebanyakan situasi ia hanya dikesan setelah 50% fungsi buah pinggang itu telah hilang. Saya tidak nampak penyelesaian yang lebih baik melainkan pencegahan awal. Lagipun ia cukup mudah, iaitu diet yang baik, dan air yang bersih.

Hypertension

Jangan tensen mendengar nama penyakit ini, kerana ia hanyalah nama manja bagi tekanan darah tinggi. Penyakit ini biasanya berlaku seiring dengan kedua-dua penyakit kelenjar tiroid dan buah pinggang di atas.

Ujian tekanan darah kucing juga agak sukar dilakukan, disebabkan oleh kucing kebiasaannya akan stress setiap kali dibawa ke klinik, menyebabkan tekanan darahnya meningkat dengan sendirinya.

Selalunya penyakit ini dirawat dengan mengawal penyakit utama yang menyebabkannya. Contohnya tekanan darah tinggi berlaku disebabkan adanya penyakit buah pinggang, maka kawalan terhadap penyakit buah pinggang akan merawat tekanan darah tinggi itu secara tak langsung. Atau dirawat dengan menggunakan pil.

Kanser

Pada masa kini, kucing hidup lebih lama berbanding 30-40 tahun dahulu, dan ini meningkatkan berlakunya kanser. Pelik juga kan, apabila kualiti hidup semakin meningkat, kemungkinan menghidap penyakit yang lebih bahaya juga turut meningkat.

Kanser, puncanya tidak begitu diketahui sama lah seperti yang berlaku pada manusia. Puncanya masih belum jelas, namun teknologi juga semakin meningkat untuk menghadapi penyakit ini, walaupun bukan sepenuhnya.

Rawatan kanser adalah seperti kemoterapi, pembedahan, radiasi dan immunoterapi. Menghadapi kanser adalah sukar dan rawatan yang ada hanyalah untuk memanjangkan hayat dan mengekalkan kualiti hidupnya sebaik mungkin.

Diabetes mellitus

Atau dikenali sebagai kencing manis. Kucing yang menghidapi kencing manis tidak dapat mengendalikan glukosa (gula) dengan baik, yang merupakan sumber tenaga utama bagi tubuh.  Kucing itu akan makan dan menghasilkan gula dalam badan, tetapi gula itu tidak diserap oleh badan.

Ini menyebabkan kucing kelaparan walaupun dia telah makan. Tanda-tanda penyakit ini adalah hampir sama seperti penyakit buah pinggang. Kucing mempunyai selera makan yang tinggi, minum air dengan banyak, kencing dengan banyak dan berat badan menurun.

Kebanyakan kucing perlu diberikan suntikan insulin sebanyak 2 kali sehari. Ini kerana penyakit ini disebabkan oleh kekurangan insulin yang dihasilkan oleh pankreas. Insulin inilah yang diperlukan oleh tubuh untuk menyerap glukosa tersebut.

Inflammatory bowel disease (IBD)

Penyakit ini menyerang perut atau usus dan biasanya kucing akan mengalami muntah atau cirit-birit yang tidak dapat disembuhkan dengan rawatan biasa. Ujian diberikan samada menggunakan endoskop (tiub disalurkan ke sistem penghadaman) atau pembedahan.

Rawatan biasanya diberikan untuk meredakan keradangan, mengawal jangkitan dan selalunya, ubatan yang diberi dalam tempoh jangka masa panjang.

Bacaan Penuh....

Apabila Kucing Meningkat Tua

Ditulis oleh feliscatus pada Tuesday, October 20, 2009

Kucing senior
Kucing senior perlukan banyak rehat
Foto daripada Hotash

Kucing tidak akan hidup selama-lamanya, walaupun kita mahukannya begitu. Apabila kita berkongsi kediaman kita dengan kucing selama beberapa tahun, dia akan menjadi sebahagian dari ahli keluarga, dan hubungan emosi yang kuat akan terbina.

Kucing memberikan rasa kasih yang tidak ada penamat dan tanpa bersyarat. Samada anda hensem atau tidak, cantik atau tidak, kaya atau miskin, kucing anda akan tetap bersama anda dan tidak akan mempersoalkan anda.

Kita boleh mencegah banyak masalah yang boleh mengancam atau mengurangkan jangka hayatnya melalui pembacaan di blog ini, atau di tips-tips di blog lain. Kucing adalah haiwan yang sangat pandai menyembunyikan masalahnya, maka apabila umurnya semakin meningkat kita perlulah lebih peka terhadap sebarang perubahan dalam aktiviti harian dan perilakunya.

Pengesanan awal adalah kunci untuk meningkatkan hayat kucing dan memperbaiki kualiti hidupnya.

Berapa Lama Kucing Saya Akan Hidup?

Ada beberapa formula boleh digunakan untuk menganggarkan umur kucing dengan nisbahan kepada umur manusia. Secara umumnya boleh dikatakan kucing berumur 7 tahun bersamaan dengan manusia berumur 1 tahun.

Sebenarnya kucing mengalami pertumbuhan yang lebih pesat dalam beberapa tahun terawal dalam hidupnya. Jadi untuk tahun-tahun terawal kucing adalah bersamaan dengan lebih dari 7 tahun manusia.

Mungkin ada yang tertanya-tanya berapa purata umur kucing, kebiasaannya adalah antara 13 hingga 15 tahun, terutamanya jika kucing itu dipelihara sebagai indoor. Tapi semasa saya di klinik dahulu banyak juga kucing yang berumur sehingga 19 – 20 tahun.

Jika kucing dibenarkan keluar dari rumah, jangka hayatnya akan berkurang disebabkan risiko yang ada di luar sana. Kucing terdedah kepada lebih banyak penyakit dan bahaya seperti racun, atau musuh utama kucing iaitu…kereta dan manusia (kanak-kanak yang suka menyiksa binatang).

Timbul pula persoalan baru, apa yang dikatakan 'tua'? Susah juga nak tentukan bila sebenarnya kucing itu akan dikategori sebagai tua. Biasanya kita akan (atau sepatutnya) memulakan program khas penjagaan kesihatan apabila kucing menjangkau umur 7 atau 11 tahun. Apabila kucing mencecah umur 12 tahun, kebanyakan kucing akan mula merasai kesan penuaan.

Terdapat beberapa penyakit yang muncul pada kucing disebabkan proses penuaan. Setiap sel dalam badan haiwan (juga manusia) diprogramkan untuk berfungsi pada sekadar-kadar waktu sahaja, dan kadaran itu berbeza-beza untuk setiap individu binatang walaupun untuk spesies yang sama. Dalam erti kata lainnya, kucing dan seluruh tubuhnya (termasuk kita) mempunyai expired date.

Sesetengah binatang kelihatan tua pada umur 10 tahun, manakala yang lain pula lebih tegap dan masih bertenaga pada umur 15 tahun. Setengah organ tubuh kelihatan lebih cepat tua (baca: expired) berbanding organ lain, dan inilah antara sebab mengapa beberapa masalah kesihatan lebih kerap berlaku pada kucing tua.

Jadual Bandingan Umur Kucing-Manusia

Kucing (tahun) Manusia (tahun)
1 16
2 21
3 26
4 30
5 34
6 38
7 42
8 46
9 50
10 54
11 58
12 62
13 66
14 70
15 74
16 78
17 82
18 86
19 90
20 94

Bacaan Penuh....

Penyakit Yang Dicegah Melalui Vaksin

Ditulis oleh feliscatus pada Monday, October 12, 2009

Anak kucing dijangkiti FVR
Anak kucing dijangkiti FVR (Feline Viral Rhinotracheitis)

Biasanya kita perlukan sehingga 14 hari selepas suntikan vaksin sebelum tindakbalas imuniti berfungsi dengan sepenuhnya.

Jadi, jika kita suntik kucing pada hari ini, dia tidak akan mempunyai perlindungan imuniti sehingga sekurang-kurangnya 14 hari selepas suntikan diberi.

Keputusan untuk vaksinasi terhadap penyakit-penyakit tertentu dinilai melalui beberapa faktor. Terdapat 11 jenis penyakit berjangkit yang boleh dilindungi oleh vaksin (dikeluarkan oleh beberapa pengeluar).

Setiap vaksin adalah spesifik, hanya memberikan perlindungan terhadap 1 jenis penyakit sahaja (dan mungkin 1-2 penyakit ringan yang lain).

Senarainya disertakan dibawah, namanya memang pelik-pelik, tapi saya letakkan penerangan ringkas di sebelahnya supaya kita mudah faham.

  • Rhinotracheitis virus/feline herpes
    • Juga dikenali sebagai FVR (Feline Viral Rhinotracheiteis) atau FRV (Feline Rhinotracheiteis Virus), menyebabkan keradangan pada mata dan hidung.
  • Calici virus
    • Seperti FVR,  virus Calici menyerang sistem pernafasan termasuk mulut dan boleh merebak ke paru-paru.
  • Panleukopenia virus
    • Juga dikenali sebagai FPV, sangat-sangat merbahaya, mudah berjangkit di kalangan kucing, menyerang sistem saraf dan imuniti. Anda MEMANG tidak mahu kucing anda dijangkiti penyakit ini.
  • Chlamydia (pneumonitis)
    • Virus ini hidup dalam sistem perkumuhan, kemaluan, pernafasan dan penghadaman, kesannya boleh dilihat pada mata dan jika dijangkiti oleh anak kucing boleh menyebabkan kerosakan paru-paru yang serius.
  • Feline leukemia virus
    • Ringkasannya adalah FeLV, sangat bahaya kerana boleh menyebabkan kanser yang membunuh. Risiko tinggi jika kucing anda adalah outdoor, merebak melalui air liur (menjilat bulu, bekas makanan dll) atau gigitan (bergaduh, bermain dll).
  • Rabies virus
    • Pernah dengar penyakit anjing gila? Air liur yang sentiasa meleleh, agresif dan suka menyerang. Boleh menjangkiti manusia atau binatang lain.
  • Feline infectious peritonitis virus
    • Ringkasannya FIP, atau FECV (Feline Enteric Coronavirus), jangkitannya tidaklah serius dan biasanya kucing boleh kembali sihat. Tak banyak diketahui tentang penyakit ini, vaksin boleh kurangkan risiko tetapi jangkitan mungkin boleh berlaku juga.
  • Bordetella
    • Sangat merbahaya kepada anak kucing kerana boleh menyebabkan kematian. Lendiran tebal pada hidung dan mulut, bersin dan batuk (kucing sebenarnya jarang batuk, beri perhatian jika kucing anda batuk).
  • Ringworm fungus
    • Cacing gelang, didapati dari tanah dan najis, susah dikawal jika kucing outdoor. Boleh menjangkiti manusia tapi tidak serius, mudah diubati (kecuali anak kucing, jangkitan boleh menjadi serius).
  • Feline immunodeficiency virus
    • Ringkasannya FIV, kucing yang menghidapi FeLV berkemungkinan besar juga menghidapi FIV. Virus ini menyerang sel darah putih kucing, sama seperti AIDS pada manusia. Sistem imuniti akan lumpuh dan kucing terdedah kepada pelbagai penyakit lain, sangat merbahaya (tapi tidak menjangkiti manusia).
  • Giardia
    • Berpunca dari parasit yang hidup dalam najis kucing, sebab itu amat penting kita bersihkan kotak najisnya seberapa kerap (dan bersihkan diri anda selepas itu).  Menyebabkan kucing kehilangan nutrisi yang boleh membawa kepada penyakit lain. Boleh berjangkit pada manusia.

Hah, macam mana, susah kan memelihara kucing? :p

Bacaan Penuh....

Berkongsi tip dan kaedah penjagaan kucing kesayangan. Kesihatan, perilaku, baka, makanan dan apa sahaja yang berkaitan dengan si comel. Mengatasi masalah pembuangan najis, mencakar, kencing melalui cara terbaik.

-feliscatus @ AlamKucing.blogspot.com-

 Langgani suapan RSS